Wartawan Utusan Malaysia menghubungi saya jam 1.50 petang ini untuk mendapat komen saya berhubung tajuk utama dalam Utusan Malaysia hari ini - " Kecekapan kerajaan atasi UK, Jerman, Jepun, Perancis. Kita ke-6 terbaik dunia." Begitulah watak editor Utusan Malaysia yang berfikiran jumud dan dangkal. Al maklumlah - suratkhabar yang dikuasai oleh UMNO.
Secara spontan, saya terus menjawab dengan nada yang tegas. "Perdana Menteri pembohong." Saya pun bertanya kepada wartawan berkenaan, "Apakah kamu berani untuk melaporkan kenyataan saya ?". Beliau terus tertawa. Mungkin wartawan berani tapi editor Utusan Malaysia memang menikus !
Abdullah Badawi mendakwa bahawa Malaysia kini berada di tangga ke 8 dunia dalam konteks daya saing negara. Apabila saya teliti laporan menyeluruh World Competitiveness Year Book 2007, nyata kenyataan Abdullah mengelirukan. Beliau cuba memutar belitkan data dan angka yang dipetik dari laporan tersebut apabila buat julung kalinya, kerajaan UMNO dan Barisan Nasional cuba mengaitkan prestasi di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi melebihi 20 juta orang penduduk.
Laporan penuh menyenaraikan kedudukan sebenar kebolehsaingan Malaysia adalah di tangga 23 ; merosot jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Kedudukan kebolehsaingan Malaysia pada tahun 2006 adalah di tangga 22 manakala pada tahun 1997 adalah di tangga 17. Ini adalah percubaan terdesak Perdana Menteri Abdullah untuk menangkis serangan terhadap kepimpinan beliau yang lemah dan kedudukan ekonomi yang tidak segar. Nyata, Abdullah Badawi masih tidur dan berada dalam zon penafian.
Laporan World Competitiveness Year Book 2007 juga melaporkan bahawa Singapura dan Hong Kong masing-masing berada di tahap 2 dan 3.
Kita mesti berani bawa perubahan. Rakyat Malaysia perlukan kepimpinan yang lebih baik dan berwibawa. keADILan mengajak rakyat untuk bersama sama membawa dan menterjemahkan agenda perubahan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Harapan Baru Untuk Malaysia. A New Dawn For Malaysia.
Azmin Ali.