Ketua Umum Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat persiapan pilihan raya selama lebih 10 jam. Mesyuarat Biro Politik bermula jam 10.00 pagi dan disusuli dengan perbincangan kumpulan mengikut negeri sehingga jam 3.00 petang yang disertai oleh Pengerusi Perhubungan Negeri, Pengarah Pilihan Raya Negeri dan Setiausaha Perhubungan Negeri masing-masing.
Menyusul perbincangan di atas, saya diminta untuk mempengerusikan perbincangan kumpulan dengan setiap Perhubungan Negeri untuk memperhalusi check list gerak kerja di semua kawasan tumpuan. Kumpulan ini turut disertai anggota Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat ( JPRP ) iaitu Dr. Mansor Othman, Hajjah Fuziah Salleh dan Johari Abdul.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi ( MPT ) pula bermula jam 3.00 petang di kediaman DSAI sehingga jam 6.30 petang.
Perbincangan berjalan dengan cukup rancak dan tersusun berdasarkan laporan dan analisa yang merangkumi persoalan pengagihan kerusi berasaskan muafakat dengan parti-parti sahabat, manifesto, strategi pilihan raya, calon, pendaftaran pengundi - pengundi muda dan baru, logistik dan bahan - bahan pilihan raya dan program latihan.
DSAI, Dr. Syed Husin, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr. Lee Boon Chye, Mustaffa Kamil Ayub, Dr. Jeffrey Kitingan, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Hajjah Fuziah Salleh, Saifuddin Nasution, Dr. Mansor Othman telah memainkan peranan penting menyumbang input perbincangan dan memandu perbincangan ke arah untuk memperkasa parti dan memperkukuhkan jentera parti dalam pilihan raya yang dijangkakan semakin hampir.
Komitmen dan semangat kerja yang ditunjukkan oleh pimpinan MPT amat membanggakan dan akan pasti menjadikan parti semakin kuat dan mantap.
Mesyuarat MPT ditangguhkan jam 6.30 petang untuk program ringkas menerima kemasukan seorang tokoh korporat dalam keADILan iaitu Encik Din Merican. Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara dan kemudiannya Sime Darby. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian bantuan untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal yang diusahakan oleh Wanita Pusat dan Wirda. Majlis Iftar ( Berbuka Puasa ) dihadiri oleh lebih 300 orang.
AZMIN ALI