Sunday, November 18, 2007

Semenjak pengenalan saya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih 20 tahun yang lalu, beliau tidak serik-serik mendidik saya supaya banyak membaca. Yang terbaru, ketika di Jakarta, Anwar memberikan saya senaskah buku bertajuk "The Power of The Vote : Electing Presidents, Overthrowing Dictators, and Promoting Democracy Around the World" yang ditulis oleh konsultan politik yang terkenal, Douglas E. Schoen.

Anwar menjelaskan kepada saya ketika kami singgah untuk minum kopi di lobi Hotel Borobudur, pengarang menghimbau pengalamannya sebagai konsultan kepada Presiden Clinton, juga di Israel, Venezuela dan Yugoslavia.

Anwar juga menulis di dalam blognya, "ada saranan yang upaya dimanfaatkan termasuk pemantauan sikap khalayak, tidak asyik dengan kelompok sama malah perlu menembusi ke semua pelusuk. Mesej perlu jelas dengan kesatuan fikrah pimpinan, jentera harus mantap dan pekerja harus tekun dan dedikasi. Tidak terkecuali, sikap tawadduk, agar sedia menimba pengalaman baru, memperbaiki kelemahan dan merangka strategi sesuai dengan tuntutan masa dan khalayak."

Saya sempat mentelaah buku tersebut ketika dalam pesawat pulang ke Kuala Lumpur. Buku setebal 396 muka surat ini akan cuba saya habiskan dalam tempoh seminggu !

Saya juga sedang membaca 2 buah buku yang dihadiahkan kepada saya oleh Saudara Din Merican. Buku bertajuk "Knowledge And The Wealth Of Nations" oleh David Warsh dan "Conversations With Difference" oleh Goenawan Mohamad.

Saya hampir selesai membaca buku bertajuk "Bad Elements : Chinese Rebels From Los Angeles To Beijing" karya Ian Buruma.

Azmin Ali.

Sunday, November 18, 2007 5:51:21 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Tuesday, November 20, 2007 12:19:21 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Mungkin buku seterusnya ialah Blind Spot karya Dr Dzulkifli Ahmad...
Monday, November 26, 2007 11:50:08 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Sdr Azmin,

Saya mengucapkan tahniah kepada Sdr kerana telah menasihati dan menggalakan peminat blog untuk memperkasakan budaya membaca.

Membaca adalah satu budaya yang penting bagi rakyat Malaysia, terutama sekali kaum muda Melayu. Buku itu boleh dianggap sebagai rakan karib kita. Ianya sentiasa taat dan memberi manfaat supaya insan hidup dengan penuh bertamadun.

Saya digalakkan oleh ayah dan ibu semasa saya kecil lagi dan sekarang apabila saya membaca walaupun sudah berumur 68 tahun, saya merasakan bahawa saya dekat dengan ayah dan ibu yang sudah tiada serta mengingati persanan mereka. Jadi, jasa mereka berdua sentiasa dalam ingatan saya.

Memang susah pada mulanya untuk membaca, tetapi semakin mudah apabila kita menjadikan pembacaan itu satu budaya peribadi kita. Francis Bacon, ahli falsafah Inggeris, ada menyatakan "Reading maketh a man". Ini adalah nasihat yang begitu bernas.

Lebih baik lagi, kalau kita boleh berdiskusi secara kritikal mengenai pandangan dan isu-isu yang dibangkitkan oleh penulis buku itu. Alangkah baik, jika kita boleh menulis komen dan pandangan kita terhadap buku itu serta menyebarkannya untuk dikongsi oleh masyarakat umum.

Setiap umat Rasullulah diwajibkan berilmu, berperihatin dan bersifat adil. Ini lah sebab kita berjuang bersama dalam Parti KeADILan Rakyat yang memperjuangkan keadilan untuk semua dan mementingkan pendidikan yang berkualiti tinggi serta cara hidup yang beretika.

Sdr Azmin, saya masih ada beberapa buku untuk kita kongsi bersama. Saya anggap saudara sebagai pemimpin KeADILan yang berbakat dan berwibawa serta boleh menjadi contoh bagi generasi terpelajar masa hadapan.

Salam.
Din Merican
Name
E-mail
Home page

Comment (Some html is allowed: a@href@title, strike) where the @ means "attribute." For example, you can use <a href="" title=""> or <blockquote cite="Scott">.  

Enter the code shown (prevents robots):

Live Comment Preview