Wednesday, November 28, 2007
Pada Disember 1923, Pendeta Za'ba mengingatkan umat Melayu supaya bangun dari tidur dan bekerja kuat untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Antara lain, Za'ba berkata, "I only want the soul that slumbers, To wake and work in these bright days." Profesor DiRaja Ungku A. Aziz merongkai pemikiran Pendeta Za'ba dalam bukunya bertajuk "Jejak-jejak di Pantai Zaman".



Amat malang sekali, Malaysia hari ini dipimpin oleh pemimpin Melayu UMNO yang tidur sepanjang hari. Watak yang "non exuberance" ini menuntut kita bangun dan menyambut cabaran Za'ba. Jawapannya ialah Ubah sebelum Parah. Ubah demi Maruah. Azmin Ali. Sent via BlackBerry from Maxis
Wednesday, November 28, 2007 3:21:50 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, November 26, 2007

Semalam, 25 November 2007, sehari suntuk pimpinan tertinggi keADILan memberi perhatian kepada persiapan terakhir menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12. Bermula dengan Mesyuarat MPT pada jam 10.00 pagi, taklimat penuh menyusul sejam kemudian sehinggalah jam 7.00 malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Sesi taklimat ini disertai oleh ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Pengarah Pilihan Raya Negeri-Negeri , Setiausaha Perhubungan dan Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda dan Wanita Pusat.

Hampir 100 orang pimpinan kanan parti mendengar dengan tekun amanat Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menekankan persoalan pokok iaitu menyusun rangka kerja yang strategik, memantapkan jentera dan mematuhi arahan parti. DSAI juga membayangkan bahawa keADILan akan menonjolkan tokoh tokoh baru yang berwibawa dan pastinya akan melonjakkan sokongan baru kepada keADILan.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP), saya memberikan taklimat berhubung tahap akhir persiapan parti untuk memastikan kemenangan dalam PRU ke 12. Saya menyerahkan 'thumb drive' kepada 60 Parlimen Tumpuan. Thumb drive ini mengandungi 11 fail termasuk aplikasi SISMEP 12 dan aplikasi SISMEP 12 Semak; Daftar Pemilih yang sudah diklasifikasi secara sistematik mengikut kategori pengundi baru, pengundi yang berpindah ke kawasan lain, pengundi yang berpindah masuk dan pengundi yang hilang; strategi menyusun kerja menang (winning strategy) beserta slides yang memaparkan isu-isu semasa; mesej politik untuk menjana sokongan rakyat yang merangkumi program dan dasar parti yang bersifat 'peduli rakyat' yang ditawarkan oleh keADILan; Agenda Ekonomi Malaysia dalam pelbagai bahasa; dan Laporan Sham Democracy yang mengupas secara terperinci penyelewengan dan penipuan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Mood 'thumb drive' semakin memuncak di kalangan pimpinan. Stok 'thumb drive' bersaiz 2 GB kehabisan di pasaran termasuk di Low Yatt !

Dr. Mansor Othman mengambil bahagian untuk memberikan laporan audit sistem pemantauan gerak kerja pilihan raya di bahagian-bahagian tumpuan. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Saudara Din Merican masing-masing memperjelaskan program sokongan yang disediakan oleh Ibu Pejabat dan Pejabat Ketua Umum. Saudara Tian Chua pula menerangkan kaedah-kaedah baru yang lebih efektif untuk menyalurkan maklumat parti kepada pengundi-pengundi serta pelbagai program penerangan. Manifesto parti dibentangkan oleh Saudara Khalid Jaafar. Manakala Saudara Johari Abdul menarik perhatian peserta mengenai strategi propaganda. Dr. Xavier Jayakumar pula berkongsi maklumat terkini hasil 'poll survey' yang dibuat oleh Merdeka Centre.

