Monday, October 15, 2007

Pada tahun ini, saya dan isteri serta anak-anak berhari raya bersama ibu saya di Kampong Klang Gate Baru, Hulu Kelang. Saya memasak rendang khas untuk ibu saya. Saya mula masuk ke dapur sejurus selepas Solat Jumaat untuk memasak rendang sebanyak 12 kilo. Resepi rendang ini adalah resepi ibu saya sendiri. Ketika saya sedang tumis ramuan rendang, saya mendapat panggilan dari Saudara Nik Nazmi yang menyebut Dato' Seri Anwar ingin bertemu saya pada jam 4.30 petang. Kelam kabut juga dibuatnya. Apabila saya meninggalkan rumah pada jam 4.00 petang untuk ke pejabat DSAI di Petaling Jaya, rendang saya sudah mula dimasak dan saya minta Shida untuk meneruskannya dengan berpandukan 'arahan' yang cukup ketat supaya rendang ini benar-benar menjadi rendang ala masakan ibu saya. Alhamdulillah, Shida berjaya menyiapkan rendang seperti yang kami rancang.

Setelah selesai Solat Eidul Fitr di Masjid Taman Tun Abdul Razak, Ampang, saya dan Shida serta anak-anak menziarahi ibu saya. Turut meraikan kami adalah adik saya, Azwan Ali yang riuh seperti biasa ! Sehari sebelum itu, kami juga menziarahi pusara ayahanda saya, Pak Ali dan mendoakan untuk kesejahteraan ruh beliau.

Pada sebelah petang 1 Syawal, kami menziarahi abang saya, Azman dan keluarganya di Shah Alam. Hujan lebat ketika kami tiba di Shah Alam pada jam 3.30 petang. Dua jam kemudian, kami terus berkereta ke Taiping untuk berhari raya bersama ibu mertua ku dan juga bapa mertua serta keluarga Shida. Kami tiba agak lewat di Taiping kerana hujan lebat di sepanjang perjalanan kami.

Pada 2 Syawal, kami menghabiskan masa untuk menziarahi sanak saudara dan keluarga terdekat di Taiping dan Kamunting.

Kami pulang ke Kuala Lumpur pada hari ini, 3 Syawal dan tiba lebih kurang jam 1.00 petang tadi. Tugas terlalu sarat menanti saya. Selain persiapan Pilihan Raya Umum ke 12 termasuk Bengkel Pilihan Raya pada 27 Oktober 2007 di Kedah (untuk Zon Utara) dan Kuala Lumpur (untuk Zon Tengah), saya juga diamanahkan untuk membantu menyelaraskan Majlis Rumah Terbuka YB Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 21 Oktober 2007 (Ahad) jam 2.00 petang sehingga 6.00 petang di Bukit Segambut.

Teman-teman dari pimpinan keADILan Bahagian Gombak akan mengunjungi saya sempena Eid di rumah saya pada malam esok. Kita mendoakan semoga ziarah ini akan terus memperkukuhkan ukhuwwah kita.

Azmin Ali.

 




Monday, October 15, 2007 7:58:20 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Ketika umat Islam sedang meratapi pemergian Ramadhan, sahabat lama saya, Dato' Nasaruddin Abdul Jalil meninggal dunia pada 9 Oktober 2007 lebih kurang jam 7.00 petang di kediamannya di Petaling Jaya. Beliau adalah mantan Setiausaha Sulit kepada Saudara Anwar Ibrahim yang tatkala itu menjadi Menteri Pendidikan. Saya pada ketika itu adalah Pegawai Khas Menteri Pendidikan. Kami sering berbincang untuk memantapkan pengurusan dan pentadbiran pejabat Pak Menteri khususnya menyusun dan memperbanyakkan program-program Saudara Anwar Ibrahim dengan rakyat. Nasa adalah orang yang cukup peramah, mudah didekati dan senantiasa ceria. Beliau cukup taat dan setia kepada perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Nasa adalah orang yang terawal dan cukup lama berkhidmat dengan DSAI. Namun, beliau tidak sombong dan tidak angkuh. Setiap perbincangan diraikan dalam permuafakatan. Kalau ada perbedaan pendapat, beliau zahirkan dalam suasana penuh beradab dan sopan. Kalau "bos" sedang marah, Nasa ada cara tersendiri untuk melunakkan dan melembutkan hati "bos"nya. Itulah kenangan manis persaudaraan saya dengan Nasa.

Saya bergegas ke rumahnya sejurus selepas Solat Tarawikh dan sempat mengikuti tazkirah oleh Ustaz Dr. Abdullah Yassin sebelum sembahyang jenazah pada jam 11.00 malam. Ramai kenalan lama termasuk dari ABIM yang membanjiri kediamannya untuk mengucapkan takziah kepada isterinya, Kak Jay. Saya sempat menyampaikan ucapan sama kepada anak lelakinya, Salman.

