Monday, October 13, 2008

Memulakan perbahasan Bajet 2009 pagi ini, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya Menteri Kewangan yang baru, Najib Tun Razak tampil untuk membentangkan Bajet yang baru memandangkan krisis dan kemelut ekonomi global yang dahsyat. Hujah beliau, usaha untuk memangkin dan memacu pertumbuhan ekonomi dalam keadaan yang biasa berbeda dengan pendekatan dalam krisis. Jurang di antara fakta yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 2008 dengan realiti hari ini terlalu besar. Sebagai contoh, defisit negara yang dijangka turun daripada 4.8 % kepada 3.5 % pada tahun 2009 sudah tentunya tidak realistik lagi malahan akan membengkak. Pendapatan negara akan berkurangan ekoran penurunan harga minyak di pasaran dunia daripada USD 135 setong kepada USD 77 setong hari ini. Hampir separuh. Kadar pengganguran juga akan meningkat. Krisis kewangan hari ini pastinya akan memberikan dampak ke atas pendapatan negara, pertumbuhan ekonomi dan defisit negara. Justeru itu, Ketua Pembangkang menegaskan bahawa Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dipaksa membahaskan isu dan angka yang sudah tidak relevan seolah-olah membincangkan kertas sejarah ekonomi ! Menteri Kewangan yang bertanggungjawab sewajarnya berani untuk membentangkan angka, data dan unjuran yang baru untuk membolehkan Ahli-Ahli Parlimen membahaskan Bajet 2009 yang lebih realistik dengan pendekatan yang baru bagi mempersiapkan negara mendepani kemelut ekonomi.

Namun, keangkuhan kuasa masih menguasai sikap pemimpin elit UMNO. Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang baru masih dalam "state of denial". Ketua Pembangkang bukan sahaja menyanggah dasar kewangan UMNO-BN yang sudah tidak relevan, tetapi beliau turut mencarinkan dasar kepedulian rakyat yang menjadi asas perjuangan Pakatan Rakyat. Beliau berbahas selama hampir 5 jam dan akan bersambung esok.

Monday, October 13, 2008 8:11:17 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)