Sesi soal jawab menyaksikan panel 6 orang yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri untuk mendengar pandangan dari pimpinan seluruh negara yang menjurus persoalan menjana kekuatan parti dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Sehari sebelum itu, saya dan Dr. Mansor Othman serta Puan Rodziyah Ismail, Pengarah Pilihan Raya Wanita mengendalikan program latihan yang serupa di Melaka untuk peringkat Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Pasukan JPRP akan turun ke Negeri Johor pada 2 Disember 2007 ini.

Saya berani menyatakan bahawa DSAI amat berpuashati dengan persiapan parti menghadapi PRU ke 12. Insya Allah, kita akan mencipta sejarah membawa perubahan besar dalam Pilihan Raya Umum ini.

Ubah sebelum Parah. Ubah demi Maruah.

 

Azmin Ali.

Monday, November 26, 2007 5:39:15 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)


Selepas sahaja tamat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) keADILan, DSAI sempat bergegas ke Kuala Lumpur untuk bertemu dan bersalaman dengan masyarakat India yang menyertai Perhimpunan Aman di Kuala Lumpur.

Kemudian, DSAI sempat melawat mangsa kebakaran Pasar Keramat bersama saya semalam. Sebanyak 14 unit gerai musnah dalam kebakaran yang bermula awal pagi. DSAI memberi tempoh 1 minggu kepada DBKL untuk mengambil tindakan yang proaktif bagi membela peniaga peniaga Melayu di Dato' Keramat.




*DSAI mendengar keluhan peniaga yang hilang punca pencarian rezeki akibat kebakaran.

Monday, November 26, 2007 10:59:35 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Sunday, November 18, 2007
Semenjak pengenalan saya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih 20 tahun yang lalu, beliau tidak serik-serik mendidik saya supaya banyak membaca. Yang terbaru, ketika di Jakarta, Anwar memberikan saya senaskah buku bertajuk "The Power of The Vote : Electing Presidents, Overthrowing Dictators, and Promoting Democracy Around the World" yang ditulis oleh konsultan politik yang terkenal, Douglas E. Schoen. Anwar menjelaskan kepada saya ketika kami singgah untuk minum kopi di lobi Hotel Borobudur, pengarang menghimbau pengalamannya sebagai konsultan kepada Presiden Clinton, juga di Israel, Venezuela dan Yugoslavia.
Sunday, November 18, 2007 5:51:21 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Saya baru pulang dari lawatan kerja selama 4 hari ke Jakarta. Saya menyertai delegasi Dato' Seri Anwar Ibrahim di UN Forum on "Towards Transparent and Accountable Governance" yang berlangsung di Hotel Borobudur, Jakarta. Anwar diundang untuk menyampaikan "Luncheon Talk" pada 15 November 2007. Pada sebelah malamnya, kami diraikan dalam Majlis Makan Malam oleh Bapak Prof. Dr. Ir. Ginandjar Kartasasmita, Yang Di Pertua Dewan Perwakilan Daerah Parlimen yang juga mantan Menteri Ekonomi di National Museum, Jakarta. Dato' Seri Anwar turut memperkenalkan saya secara peribadi kepada Bapak Ginandjar.

Ketika di Jakarta, saya sempat bertemu dengan pimpinan dan teman-teman yang bersemangat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai "Gelombang Kuning" yang mewarnai Kuala Lumpur pada 10 November 2007. Media di Indonesia malaporkan secara meluas peristiwa bersejarah ini. Malang sekali, kita di Malaysia diperbodohkan oleh Menteri Penerangan yang ******* dan dengan media - media yang dikuasai oleh kroni pemerintah.

Saya juga sempat singgah di Ciledug, kota kecil lama yang terletak lebih 2 jam di luar Jakarta. Perbincangan dan pertemuan dengan teman-teman amat meyakinkan kami.

Azmin Ali.

