Monday, May 05, 2008

Pada 30 April 2008, saya bangun untuk memohon penjelasan dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat Perkara 14 ( 1 ) iaitu sejauh mana peranan dan pengaruh Tuan Yang DiPertua dalam menyusun urutan pertanyaan lisan pada hari pertama dan mengingatkan Tuan Yang DiPertua bahawa seolah – olah Parlimen Malaysia tidak mengiktiraf peranan dan kedudukan Ketua Pembangkang yang sepatutnya diberikan keutamaan untuk mengemukakan soalan pertama.

Ini jelas terbukti daripada 10 soalan pertama yang disusun untuk dijawab pada hari pertama, 7 soalan diperuntukkan untuk Barisan Nasional manakala hanya 3 soalan diperuntukkan untuk Pakatan Rakyat.

Saya juga mengingatkan Parlimen bahawa susulan tsunami politik pada 8 Mac 2008, jumlah Ahli Dewan Rakyat dikalangan Pakatan Rakyat adalah lebih besar dibandingkan dengan jumlah Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional. Pakatan Rakyat mempunyai 82 sedangkan Backbenchers BN hanya 77.

Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan sekiranya Tuan Yang DiPertua berhasrat untuk mengembalikan kebebasan institusi Parlimen seperti yang dilaporkan dalam akhbar, pengagihan pertanyaan jawab lisan sewajarnya berdasarkan nisbah di atas iaitu setiap 10 soalan pertama pada setiap hari, 6 soalan perlu diperuntukkan kepada Pakatan Rakyat dan 4 untuk Barisan Nasional.

Saya juga mendesak supaya Tuan Yang DiPertua memandu perjalanan persidangan berdasarkan lunas undang – undang dan prinsip keadilan.

Pada hari kedua persidangan iaitu hari ini, 5 Mei 2008, Tuan Yang DiPertua membenarkan 5 soalan dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan 5 soalan oleh BN untuk 10 soalan yang pertama dengan soalan dari Machang (keADILan) mendahului sesi soal jawab.

Monday, May 05, 2008 12:12:07 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)