Disclaimer The opinions expressed herein are my own personal opinions
Ketika umat Islam sedang meratapi pemergian Ramadhan, sahabat lama saya, Dato' Nasaruddin Abdul Jalil meninggal dunia pada 9 Oktober 2007 lebih kurang jam 7.00 petang di kediamannya di Petaling Jaya. Beliau adalah mantan Setiausaha Sulit kepada Saudara Anwar Ibrahim yang tatkala itu menjadi Menteri Pendidikan. Saya pada ketika itu adalah Pegawai Khas Menteri Pendidikan. Kami sering berbincang untuk memantapkan pengurusan dan pentadbiran pejabat Pak Menteri khususnya menyusun dan memperbanyakkan program-program Saudara Anwar Ibrahim dengan rakyat. Nasa adalah orang yang cukup peramah, mudah didekati dan senantiasa ceria. Beliau cukup taat dan setia kepada perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Nasa adalah orang yang terawal dan cukup lama berkhidmat dengan DSAI. Namun, beliau tidak sombong dan tidak angkuh. Setiap perbincangan diraikan dalam permuafakatan. Kalau ada perbedaan pendapat, beliau zahirkan dalam suasana penuh beradab dan sopan. Kalau "bos" sedang marah, Nasa ada cara tersendiri untuk melunakkan dan melembutkan hati "bos"nya. Itulah kenangan manis persaudaraan saya dengan Nasa.
Saya bergegas ke rumahnya sejurus selepas Solat Tarawikh dan sempat mengikuti tazkirah oleh Ustaz Dr. Abdullah Yassin sebelum sembahyang jenazah pada jam 11.00 malam. Ramai kenalan lama termasuk dari ABIM yang membanjiri kediamannya untuk mengucapkan takziah kepada isterinya, Kak Jay. Saya sempat menyampaikan ucapan sama kepada anak lelakinya, Salman.
Selang beberapa hari kemudian, sahabat kita yang juga tokoh pejuang nasib pekerja yang kini menjawat jawatan Presiden MTUC dan Ketua keADILan Bahagian Kelana Jaya, Syed Shahir dan keluarga kehilangan orang yang tersayang. Isteri Syed Shahir, Puan Salbiah, meninggal dunia pada hari Khamis, 11 Oktober 2007 pada jam lebih kurang 10.30 malam di Hospital Universiti, Petaling Jaya.
Sejurus selepas sahur, saya bersiap untuk menziarahi jenazah di Taman Bandaraya, Shah Alam. Saya tiba lebih kurang jam 7.30 pagi untuk mengucapkan takziah kepada Syed Shahir dan keluarga.
Sewaktu Melawat Syed Shahir di kediamannya di Shah Alam.
Saya merasa amat sedih di atas musibah yang menimpa keluarga Kak Jay dan juga keluarga Syed Shahir. Saya berdoa semoga keluarga mereka dicucuri oleh Allah S.W.T. dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang telah ditentukanNya.
Saya turut berdoa semoga Allahyarham Nasaruddin dan Allahyarhamah Salbiah dicucuri rahmat dan maghfirah (ampunan) oleh Allah S.W.T. dan mendapat husnul khatimah iaitu akhir yang baik dan ditempatkan ruh mereka di dalam syurga yang penuh ni'mat. Ameen.
Azmin Ali.
Remember Me
a@href@title, strike