Disclaimer The opinions expressed herein are my own personal opinions
Ribuan anak-anak muda dan pelajar-pelajar universiti bangun dan mengharungi halangan dan sekatan polis dengan berani sehingga lebih 50,000 rakyat berjaya berhimpun secara aman di depan pintu besar Istana Negara untuk menyaksikan peristiwa bersejarah di mana pemimpin-pemimpin tertinggi yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong. Delegasi ini turut disertai oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS; YB Lim Kit Siang, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr. Syed Azman, YB Teresa Kok, saya sendiri dan wakil BERSIH.
Memorandum yang dipersembahkan kepada Tuanku menuntut supaya pilihan raya di Malaysia ini dijalankan dengan adil dan bersih. SPR juga mesti diuruskan oleh pengurusan yang amanah, bertanggungjawab dan memiliki kredibiliti untuk menjamin keyakinan rakyat terhadap mereka dan institusi SPR yang bebas dari pengaruh pemerintah. Rakyat Malaysia menuntut supaya undi pos dihapuskan, penggunaan dakwat kekal ketika membuang undi dan daftar pemilih yang bersih.
keADILan telah membuktikan secara terperinci dan sistematik melalui SISMEP dan mengemukakan bukti-bukti yang sahih berhubung penipuan dan penyelewengan oleh SPR dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia.
Ratusan ribu rakyat melaungkan "Daulat Tuanku" sebagai menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku untuk menerima dan mendengar rintihan rakyat mengenai kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memperkudakan SPR untuk menjamin tali hayat politik demi kelangsungan kuasa politik mereka.
Sementara puluhan ribu rakyat yang lain terhalang di Masjid Jamek, Sogo Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan Central Market. Rakyat dikasari oleh pihak polis yang tidak berperikemanusiaan, diburu dengan gas pemedih mata, pintu masjid ditutup untuk jamaah, sistem komuter diarah oleh penguasa yang memiliki sifat kebinatangan untuk tidak berhenti di Stesen Masjid Jamek dan Stesen Central Market. Inikah pentadbiran Hadhari ? UMNO and BN have no respect for human dignity.
Namun, saya bangga dan bersyukur. Rakyat rebah dibelasah. Rakyat bangun dan terus lawan. Lawan Tetap Lawan !
Perhimpunan aman yang sama berlaku serentak di London dan juga Washington DC. Pelajar-pelajar Malaysia dan rakyat Malaysia di luar negara juga sudah berani menegur sikap dan dasar UMNO yang cukup jelik ! Sokongan solidariti dari perantauan menyegarkan harapan saya untuk masa depan Malaysia.
10 November 2007 adalah permulaan yang menjanjikan masa depan yang lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia. We, Malaysians have evolved into brave souls with brave hearts ! Bravo to all !
Tahniah untuk rakyat Malaysia.
Azmin Ali.
Remember Me
a@href@title, strike