Disclaimer The opinions expressed herein are my own personal opinions
Semalam, 25 November 2007, sehari suntuk pimpinan tertinggi keADILan memberi perhatian kepada persiapan terakhir menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12. Bermula dengan Mesyuarat MPT pada jam 10.00 pagi, taklimat penuh menyusul sejam kemudian sehinggalah jam 7.00 malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Sesi taklimat ini disertai oleh ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Pengarah Pilihan Raya Negeri-Negeri , Setiausaha Perhubungan dan Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda dan Wanita Pusat.
Hampir 100 orang pimpinan kanan parti mendengar dengan tekun amanat Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menekankan persoalan pokok iaitu menyusun rangka kerja yang strategik, memantapkan jentera dan mematuhi arahan parti. DSAI juga membayangkan bahawa keADILan akan menonjolkan tokoh tokoh baru yang berwibawa dan pastinya akan melonjakkan sokongan baru kepada keADILan.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP), saya memberikan taklimat berhubung tahap akhir persiapan parti untuk memastikan kemenangan dalam PRU ke 12. Saya menyerahkan 'thumb drive' kepada 60 Parlimen Tumpuan. Thumb drive ini mengandungi 11 fail termasuk aplikasi SISMEP 12 dan aplikasi SISMEP 12 Semak; Daftar Pemilih yang sudah diklasifikasi secara sistematik mengikut kategori pengundi baru, pengundi yang berpindah ke kawasan lain, pengundi yang berpindah masuk dan pengundi yang hilang; strategi menyusun kerja menang (winning strategy) beserta slides yang memaparkan isu-isu semasa; mesej politik untuk menjana sokongan rakyat yang merangkumi program dan dasar parti yang bersifat 'peduli rakyat' yang ditawarkan oleh keADILan; Agenda Ekonomi Malaysia dalam pelbagai bahasa; dan Laporan Sham Democracy yang mengupas secara terperinci penyelewengan dan penipuan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.
Mood 'thumb drive' semakin memuncak di kalangan pimpinan. Stok 'thumb drive' bersaiz 2 GB kehabisan di pasaran termasuk di Low Yatt !
Dr. Mansor Othman mengambil bahagian untuk memberikan laporan audit sistem pemantauan gerak kerja pilihan raya di bahagian-bahagian tumpuan. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Saudara Din Merican masing-masing memperjelaskan program sokongan yang disediakan oleh Ibu Pejabat dan Pejabat Ketua Umum. Saudara Tian Chua pula menerangkan kaedah-kaedah baru yang lebih efektif untuk menyalurkan maklumat parti kepada pengundi-pengundi serta pelbagai program penerangan. Manifesto parti dibentangkan oleh Saudara Khalid Jaafar. Manakala Saudara Johari Abdul menarik perhatian peserta mengenai strategi propaganda. Dr. Xavier Jayakumar pula berkongsi maklumat terkini hasil 'poll survey' yang dibuat oleh Merdeka Centre.
Sesi soal jawab menyaksikan panel 6 orang yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri untuk mendengar pandangan dari pimpinan seluruh negara yang menjurus persoalan menjana kekuatan parti dalam Pilihan Raya Umum ke 12.
Sehari sebelum itu, saya dan Dr. Mansor Othman serta Puan Rodziyah Ismail, Pengarah Pilihan Raya Wanita mengendalikan program latihan yang serupa di Melaka untuk peringkat Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Pasukan JPRP akan turun ke Negeri Johor pada 2 Disember 2007 ini.
Saya berani menyatakan bahawa DSAI amat berpuashati dengan persiapan parti menghadapi PRU ke 12. Insya Allah, kita akan mencipta sejarah membawa perubahan besar dalam Pilihan Raya Umum ini.
Ubah sebelum Parah. Ubah demi Maruah.
Azmin Ali.
Remember Me
a@href@title, strike