Selang beberapa hari kemudian, sahabat kita yang juga tokoh pejuang nasib pekerja yang kini menjawat jawatan Presiden MTUC dan Ketua keADILan Bahagian Kelana Jaya, Syed Shahir dan keluarga kehilangan orang yang tersayang. Isteri Syed Shahir, Puan Salbiah, meninggal dunia pada hari Khamis, 11 Oktober 2007 pada jam lebih kurang 10.30 malam di Hospital Universiti, Petaling Jaya.

Sejurus selepas sahur, saya bersiap untuk menziarahi jenazah di Taman Bandaraya, Shah Alam. Saya tiba lebih kurang jam 7.30 pagi untuk mengucapkan takziah kepada Syed Shahir dan keluarga.


Sewaktu Melawat Syed Shahir di kediamannya di Shah Alam.

*gambar dari klpos.com

Saya merasa amat sedih di atas musibah yang menimpa keluarga Kak Jay dan juga keluarga Syed Shahir. Saya berdoa semoga keluarga mereka dicucuri oleh Allah S.W.T. dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang telah ditentukanNya.

Saya turut berdoa semoga Allahyarham Nasaruddin dan Allahyarhamah Salbiah dicucuri rahmat dan maghfirah (ampunan) oleh Allah S.W.T. dan mendapat husnul khatimah iaitu akhir yang baik dan ditempatkan ruh mereka di dalam syurga yang penuh ni'mat. Ameen.

Azmin Ali.


Monday, October 15, 2007 7:36:50 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Saya dan isteri, Shamshida serta anak-anak ingin mengucapkan Salam Eidul Fitr serta maaf zahir dan batin kepada semua kenalan diiringi dengan doa "Taqabballah minna wa minkum at taah, kullu aam wa antum bi khair."

Bulan Ramadhan yang sarat dengan program kerohanian dan  latihan penyucian jiwa dengan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T., sewajarnya menjadikan kita semua umat Islam bersifat Rabbani ; merasa kecil di depan Allah S.W.T. tetapi gagah dan berani berjalan di muka bumi dengan akhlak mulia dan prinsip perjuangan yang luhur. Kita tidak bertuhankan pangkat dan kedudukan, kita tidak sujud kepada manusia tetapi kita adalah hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk melakukan islah dalam sistem kehidupan hari ini.

Sempena Syawal yang membawa maksud peningkatan, marilah kita bersama-sama membawa perubahan. Ubah sebelum parah. Ubah demi maruah. Negara Merdeka, Ekonomi Perkasa, Rakyat Sejahtera !

Salam dari Azmin Ali.

Monday, October 15, 2007 6:54:15 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, October 09, 2007

YB Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan Ketua Umum Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitr pada 21 Oktober 2007 (Ahad). Majlis ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari jam 2.00 petang sehingga jam 6.00 petang di kediaman mereka di Bukit Segambut.

Tuesday, October 09, 2007 7:00:34 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, October 04, 2007

Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dipanggil secara rasmi oleh BPR untuk memberikan keterangan berhubung klip video konspirasi VK Lingam dengan Ahmad Fairuz yang didedahkan oleh Anwar pada 19 September 2007 yang lalu.

Rakaman keterangan ini akan dibuat pada hari Jumaat, 5 Oktober 2007 jam 3.00 petang di pejabat DSAI di Seksyen 16, Petaling Jaya.

Sebelum ini, peguam Sivarasa Rasiah dan koordinator politik pejabat DSAI, Sim Tze Sin telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat BPR.

Mengapa VK Lingam masih bebas dan tidak dipanggil ?

Thursday, October 04, 2007 12:46:10 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, October 03, 2007


Koordinator Politik kepada Dato' Seri Anwar, Sim Tze Tsin hadir di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya untuk memberi keterangan lanjut berhubung klip video konspirasi VK Lingam & Ahmad Fairuz. Sim adalah orang pertama melihat video tersebut bersama Naib Presiden keADILan, Sivarasa Rasiah yang juga dipanggil untuk memberi keterangan pada minggu lepas.

Sim telah disoal oleh pihak BPR yang diwakili oleh Ketua Unit Siasatan, Thilavagavathy a/p Thamboo dan Penguasa Kanan, Chua Lay Choo selama lebih dari 3 jam. Ketika saya bertemu dengannya sebaik sahaja tamat soal siasat, Sim kelihatan tenang dan masih lagi bersemangat untuk meneruskan kerja.

Apa yang lebih penting sekarang, adakah siasatan mengenai klip video konspirasi ini akan tertumpu kepada mereka yang mendedahkannya ataupun siasatan akan beralih kepada mereka yang terlibat di dalam video tersebut. Saya ingin mempercayai bahawa sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk membenteras rasuah, BPR akan menjalankan siasatan 'without fear or favour' dan akan memberikan perhatian serious terhadap mereka yang terlibat di dalam konspirasi badan kehakiman. Saya menggesa supaya BPR menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan tidak membenarkan campurtangan politik.

