Wednesday, January 09, 2008

keADILan dan DAP hari ini mencipta sejarah politik tanah air dengan memeterai perjanjian muafakat pilihan raya untuk menghadapi Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 12. Kedua-dua parti bersetuju secara rasmi dasar "satu lawan satu" di semua kawasan pilihan raya bermula di Negeri Pulau Pinang. Majlis memeterai perjanjian ini disempurnakan di Pulau Pinang dengan disaksikan oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti. keADILan dipimpin oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim manakala DAP diwakili oleh YB Lim Kit Siang. Perjanjian ini menyusul perbincangan di antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti pada hari Isnin, 7 Januari 2008 yang lalu di pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya.

Permuafakatan ini yang bertujuan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru seperti yang sering berlaku dalam pilihan raya yang lalu pastinya akan memecah hegemoni BN di Pulau Pinang yang juga negeri asal Perdana Menteri Abdullah Badawi. Permuafakatan ini juga membuktikan bahawa parti-parti utama di luar kerajaan semakin kukuh dan bersatu hati untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dan negeri-negeri termasuk Pulau Pinang demi mewujudkan negara madani untuk bangsa Malaysia.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung hari ini, keADILan percaya persetujuan ini akan memberikan kesan yang sangat bermakna dalam usaha untuk memecahkan hegemoni BN di Pulau Pinang sebagai salah satu negeri tumpuan keADILan akan menjadi permulaan kepada usaha ini.

Perjanjian ini memperincikan senarai pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi DAP dan selebihnya akan dirundingkan di antara keADILan dan PAS. Berdasarkan perjanjian ini, DAP akan bertanding di 7 daripada 13 kawasan Parlimen dan diberikan peruntukkan untuk bertanding di 19 daripada 40 kawasan DUN. Parlimen yang dipersetujui untuk DAP ialah Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor. Daripada 7 Parlimen ini, 4 sudahpun dimenangi oleh DAP dalam tahun 2004 iaitu Bagan, Bukit Mertajam, Tanjong dan Bukit Gelugor. Manakala 3 Parlimen yang lain diwakili oleh Gerakan. Berikut adalah senarai DUN yang dipetik dari laporan Malaysiakini :

Perjanjian yang dimeterai hari ini memperlihatkan DAP kekurangan 1 kerusi DUN. Pada tahun 2004, DAP bertanding di 20 DUN. Perjanjian ini juga memperakukan kerusi DUN Bukit Tambun dan DUN Kebun Bunga untuk keADILan. Dalam Pilihan Raya Umum 2004 yang lalu, Bukit Tambun menyaksikan pertembungan 3 penjuru dengan DAP dan BN manakala Kebun Bunga ditandingi oleh DAP. Dalam semangat permuafakatan dan kerjasama, keADILan tidak akan bertanding di Parlimen Batu Kawan.

keADILan akan memastikan dasar "satu lawan satu" menentang BN ini akan dipegang bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi menjadi dasar nasional. Justeru itu, keADILan akan menyegerakan perbincangan dengan PAS untuk mencapai kata sepakat demi kepentingan strategik memenangi pilihan raya. keADILan tegas untuk menjalin kerjasama tulin dengan semua parti politik dan NGOs yang progresif dan komited kepada usaha mengubah lanskap politik Malaysia, melalui saluran demokrasi, kepada sebuah pentadbiran negara madani.

Azmin Ali.

Wednesday, January 09, 2008 7:48:42 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)