
Peserta Kursus Pilihanraya Teliti Mendengar Taklimat
Ketika cakap-cakap mengenai pilihan raya semakin rancak dari gedung Putrajaya sehinggalah ke kedai kopi di Cherok Tokun, keADILan menyusun keutamaan gerak kerja dengan menjadikan latihan pilihan raya sebagai agenda utama.
Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) akan mengadakan Konvensyen Pilihan Raya pada 27 Oktober 2007 ini. Zon Utara melibatkan negeri-negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang; Zon Tengah merangkumi negeri-negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor; manakala Zon Timur melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Zon Utara akan diadakan di Kedah; Zon Tengah di Kuala Lumpur dan Zon Timur di Terengganu. Konvensyen kali ini akan melibatkan hampir 500 orang peserta yang terdiri dari pimpinan Bahagian, Angkatan Muda dan Wanita serta Pengarah-Pengarah Pilihan Raya di kawasan-kawasan tumpuan.
Modul konvensyen ini memberi tumpuan kepada mesej politik dan strategi menawan hati pengundi-pengundi atas pagar. Peserta-peserta juga akan dibekalkan Dokumen SISMEP Fasa 2 berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan pada tahun 2007. Dokumen SISMEP Fasa 2 akan memperincikan "pergerakan pengundi" dari satu kawasan pilihan raya ke kawasan yang lain oleh SPR tanpa kebenaran pengundi yang berkenaan.
Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyertai konvensyen ini di Zon Tengah pada awal pagi manakala di Zon Utara pada sebelah petang. Beberapa orang pemimpin kanan parti akan mengambil peranan fasilitator dalam konvensyen ini termasuk saya sendiri selaku Pengerusi JPRP; Dr. Mansor Othman, Puan Hajjah Fuziah Salleh; Saudara Saifuddin Nasution; Saudara Johari Abdul dan Saudara Abdul Halim Mohd Yusof.
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan diadakan pada 28 Oktober 2007 untuk menganalisa keberkesanan konvensyen ini dan mengatur gerak kerja pilihan raya seterusnya.
Bahan-bahan pilihan raya yang utama seperti bendera keADILan, T Shirt, topi, lencana dan banner telahpun siap ditempah dan akan diedarkan pada masa yang sesuai.
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) Pilihan Raya yang bermesyuarat pada hari Isnin lalu juga sudah menetapkan slogan parti untuk pilihan raya yang akan datang. Manifeso keADILan dalam peringkat akhir untuk diperakukan oleh MPT.
Ayuh, kita masuk pilihan raya dengan bersedia dan bergaya !
Azmin Ali.