Saya dan William Leong memenuhi undangan Puan Fuziah Salleh di
Kuantan, semalam Dis 15, 2007. William bergegas seawal jam 11.00 pagi
dari Kuala Lumpur untuk mengelak kesesakan dan kemungkinan lebuhraya
ditutup ekoran banjir. Saya berlepas jam 2.00 petang kerana ada acara
di KL di sebelah pagi. Saya bernasib baik kerana sejurus tiba di Karak,
pengurusan Lebuhraya Pantai Timur membuka laluan sepenuhnya. William
dan Fuziah terpaksa mengambil masa 7 jam untuk tiba di Kuantan kerana
pada lewat pagi, air naik di Lancang dan semua kenderaan terpaksa
melalui jalan lama Bentong, Raub, Benta, Jerantut dan Temerloh untuk ke
Kuantan. Saya tiba jam 4 petang. William tiba jam 6.00 petang !
Jentera
BA Kuantan selamat dilancarkan. Saya turut sempurnakan flag down untuk
konvoi kereta yang membawa bendera keADILan di Jalan Beserah. Saya dan
William menghadiri majlis Jamuan Tea di Kampong Jawa. Hujan lebat
namun rakyat terus tampil dengan berani. Dalam Warong Pok Teh, tetamu
di kalangan anak anak muda dari pelbagai kaum termasuk India dan
Tionghua hadir dengan komitmen baru mendukung keADILan. Saudara Siew
bekas pemimpin MCA Kuantan turut hadir dan berucap. Saya mengajak
rakyat menolak politik perkauman dan maju ke hadapan dengan agenda
reformasi demi kesejahteraan bangsa Malaysia. Masyarakat Melayu di
Kuantan juga sedia maklum bahawa pengkhianat orang Melayu BUKAN Dato'
Seri Anwar Ibrahim tapi pemimpin pemimpin elit UMNO.
Kemudian saya
mengunjungi Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Penjara Penor.
Seramai 389 orang dari Kampong Semangat, Pekan dipindahkan ke pusat ini
semenjak beberapa hari yang lalu. Saya dan Fuziah membawa sumbangan
dan bantuan untuk keluarga mangsa banjir di pusat ini. Menurut mereka,
banjir kali ini cukup dahsyat dalam tempoh 7 tahun. Kerajaan BN
melengah lengahkan bantuan kepada mangsa mangsa. Komander Penjara
mengelabah dengan kehadiran saya dan terus memaklumkan pihak atasan.
Saya
dan Saudara Zakaria Abdul Hamid, Pengerusi Perhubungan Negeri
kemudiannya menuju ke Indera Mahkota untuk mendengar taklimat persiapan
pilihan raya di Bilik Gerakan Parlimen Indera Mahkota. Saudara Azan
Ismail dan Ketua Bahagian memberikan penerangan yang amat meyakinkan.
Puan Nancy turut sama memberikan maklum balas.
Saya terpaksa meredah
hujan lebat untuk menghadiri ceramah umum di Kampong Tanjong Lumpur.
Cuaca yang basah tidak melunturkan semangat rakyat untuk hadir
mendengar penjelasan isu isu semasa. Saya pulang dan tiba di Kuala
Lumpur jam 3.00 pagi.
Sekarang (Ahad, Dis 16 jam 6.00 petang)aya
dalam kenderaan untuk menghadiri 2 ceramah di Sungai Bakap, Nibong
Tebal dan Juru, Pulau Pinang.
Mesej untuk rakyat : Ubah Sebelum Parah. Ubah demi Maruah.
Azmin Ali.