Saya baru sahaja menziarahi Saudara Aris Rizal Christopher Fernando, peguam kanan yang kini sedang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Janjung Negara (IJN). Keadaan kesihatannya dilaporkan stabil tetapi kritikal. Menurut isterinya, Puan Maria, Saudara Fernando diserang penyakit jantung pada awal pagi Isnin, 14 Januari ketika bersiap untuk ke mahkamah. Beliau dikejarkan ke klinik berdekatan namun dinasihatkan oleh doktor untuk dikejarkan ke IJN. Doktor pakar mengambil beberapa hari untuk memantau keadaan kesihatannya sebelum mengambil keputusan untuk membuat pembedahan pintasan jantung (by-pass) pada jam 5.00 petang semalam, hari Jumaat. Pembedahan ini mengambil masa hampir 4 jam. Sehingga petang ini, Saudara Fernando masih belum sedarkan diri malahan pada beberapa ketika keadaannya agak kritikal.
Saya berada di IJN selama hampir 2 jam. Ramai kenalan serta peguam berada di ICU untuk memberikan sokongan moral kepada isteri dan anak-anaknya. YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail adalah di antara kenalan yang paling awal mengunjungi Saudara Fernando. Mulai jam 1.00 petang tadi, doktor tidak membenarkan ahli keluarga dan tetamu untuk masuk ke dalam bilik ICU kerana pihak doktor sedang memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Saudara Fernando.
Marilah kita bersama sama membuat Solat Hajat dan berdoa kepada Allah S.W.T. semoga Saudara Aris Rizal Christopher Fernando akan segera sembuh dan senantiasa berada di dalam pemeliharaan Allah S.W.T.
Azmin Ali.