Saturday, November 03, 2007
amin-3.JPG

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 November 2007, membebaskan saya daripada sabitan dan hukuman penjara 18 bulan berhubung tuduhan memberi keterangan palsu sewaktu perbicaraan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, sembilan tahun lalu. Hakim Dato’ Abdul Kadir Musa mengenepikan sabitan dan hukuman selepas membenarkan rayuan saya terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir pada 2 Mei 2001. Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Kadir menegaskan bahawa keadaan kes ini memaksa beliau untuk bersetuju dengan penghakiman Hakim perbicaraan pertama iaitu Hakim Hamdan Indah yang mendapati bahawa kata-kata atau kenyataan yang didakwa palsu itu sebenarnya menunjukkan bahawa saya benar-benar merasakan diri saya diugut, dipaksa dengan kejam ketika berada dalam tahanan polis dan justeru itu meminta mahkamah untuk tidak membenarkan lanjutan tempoh tahanan saya.

Hakim Abdul Kadir seterusnya berkata bahawa kata-kata yang didakwa palsu itu perlu dibaca dengan mengambil kira keseluruhan keterangan saya bagi memahami apa maksud sebenar yang hendak disampaikan oleh saya ketika menjadi saksi utama pembela ke 14 dalam perbicaraan kes Dato Seri Anwar Ibrahim pada 9 Mac 1999. 

Keterangan yang didakwa palsu itu berbunyi : “Saya menyatakan kepada Majistret mengapa saya tidak boleh dilanjutkan tempoh tahanan kerana tindakan dan ugutan pihak polis semasa dalam tahanan adalah terlalu kejam dan memaksa saya membuat pengakuan yang melibatkan saudara Anwar dan tidak berasas sama sekali.” 

Saya dihadapkan ke mahkamah atas kenyataan di atas yang kononnya keterangan palsu. Alhamdulillah, saya dibebaskan di peringkat akhir pendakwaan pada 13 Julai 1999 setelah Hakim Hamdan Indah memutuskan bahawa pihak pendakwaraya gagal membuktikan kes prima facie terhadap saya. Pada 1 November 2007, Hakim Abdul Kadir menegaskan bahawa beliau bersetuju dengan penghakiman Hakim Hamdan Indah bahawa pihak pendakwaraya gagal membuktikan kes prima facie terhadap saya. 

Pihak pendakwaan kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Tinggi pada 17 Februari 2000 di hadapan Hakim Dato’ Abdul Wahab Patail, abang kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail. Akhirnya, Wahab memerintahkan supaya kes ini dirujuk semula ke Mahkamah Sesyen untuk disambung perbicaraan di peringkat pembelaan di hadapan Hakim yang baru iaitu Akhtar Tahir. Hakim Hamdan Indah yang membebaskan saya dipindahkan ke Melaka atas alasan yang tidak saya ketahui! 

Pada 2 Mei 2001, Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas saya. Saya terus memfailkan rayuan terhadap keputusan Akhtar Tahir. 

azmin.JPGHakim Dato’ Abdul Kadir Musa juga dengan keras menyangkal penemuan Abdul Wahab Patail yang membuat kesimpulan bahawa tidak ada cadangan bahawa saya telah dipaksa, diugut dan dizalimi. Menurut Hakim Abdul Kadir, keputusan Wahab tidak mengikut interpretasi undang-undang berbanding dengan Hakim Hamdan Indah yang berada dalam kedudukan yang boleh melihat sendiri setiap saksi termasuk tingkah laku, bahasa tubuh dan perkara-perkara lain yang seumpamanya. Justeru itu, menurut Hakim Dato’ Abdul Kadir lagi, Hakim Hamdan Indah mempunyai segala peluang untuk membuat penilaian dan interpretasi yang lebih tepat terhadap faka-fakta yang relevan secara keseluruhan dan bukan secara berasingan. Berada dalam kedudukan sedemikian, kata Hakim Dato’ Abdul Kadir, peluang untuk Hakim Hamdan Indah membuat rumusan secara spekulatif terhadap fakta-fakta tersebut seperti yang diputuskan oleh Abdul Wahab Patail adalah sangat mustahil.


