Faizal Shah menulis :
Abg Azmin...... tahniah di atas kekentalan semangat abg Azmin. Sebelum tu saya merupakan antara pelajar paling lama berguru dgn ayah abg azmin. Arwah ustaz pasti bangga melihat perjuangan anaknya. Ketika arwah ustaz kembali ke rahmatullah saya tak sempat kerana ketika itu saya menuntut di Michigan USA. Arwah ayah abang merupakan seorang yg cukup tegas dan disiplin. Nasihat dan ilmuyg dicurahkan masih terngia2 sehingga ke saat ini. Salam reformasi daripada saya.
Saya terharu di atas kunjungan Saudara Faizal ke blog saya. Lebih gembira sekali apabila saudara adalah anak murid kepada arwah ayahanda saya. Pemergian ayahanda saya pada bulan Julai 1999 amat dirasai oleh saya dan keluarga. Ayahanda saya, Pak Ali senantiasa teguh bersama saya tatkala berlakunya insiden 1998. Pak Ali dengan berani bangun menentang fitnah yang ditaja oleh pemimpin elit UMNO dan tauke judi dalam negara. Ayahanda saya terpaksa mengambil tindakan yang tegas untuk "disowned" adik saya yang diperalatkan oleh penguasa zalim, walaupun jauh dihatinya amat kecewa. Kesihatan beliau sering terganggu akibat tekanan dan senantiasa berulang alik ke IJN. Namun, beliau kerap mengunjungi saya dan isteri, Shida serta anak-anak di rumah dengan membawa roti canai dan tosey untuk sarapan pagi bersama.
Ayahanda Pak Ali amat dikenali sebagai seorang yang tegas, amanah dan berdisiplin tinggi. Beliau mempunyai ratusan anak-anak muridnya yang mengikuti pengajian Al Quran dan Fardhu Ain. Ketika mengajar, beliau memang garang. Rotan senantiasa ditangannya. Mungkin Faizal juga pernah kena rotan ! Namun, hatinya amat baik dan ikhlas dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Saya masih ingat kegigihan arwah ayahanda saya yang memandu sendiri kereta Mercedez merahnya yang uzur untuk mengambil anak-anak muridnya sekitar Taman Melawati dan Hulu Kelang dan sesudah pengajian beliau juga akan menghantar pulang anak-anak muridnya hingga ke pintu rumah.
Beliau cukup rapat dengan saya. Beliau menghembuskan nafas terakhir di IJN dalam dakapan saya. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmatNya ke atas ruh ayahanda saya dan menempatkan ruhnya di syurga bersama para solihin dan syuhada'. Saya akan meneruskan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya berjanji untuk membela nasib rakyat yang ditindas. Saya harap Faizal dapat bersama saya untuk membawa perubahan. Kalau ada kelapangan, pohon hubungi saya di 012.205.2020 atau email :
azmin.ali@gmail.com.
Azmin Ali.