Saturday, January 05, 2008

Saya baru kembali dari Pulau Langkawi petang ini. Semalam, 4 Januari 2008, keADILan Bahagian Langkawi yang dipimpin oleh Haji Wan Salleh Wan Isa mengatur program rakyat sehari suntuk saya. Sejurus tiba, saya mendapat dan mendengar keluhan rakyat secara terus dari rakyat Pulau Langkawi ketika saya berhenti minum pagi di warong Padang Mat Sirat. Tambang feri yang tinggi, masalah nelayan yang dibekukan lesen dan tidak mendapat subsidi diesel dan petrol, dana khas Tsunami yang diselewengkan, pengurusan hotel 5 bintang yang dikuasai oleh orang asing, tiada bekalan minyak masak, program LIMA yang tidak memberi manfaat untuk penduduk tempatan Langkawi, yuran sekolah dan pelbagai keluhan yang menzahirkan kesempitan hidup rakyat di desa.

Saya dan pimpinan Bahagian menaiki bot ke Pulau Tuba. Perjalanan dengan bot selama 20 minit. Saya lihat bendera keADILan berkibar megah di Pulau Tuba. Kami menyempurnakan Solat Jumaat di Masjid al Hijrah, Kampong Selat Lubok Chempedak, Pulau Tuba. Kami disambut mesra oleh pimpinan masjid. Kemudian menyusul program makan tengahari bersama rakyat Pulau Tuba di sebuah rumah ahli keADILan. Saya diminta berucap dalam majlis ini yang turut dihadiri oleh pimpinan UMNO Cawangan dan Pengerusi JKKK selain pendukung keADILan dan PAS termasuk YDP Pas Kawasan Langkawi, Ustaz Zubir Ahmad. Menurut Ir. Zamri Yusof, Pengerusi keADILan Negeri Kedah yang menyertai rombongan saya, Pulau Tuba sukar ditembusi malahan pernah dihalau oleh Pemuda UMNO ketika keADILan datang untuk berkempen pada tahun 1999. Alhamdulillah, rakyat Pulau Tuba sudah berani untuk membawa perubahan.

Maklum balas dari teman-teman UMNO dan Imam Masjid yang hadir amat meyakinkan. Mereka berpuashati dengan penerangan dan membisikkan kesediaan untuk bersama membawa perubahan.

Pada sebelah malam, saya berceramah bersama Ustaz Hamid Derani di Bilik Gerakan Utama keADILan Padang Mat Sirat. Ustaz Hamid adalah mantan Penceramah Agama UMNO Pusat dan pernah menjadi Penceramah Agama Jeli, Kelantan. Hampir 3,000 rakyat Pulau Langkawi menghadiri majlis ini. Saya difahamkan ramai juga ahli-ahli UMNO yang mendengarnya dalam gelap. Mudah-mudahan mereka berubah !

Pagi ini, saya batalkan jadual penerbangan ke Kuala Lumpur di awal pagi kerana berhasrat untuk turun ke jeti nelayan dan mengadakan dialog dengan nelayan-nelayan di Kampong Kuala Cenang, Pulau Langkawi. Lebih 30 orang nelayan tulin dan sampingan menyertai dialog ini. Lebih 400 nelayan Pulau Langkawi menghadapi kesempitan hidup akibat dasar BN yang tidak peduli masalah rakyat miskin. Menurut Pengerusi Persatuan, sudah lebih setahun, Kementerian Asas Tani membekukan "lesen vessel" untuk nelayan nelayan tulin. Lantaran itu, nelayan-nelayan yang tiada lesen tidak mendapat kemudahan e-petrol iaitu subsidi untuk bekalan diesel dan petrol. Pendapatan bersih setiap nelayan semakin merosot dan kini kurang daripada RM 700.00 sebulan. Di samping itu, kebanyakan keluarga nelayan juga menanggung hutang dengan kerajaan ekoran pinjaman dana khas Tsunami yang berjumlah RM 25,000.00 maksima. Persatuan nelayan mendesak supaya pinjaman ini dihapuskan kerana dana khas Tsunami ini adalah sumbangan rakyat dan sektor korporat dan bukannya sumbangan kerajaan. Nelayan-nelayan juga kesal dan mendakwa berlaku penyelewengan kerana pembekal yang ditetapkan oleh kerajaan untuk membekalkan peralatan yang musnah dalam tragedi Tsunami menaikkan harga secara melampau. Sebagai contoh, lampu gasoline yang bernilai RM 80.00 di pasaran biasa tetapi pembekal yang ditunjukkan oleh kerajaan menetapkan harga RM 400.00 untuk nelayan. Saya amat bersimpati dan berjanji akan membawa perkara ini untuk perhatian Dato' Seri Anwar Ibrahim dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail untuk dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Saya yakin rakyat Pulau Langkawi sudah bosan dan muak dengan BN. Saya dapat merasakan rakyat Pulau Langkawi sudah bersedia untuk ubah sebelum parah, ubah demi maruah ! Kita akan menyaksikan kehebatan dan keberanian rakyat Pulau Langkawi mencipta sejarah dalam Pilihan Raya Umum ke 12 dengan menegakkan keadilan dan kebenaran.

Azmin Ali./

 

Saturday, January 05, 2008 7:30:29 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Monday, January 07, 2008 11:08:38 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Teruskan perjuangan anda. Saya yakin kejayaan akan berada di pihak yang benar. InsyaAllah.


Wan Zulli
www.udadara.com/keris
Wednesday, February 13, 2008 11:48:47 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Penduduk langkawi mengalu-ngalukan kedatangan saudara PKR.
tapi pangkah ttp pangkah UMNO.

PArlimen - BN
ADUN -Yg lain2 mungkin bole bg PAS.
zam
Name
E-mail
Home page

Comment (Some html is allowed: a@href@title, strike) where the @ means "attribute." For example, you can use <a href="" title=""> or <blockquote cite="Scott">.  

Enter the code shown (prevents robots):

Live Comment Preview