Rayuan kes ini memakan masa lebih 8 tahun sehingga menafikan hak saya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2004. Keputusan ini pastinya memberikan semangat baru kepada aktivis parti dan ahli-ahli keADILan yang sekian lama tabah bersama saya dalam perjuangan ini. Seperti kata Saudara Din Merican, "The Battle of Gombak is Back!". Saudara Khalid Jaafar, sahabat lama saya dan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi turut merasa lega dan mengungkapkan kata-kata semangat, “Azmin Strikes Back”. 

Penghakiman setebal 30 muka surat itu dibaca tepat jam 10.50 pagi. Hakim Dato’ Abdul Kadir Musa mengambil masa hampir 30 minit untuk membaca ringkasan penghakiman. Sebaik sahaja Hakim Abdul Kadir membebaskan saya, tepukan gemuruh kedengaran dari galeri awam yang penuh sesak dengan ahli keluarga saya dan teman-teman sehingga memaksa Hakim untuk menasihatkan supaya tidak berbuat demikian. 

Saya terus memeluk erat isteri saya, Shida serta abang saya, Azman dan ibu mertua saya yang senantiasa memberikan semangat kepada saya untuk meneruskan perjuangan ini. Ramai teman-teman khususnya dari Gombak yang menitiskan air mata sebagai tanda kegembiraan dan syukur di atas kemenangan ini. Turut hadir di mahkamah ialah Sivarasa Rasiah, Tian Chua, Dato’ Kamarul Baharin Abbas, Haji Osman Haji Abdul Rahman, Muhammad Gaddafi Kamal, Yusmadi Yusoff, Dr. Hatta Ramli, Haji Saari Sungib dan isteri, Puan Aliza Jaafar; Nasir Isa, Puan Maznah Abdul Aziz, Razali Ramli, dan ramai lagi pimpinan dan aktivis parti. 

Saya terus bergegas ke Kampong Klang Gate untuk membawa berita gembira ini untuk ibu kesayangan saya. Beliau yang tidak dapat hadir kerana kurang sihat senantiasa mendoakan keselamatan saya. 

Saya bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana membebaskan saya. Keputusan ini juga menguatkan lagi keyakinan saya bahawa kesabaran dan ketabahan dalam perjuangan akan berakhir dengan kemenangan. Walaupun terdapat kerosakan yang nyata dalam badan kehakiman hari ini sehingga menuntut satu reformasi, namun masih ada segelintir hakim yang berpegang teguh kepada prinsip dan bebas dari cengkaman kuasa eksekutif  dan mampu menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan. 

Saya berterima kasih kepada barisan peguam yang cukup komited dan memberikan perkhidmatan guaman secara percuma dari awal kes ini dibicarakan di mahkamah khususnya C.V. Prabhakaran, Christopher Fernando dan Gurcharan Singh Sohan. Saya juga merakamkan penghargaan kepada teman-teman dalam perjuangan yang tidak putus-putus mengunjungi saya di mahkamah dan mendoakan untuk keselamatan dan kesejahteraan saya dalam menghadapi ujian ini. 

Pada sebelah petang hari yang sama, saya menerima panggilan telefon dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu berada di Lapangan Terbang Amman, Jordan untuk berlepas ke Paris. Beliau melahirkan rasa syukur dan amat gembira di atas kemenangan saya di mahkamah. Anwar membuat tawaran kepada saya untuk bertanding di kawasan Parlimen dan akan membincangkan secara khusus sekembali beliau dari lawatan kerja ke Paris pada 6 November 2007.

gambar-gambar sewaktu di mahkamah:

dsc06278.JPGdsc06320.JPG

Image000(1).jpgImage003.jpg

gambar oleh: Syafiq Sunny






Saturday, November 03, 2007 4:20:20 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)