Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keduabelas 2008 mula bersidang pada 30 April 2008 dan akan berakhir pada 27 Mei 2008. Hari pertama persidangan menyaksikan perdebatan yang panas dan sengit di kedua belah pihak. Media yang dikuasai oleh BN dengan pantas cuba menonjolkan propaganda mereka dengan menyatakan bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat di kalangan Pakatan Rakyat bertindak secara tidak bertanggungjawab.
Selaku Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat, saya menegaskan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dari keADILan bukan sekadar menegur kepincangan dasar dan kepimpinan BN, tetapi saya menganjurkan anjakan dan perubahan dasar yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang segar dan keselamatan rakyat.