Wednesday, October 22, 2008

Pagi ini saya mengambil bahagian untuk membahaskan Bajet 2009 Negeri Selangor yang dibentangkan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor dua hari yang lalu. Usaha Menteri Besar membentangkan Bajet Berimbang dalam keadaan negara sedang berada dalam krisis ekonomi disambut baik.

Antara perkara yang saya sentuh ialah mendesak Kerajaan Negeri supaya meneliti semula terma-terma perjanjian projek-projek usahasama di antara Kerajaan Negeri dan pemaju-pemaju besar yang berat sebelah dan lebih berpihak kepada pihak swasta dan merugikan Kerajaan Negeri. Pendedahan Menteri Besar bahawa terdapat penyelewengan dalam projek usaha sama hartanah sehingga negeri kehilangan RM 30 bilion menuntut Kerajaan Negeri menetapkan KPI untuk mengukur prestasi setiap GLC. Sementara saya bersetuju dengan cadangan untuk mengekalkan Ketua-Ketua Eksekutif kerana mahu mereka menebus kesalahan lalu dengan mendapatkan kembali wang yang hilang akibat penyelewengan, saya meminta Kerajaan Negeri menetapkan tempoh masa untuk mencapai maksud yang murni ini. Saya juga meminta Kerajaan Negeri untuk melaporkan hasil siasatan yang dilakukan oleh badan audit bebas ke atas semua GLC semenjak Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pada Mac 2008.

Saya juga mencadangkan supaya teknologi baru dilaksanakan untuk merawat dan memproses sisa pepejal yang semakin meningkat di Negeri Selangor. Banyak kelemahan dalam sistem pengurusan sisa pepejal yang sedia ada termasuk pencemaran sungai, pencemaran sumber air bawah tanah dan jangka hayat tapak pelupusan sampah (landfill) yang pendek. Kerajaan juga menanggung kerugian akibat kegagalan menggunapakai 'economic benefits' melalui teknologi kitar semula. Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri segera meneliti teknologi canggih pengusaha tempatan yang mengurus sisa pepejal secara efektif melalui mengkitar semula dan mengubah bentuk sisa pepejal. Melalui teknologi ini, hanya 20 % daripada sisa pepejal yang diproses akan dimasukkan dalam landfill manakala 80 % lagi akan bertukar bentuk menjadi sumber tenaga yang dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF) sebagai sumber tenaga alternatif petrol atau arang batu untuk menggerakkan turbin bagi menjana kuasa elektrik disamping sebahagian hasil sisa pepejal yang sudah diproses boleh bertukar bentuk menjadi baja dan air bersih.

Saya juga mendesak supaya Kerajaan Negeri menaikkan gaji guru-guru KAFA daripada RM 738 sebulan kepada RM 1500 sebulan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip agama dan nilai-nilai murni dalam melahirkan masyarakat madani. Di Negeri Selangor terdapat 6,099 orang guru KAFA yang selama ini dibayar gaji di bawah garis kemiskinan.

Saya turut mencadangkan Kerajaan Negeri memperkenalkan dan memperluaskan skim mikrokredit untuk melahirkan usahawan baru di kalangan golongan miskin dan juga 'nouveau poor' di Negeri Selangor. Saya turut berkongsi kejayaan skim ini yang dipelopori oleh Prof Muhammad Yunus yang mengasaskan Grameen Bank untuk menyediakan pinjaman mikrokredit kepada 7.4 juta peniaga kecil dan sederhana di Bangaldesh dengan jumlah pinjaman sebanyak USD 6.0 bilion. Kadar pembayaran balik pinjaman di kalangan peminjam melebihi 95 %.

Perbahasan saya turut menyentuh usaha Kerajaan Negeri untuk mengambilalih konsesi air melalui 'migration scheme' daripada Pucak Niaga, Syarikat Bekalan Air Selangor, Konsortium ABASS Sdn Bhd dan SPLASH. Saya mencadangkan supaya selaras dengan agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' (MES), kerajaan boleh melibatkan rakyat Selangor dalam SPV baru yang akan mengurus air Selangor dengan pembayaran dividen tahunan terus ke pemegang akaun air dalam Negeri Selangor. Cadangan ini akan memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Negeri Selangor.

Wednesday, October 22, 2008 4:38:48 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)