Friday, October 03, 2008

Saya menyambut Eidul Fitr pada tahun ini di Kuala Lumpur bersama isteri dan anak-anak. Anak sulong saya, Liyana yang kini sedang menuntut di Melbourne pulang untuk bersama kami menyambut Syawal. Saya dan Shida membawa anak-anak menziarahi pusara ayahanda saya di Kampong Klang Gate sehari sebelum Eidul Fitr dan mendoakan semoga ruhnya dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni'mat. Sejurus sebelum beredar, saya dihampiri oleh pengawas kubor yang meminta supaya pentadbiran yang baru dapat mengekalkan beliau sebagai pengurus kubor berkenaan. Amat melucukan ! Saya memberikan jaminan bahawa beliau akan kekal selagi beliau menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab.

Pada pagi 1 Syawal, saya menyempurnakan Solat Eidul Fitr di Masjid Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Sejurus solat selesai, saya diundang oleh Imam 1, Ustaz Khairi untuk berkunjung ke rumahnya yang terletak di dalam kawasan masjid. Kemudian saya dan keluarga terus bergegas ke rumah ibu saya di Kampong Klang Gate untuk berhari raya bersama beliau. Turut berada di rumah ibu saya ialah Azwan, adik saya yang sudah agak lama saya tidak berkesempatan bertemu dengan beliau. Seperti biasa, Azwan memang kecoh dan meminta untuk bergambar bersama saya !

Pada sebelah petang, kami mengunjungi Rumah Terbuka YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di Shah Alam. Kemudian kami bergegas pulang kerana ada tetamu yang sudah menunggu di depan kediaman kami. Pada Hari Raya yang kedua, kami menziarahi ibu-ibu saudara saya sekitar Kampong Klang Gate, Hulu Kelang dan Kampong Baru.

Esok, jadual saya bermula sibuk untuk memenuhi undangan perkahwinan dan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr. Semoga amalan ziarah ini akan menajalin ukhwah dan persaudaraan yang utuh.

 

Friday, October 03, 2008 9:57:16 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)