Rakyat yang cintakan keadilan dan masyarakat anatarabangsa ingin melihat sistem kehakiman di Malaysia dapat pulih dan kembali berwibawa.

Wednesday, October 03, 2007 3:30:01 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, October 01, 2007

It is the duty of the Bar Council to protect the integrity of itself and its members.They are a bastion for the maintainence of law and order and a just and fair society. Accusing them of being influenced by others is similar to accusing them of being dishonest. The minister has thrown a taint publicly onto them. I am sure the Bar Council will not keep quiet about this. I will not be surprised if they demand an apology or a retraction from him. Will we see another black and white march to RTM,this time? What is wrong with asking for a clean judiciary. Don't we need it? If it is already clean the Chief Justice should come out and give the assurance.

The minister should meet the Bar Council and repeat the accusation. Although I am not sure if he can intellectually handle any possible discussion with them.
Monday, October 01, 2007 4:50:14 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Sunday, September 30, 2007

Hari ini, Encik Din Merican mengambil keputusan untuk menyertai keADILan. Beliau adalah seorang tokoh korporat yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman yang luas. Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Lembaga Pengarah Bank Negara. Encik Din Merican juga pernah menjawat jawatan kanan dalam Sime Darby. Beliau berikrar untuk membantu keADILan mengatur strategi bagi mendapatkan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Tahniah kepada Encik Din Merican. Sent via BlackBerry from Maxis

*Din Merican bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim
IMG00054.jpg

Sunday, September 30, 2007 11:59:02 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Ketua Umum Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat persiapan pilihan raya selama lebih 10 jam. Mesyuarat Biro Politik bermula jam 10.00 pagi dan disusuli dengan perbincangan kumpulan mengikut negeri sehingga jam 3.00 petang yang disertai oleh Pengerusi Perhubungan Negeri, Pengarah Pilihan Raya Negeri dan Setiausaha Perhubungan Negeri masing-masing.

Menyusul perbincangan di atas, saya diminta untuk mempengerusikan perbincangan kumpulan dengan setiap Perhubungan Negeri untuk memperhalusi check list gerak kerja di semua kawasan tumpuan. Kumpulan ini turut disertai anggota Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat ( JPRP ) iaitu Dr. Mansor Othman, Hajjah Fuziah Salleh dan Johari Abdul.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi ( MPT ) pula bermula jam 3.00 petang di kediaman DSAI sehingga jam 6.30 petang.

Perbincangan berjalan dengan cukup rancak dan tersusun berdasarkan laporan dan analisa yang merangkumi persoalan pengagihan kerusi berasaskan muafakat dengan parti-parti sahabat, manifesto, strategi pilihan raya, calon, pendaftaran pengundi - pengundi muda dan baru, logistik dan bahan - bahan pilihan raya dan program latihan.

DSAI, Dr. Syed Husin, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr. Lee Boon Chye, Mustaffa Kamil Ayub, Dr. Jeffrey Kitingan, Shamsul Iskandar, Zuraida Kamaruddin, Hajjah Fuziah Salleh, Saifuddin Nasution, Dr. Mansor Othman telah memainkan peranan penting menyumbang input perbincangan dan memandu perbincangan ke arah untuk memperkasa parti dan memperkukuhkan jentera parti dalam pilihan raya yang dijangkakan semakin hampir.

Komitmen dan semangat kerja yang ditunjukkan oleh pimpinan MPT amat membanggakan dan akan pasti menjadikan parti semakin kuat dan mantap.

Mesyuarat MPT ditangguhkan jam 6.30 petang untuk program ringkas menerima kemasukan seorang tokoh korporat dalam keADILan iaitu Encik Din Merican. Beliau pernah berkhidmat dengan Bank Negara dan kemudiannya Sime Darby. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian bantuan untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal yang diusahakan oleh Wanita Pusat dan Wirda. Majlis Iftar ( Berbuka Puasa ) dihadiri oleh lebih 300 orang.

AZMIN ALI

Sunday, September 30, 2007 11:43:32 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, September 27, 2007

Pegawai-pegawai yang bertugas di pejabat keADILan Bahagian Gombak telah melaporkan kepada saya bahawa pejabat telah diceroboh malam semalam. Dalam kejadian tersebut, pintu utama telah dipecahkan dan 2 unit CPU komputer dan 2 unit printer telah dicuri. Manakala fail dan barangan lain tidak diusik. Dalam pemerhatian awal, saya mendapati tidak sukar untuk mempercayai bahawa ianya bukan bermotif rompakan tetapi lebih kepada usaha pihak tertentu yang berminat untuk mendapatkan maklumat dan gerak kerja parti. Siapa lagi, kalau tidak si anu !

Pegawai-pegawai parti telah membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju.
Thursday, September 27, 2007 1:24:48 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)