Wednesday, September 26, 2007

IMG00048.jpgPagi ini saya menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia yang bertemakan ‘Walk For Justice’. Lebih 1000 orang peguam pelbagai kaum menyertai perarakan ini yang diketuai oleh Presiden Majlis Peguam, Ms. Ambiga Sreenevasan.

Perarakan keadilan ini bermula jam 11.30 pagi dari Palace of Justice ( POJ ), Putrajaya dan tamat di Pejabat Perdana Menteri. Pihak polis dan pasukan FRU seperti biasa hadir dengan jumlah yang besar termasuk beberapa unit water canon untuk mewujudkan suasana yang mungkin boleh menimbulkan provokasi. Begitulah budaya mereka yang menjadi perkakas parti pemerintah!

5 buah bas yang membawa peguam-peguam dari Dataran Merdeka ditahan oleh pihak polis dan tidak dibenarkan memasuki kawasan kompleks Putrajaya. Peguam-peguam terpaksa berjalan kaki sejauh 5 kilometer untuk tiba di POJ. Saya, Shamsul Iskandar, Amir Shari, Jonah dan Tian Chua turut serta berjalan kaki bersama peguam-peguam menuju ke POJ.
 
‘Walk For Justice” bertujuan untuk menyedarkan kerajaan bahawa paksi sistem kehakiman negara semakin goyah dan memerlukan reformasi menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur asing terhadap sistem kehakiman negara.

Klip video yang didedahkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lepas membuktikan bahawa sistem kehakiman semakin tempang dan dibolosi oleh kuasa eksekutif.

Majlis Peguam juga menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri untuk menuntut supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat kandungan perbualan dan individu-individu yang terbabit dalam konspirasi badan kehakiman seperti yang dibongkarkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat turut serta dalam program ‘Walk For Justice’ termasuk Sivarasa Rasiah, William Leong, Zuraida Kamaruddin, Syed Shahir dan Dr. Xavier Jayakumar.

Perarakan keadilan ini tamat pada jam 1.00 tengahari dengan hujan lebat membasahi bumi Putrajaya.

Tahniah kepada Majlis Peguam yang berjaya menghimpunkan keahlian yang besar untuk bersama-sama membawa mesej perubahan. Seperti yang disebut oleh Presiden Majlis Peguam dalam ucapan ringkasnya, “Peguam jarang sekali menyertai perarakan seumpama ini. Tetapi apabila peguam sudah mula menyertai perarakan dan perhimpunan seumpama ini, pasti ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kenegaraan kita.”

Semoga Malaysia selamat dari kerakusan pemimpin UMNO dan hakim yang rasuah.
Wednesday, September 26, 2007 2:53:36 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Name
E-mail
Home page

Comment (Some html is allowed: a@href@title, strike) where the @ means "attribute." For example, you can use <a href="" title=""> or <blockquote cite="Scott">.  

Enter the code shown (prevents robots):

Live Comment Preview