Saturday, March 24, 2007
Semenjak kebelakangan ini, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi SPR sering melatah. Wataknya tidak ubah seperti Ketua UMNO Cawangan atau Pengerusi JKKK. Kenyataan media yang dibuat oleh Rashid tidak menjawab persoalan pokok yang menghakis kewibawaan SPR tetapi jawapan-jawapan yang diberikan tidak tuntas dan tidak mengambarkan profesionalisma dan kredibiliti seorang ketua yang menguruskan badan bebas seperti SPR.

Kenyataan Rashid yang dilaporkan dalam akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kroni Barisan Nasional pada 22 Mac 2007 yang mencabar parti-parti politik untuk membawa SPR ke mahkamah adalah gimik dan beremosi. Apakah Rashid sudah lupa ? Apakah Rashid mengaminkan kenyataan Mahathir bahawa "Melayu mudah lupa" ?

Penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Muhammad Kamil pada tahun 2001 berhubung pendaftaran bukan warganegara Malaysia sebagai pemilih dan kehadiran pengundi hantu dalam Daftar Pemilih DUN Likas; sehingga mahkamah pilihan raya membuat penghakiman untuk diadakan semula Pilihan Raya Kecil DUN Likas; serta penghakiman dalam mahkamah pilihan raya berhubung petisyen Pilihan Raya Umum ke 11 Parlimen Gombak sudah cukup untuk membuktikan penyelewengan dan penipuan dalam proses dan perjalanan pilihan raya di Malaysia yang dikendalikan oleh SPR.

Justeru itu, Rashid tidak perlu mencabar lagi. Saya mengajak Rashid untuk tumpu kerja dan segera memulakan reformasi sistem pilihan raya secara menyeluruh. keADILan akan terus menuntut SPR memulakan langkah awal reformasi sistem pilihan raya dengan menghapuskan undi pos di kalangan anggota tentera dan polis, membersihkan daftar pemilih dan membenarkan penggunaan dakwat kekal untuk pemilih membuang undi.

Semoga Rashid dan SPR dapat menyelamatkan Malaysia dan rakyat Malaysia. Usah bersekongkol dengan Mugabe dan Zimbabwe.
Saturday, March 24, 2007 5:10:52 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)