Monday, October 15, 2007

Pada tahun ini, saya dan isteri serta anak-anak berhari raya bersama ibu saya di Kampong Klang Gate Baru, Hulu Kelang. Saya memasak rendang khas untuk ibu saya. Saya mula masuk ke dapur sejurus selepas Solat Jumaat untuk memasak rendang sebanyak 12 kilo. Resepi rendang ini adalah resepi ibu saya sendiri. Ketika saya sedang tumis ramuan rendang, saya mendapat panggilan dari Saudara Nik Nazmi yang menyebut Dato' Seri Anwar ingin bertemu saya pada jam 4.30 petang. Kelam kabut juga dibuatnya. Apabila saya meninggalkan rumah pada jam 4.00 petang untuk ke pejabat DSAI di Petaling Jaya, rendang saya sudah mula dimasak dan saya minta Shida untuk meneruskannya dengan berpandukan 'arahan' yang cukup ketat supaya rendang ini benar-benar menjadi rendang ala masakan ibu saya. Alhamdulillah, Shida berjaya menyiapkan rendang seperti yang kami rancang.

Setelah selesai Solat Eidul Fitr di Masjid Taman Tun Abdul Razak, Ampang, saya dan Shida serta anak-anak menziarahi ibu saya. Turut meraikan kami adalah adik saya, Azwan Ali yang riuh seperti biasa ! Sehari sebelum itu, kami juga menziarahi pusara ayahanda saya, Pak Ali dan mendoakan untuk kesejahteraan ruh beliau.

Pada sebelah petang 1 Syawal, kami menziarahi abang saya, Azman dan keluarganya di Shah Alam. Hujan lebat ketika kami tiba di Shah Alam pada jam 3.30 petang. Dua jam kemudian, kami terus berkereta ke Taiping untuk berhari raya bersama ibu mertua ku dan juga bapa mertua serta keluarga Shida. Kami tiba agak lewat di Taiping kerana hujan lebat di sepanjang perjalanan kami.

Pada 2 Syawal, kami menghabiskan masa untuk menziarahi sanak saudara dan keluarga terdekat di Taiping dan Kamunting.

Kami pulang ke Kuala Lumpur pada hari ini, 3 Syawal dan tiba lebih kurang jam 1.00 petang tadi. Tugas terlalu sarat menanti saya. Selain persiapan Pilihan Raya Umum ke 12 termasuk Bengkel Pilihan Raya pada 27 Oktober 2007 di Kedah (untuk Zon Utara) dan Kuala Lumpur (untuk Zon Tengah), saya juga diamanahkan untuk membantu menyelaraskan Majlis Rumah Terbuka YB Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 21 Oktober 2007 (Ahad) jam 2.00 petang sehingga 6.00 petang di Bukit Segambut.

Teman-teman dari pimpinan keADILan Bahagian Gombak akan mengunjungi saya sempena Eid di rumah saya pada malam esok. Kita mendoakan semoga ziarah ini akan terus memperkukuhkan ukhuwwah kita.

Azmin Ali.

 




Monday, October 15, 2007 7:58:20 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)