Wednesday, October 24, 2007

DSC06007.JPG


Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitr yang dianjurkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dan isteri, YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail pada hari Ahad lalu, 21 Oktober 2007 mendapat sambutan meriah dari rakyat Malaysia pelbagai kaum. Lebih 15,000 orang membanjiri kediaman DSAI di Bukit Segambut seawal jam 9.00 pagi walaupun hujan renyai mulai turun dari jam 6.00 pagi. Cuaca mendung berterusan sehingga jam 2.00 petang. Guruh mula kedengaran sebaik waktu Zohor tetapi Alhamdulillah, cuaca bertukar menjadi terang dan aman selepas jam 2.00 petang sehinggalah selesai majlis pada jam 7.00 malam.

Anwar yang memakai Baju Melayu berwarna ungu dan diserikan dengan keunggulan Dr. Wan Azizah mula menerima tetamu pada jam 9.00 pagi di kalangan para diplomat asing; barisan peguam yang diketuai oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ms. Ambiga; pasukan peguam yang membela beliau semenjak 1998 yang dipimpin oleh Christopher Fernando; pasukan doktor yang merawat beliau semasa dalam tahanan di Sungai Buloh; guru-guru Anwar termasuk Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang datang dengan memandu sendiri dari Melaka; teman-teman dari MCKK; bekas pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan termasuk Tan Sri Clifford Herbert; kerabat seniman dan budayawan termasuk Prof. Dato' Khoo Kay Kim dan Prof. Dato' Dr. Zainal Abidin Wahid; tokoh-tokoh korporat seperti Tan Sri Lee Kim Yew dan Tan Sri Kishu; teman-teman lama dari UMNO termasuk Dato' Khalid Yunus; warga media seperti Tan Sri Abdullah Ahmad (Dolah Kok Lanas) dan Dato' Kadir Jasin serta Dato' Khalid Ahmad; Imam dan AJK Masjid Ubudiah, Bukit Segambut; pimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi keADILan serta keluarga masing-masing.

DSC05940.JPGTurut meraikan Majlis Rumah Terbuka Anwar ialah pemimpin-pemimpin dari parti-parti politik seperti YB Lim Kit Siang, YB Teresa Kok, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, YB Dato' Kamarudin Jaafar, Dr. Hatta Ramli dan Ustaz Abdul Ghani. Wakil-wakil NGOs juga turut hadir termasuk Presiden MTUC, Saudara Syed Shahir; Saudara Yusri Mohamad, Presiden ABIM; wakil JIM, GMI, Suaram dan BERSIH.

Walaupun sehari sebelum itu Anwar sibuk melayan lebih 10,000 tetamu dalam majlis yang sama di Cherok Tokun namun Dato' Seri Anwar kelihatan segar dan ceria melayan tetamu yang menyerbu beliau untuk bersalaman dan mengambil gambar. Ada ketika pihak anggota keselamatan terpaksa mengawal keadaan untuk mententeramkan suasana keghairahan rakyat dapat bersama pemimpin kesayangan mereka.

Jalan masuk ke Bukit Segambut menjadi sesak dengan lalulintas yang semakin sarat. 6 anggota polis trafik membantu membuat rondaan dan mengawal lalulintas di samping bantuan Skuad Angkatan Muda Selangor dan Wilayah Persekutuan yang turun membantu menjayakan majlis ini. Tetamu-tetamu terpaksa berbaris panjang untuk bersalaman dengan Anwar dan menurut beberapa orang tetamu, perjalanan masuk ke Bukit Segambut mengambil masa hampir 2 jam ekoran kesesakan trafik yang luar biasa.

Dato' Seri Anwar dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah meraikan tetamu-tetamu dengan sajian makanan yang enak seperti nasi putih dengan dalca kambing, ayam goreng, lemang dan rendang khas dari Kuala Pilah, Penang Char Kuey Teow, Laksa Assam dari Penang, Yong Tow Foo, Roti John, Roti Canai, Teh Tarik dan ABC. Majlis juga diserikan dengan pertunjukkan Silat Gayung dari Kedah.

Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr kali ini membawa makna yang besar untuk perjuangan Anwar dan keADILan. Bukan sahaja jumlah tetamu yang hadir cukup membanggakan tetapi juga tetamu-tetamu ini hadir dengan harapan dan keyakinan baru untuk bersama-sama Anwar membawa perubahan dalam pilihan raya yang akan datang. Sebahagian besar tetamu menyampaikan mesej sokongan kepada Anwar dan bersedia untuk menjana perubahan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

coretan oleh Azmin Ali.

 

* Saya diminta untuk menurunkan secebis nota mengenai kerja-kerja dan persiapan majlis ini. Insya Allah, saya akan berkongsi sedikit pengalaman ini dalam masa terdekat.


 DSC05748.JPGDSC05857.JPG


 

 

Wednesday, October 24, 2007 10:36:23 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Name
E-mail
Home page

Comment (Some html is allowed: a@href@title, strike) where the @ means "attribute." For example, you can use <a href="" title=""> or <blockquote cite="Scott">.  

Enter the code shown (prevents robots):

Live Comment Preview