Disclaimer The opinions expressed herein are my own personal opinions
Petang ini saya membahaskan bajet Negeri Selangor untuk Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan (SUK) dalam Peringkat Jawatankuasa. Jumlah yang diperuntukkan ialah RM 76 juta. Saya meminta supaya prestasi anggota pentadbir diberikan perhatian utama untuk menjamin semua program dapat dilaksanakan secara efektif. YAB Dato' Menteri Besar memberi jaminan bahawa beliau dan anggota EXCO akan bekerja kuat untuk memperkasa pentadbiran institusi Pejabat Menteri Besar ke arah produktiviti yang tinggi.
Saya juga mendesak supaya YAB Tan Sri Khalid dapat memantau prestasi PBT dalam melaksanakan agenda dan program kerajaan baru selaras dengan tema "Merakyatkan Ekonomi Selangor" khususnya persoalan perumahan rakyat Selangor. Saya turut menggesa supaya Kerajaan Negeri menyegerakan penyelesaian masalah peneroka bandar di Kampong Berembang yang masih berkhemah di kampong berkenaan. Masalah utama ialah kerajaan negeri yang lama tajaan UMNO dan BN telah mengambil 150 unit untuk diagihkan kepada kroni ADUN UMNO yang lama sehinggakan menafikan hak lebih 60 keluarga yang merupakan peneroka asal kampong ini. Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri segera meneliti tawaran unit-unit Rumah Kos Rendah Kampong Berembang ini kepada kroni UMNO yang bercanggah dengan peraturan perumahan dan diserahkan kepada peneroka bandar yang berhak menerimanya. YAB Dato' Menteri Besar menjawab dalam Dewan bahawa Kerajaan Negeri akan menyelesaikan masalah perumahan ini dalam tempoh sebulan.
Saya turut membangkitkan persoalan projek perumahan Casa Gemilang, Sungai Pusu yang terbengkalai selama lebih 3 tahun. Pembeli-pembeli projek perumahan ini terpaksa menanggung kerugian yang besar dan resah dengan masa depan mereka. Pinjaman bank yang dibayar setiap bulan semenjak 3 tahun yang lalu tidak menjanjikan rumah yang dibeli daripada pemaju Capital Lane. Menurut laporan awal yang diterima dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS), projek ini diarah dihentikan oleh Kerajaan Negeri yang lama di bawah pentadbiran Khir Toyo atas alasan tidak senang dengan pemaju berkenaan. Saya mendesak supaya Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dapat memutuskan dengan kadar yang segera untuk meneruskan projek ini dengan meletakkan terma yang tegas ke atas pemaju termasuk tempoh menyiapkan projek ini demi kepentingan pembeli-pembeli rumah di Casa Gemilang. Kerajaan Negeri memberikan harapan yang cukup baik untuk menyelesaikan masalah ini yang sudah berlarutan lebih 3 tahun. Saya akan memantau secara dekat untuk memastikan penyelesaian dibuat segera.
Remember Me
a@href@title, strike