Sunday, November 18, 2007 5:25:10 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Saturday, November 17, 2007

CNN:

BBC:

Saturday, November 17, 2007 9:57:24 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Friday, November 16, 2007
Forum malam ini menyaksikan kehadiran yang luar biasa di kalangan masyarakat Malaysia pelbagai kaum khususnya di kalangan golongan profesional. Pastinya persembahan yang hebat oleh ahli ahli panel dapat meningkatkan kesedaran rakyat bahawa reformasi dalam sistem kehakiman amat mendesak demi keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Azmin Ali. Sent via BlackBerry from Maxis

Friday, November 16, 2007 9:49:28 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Sent via BlackBerry from Maxis

Friday, November 16, 2007 9:43:48 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Sunday, November 11, 2007
25602.jpg

10 November 2007 menyaksikan lonjakan baru sokongan rakyat kepada agenda reformasi yang dipimpin oleh keADILan bersama PAS dan DAP serta NGOs yang progresif. "Gelombang kuning" disertai oleh lebih 100,000 rakyat Malaysia pelbagai kaum membanjiri Kuala Lumpur. Saya bangga dengan keberanian baru di kalangan rakyat Malaysia yang tidak gentar dengan ugutan Sang Penguasa yang rakus dan angkuh. Walaupun pelbagai bentuk amaran keras yang dikeluarkan oleh pihak polis termasuk Musa Hassan ekoran desakan 'berok Khairy' dan Abdullah Badawi, namun rakyat dari pelbagai pelusuk negara turun ke Kuala Lumpur untuk menzahirkan pernyataan keramat "enough is enough". Laungan slogan semangat baru "Ubah Sebelum Parah. Ubah Demi Maruah" mula berkemundang dengan nyaring dan meyakinkan; dalam lautan manusia yang cintakan keadilan dan kebenaran.

Ribuan anak-anak muda dan pelajar-pelajar universiti bangun dan mengharungi halangan dan sekatan polis dengan berani sehingga lebih 50,000 rakyat berjaya berhimpun secara aman di depan pintu besar Istana Negara untuk menyaksikan peristiwa bersejarah di mana pemimpin-pemimpin tertinggi yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong. Delegasi ini turut disertai oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS; YB Lim Kit Siang, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr. Syed Azman, YB Teresa Kok, saya sendiri dan wakil BERSIH.

Memorandum yang dipersembahkan kepada Tuanku menuntut supaya pilihan raya di Malaysia ini dijalankan dengan adil dan bersih. SPR juga mesti diuruskan oleh pengurusan yang amanah, bertanggungjawab dan memiliki kredibiliti untuk menjamin keyakinan rakyat terhadap mereka dan institusi SPR yang bebas dari pengaruh pemerintah. Rakyat Malaysia menuntut supaya undi pos dihapuskan, penggunaan dakwat kekal ketika membuang undi dan daftar pemilih yang bersih.

keADILan telah membuktikan secara terperinci dan sistematik melalui SISMEP dan mengemukakan bukti-bukti yang sahih berhubung penipuan dan penyelewengan oleh SPR dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia.

Ratusan ribu rakyat melaungkan "Daulat Tuanku" sebagai menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku untuk menerima dan mendengar rintihan rakyat mengenai kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memperkudakan SPR untuk menjamin tali hayat politik demi kelangsungan kuasa politik mereka.

Sunday, November 11, 2007 11:12:32 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, November 07, 2007

_MG_0511.JPG

Majlis Rumah Terbuka kami sempena Eidul Fitr pada hari Ahad lalu, 4 November mendapat sambutan yang cukup meriah. Saya dan Shida serta anak-anak bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. Tetamu-tetamu yang datang bukan sahaja untuk menyambut Eidul Fitr bersama kami tetapi juga untuk menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan saya dari sabitan dan hukuman penjara 18 bulan pada 1 November yang lalu. 

Nyata dari wajah-wajah yang hadir, mereka turut merasakan nikmat bebas yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran sejurus selepas Solat Zohor yang dipimpin oleh Imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Imam Haji Mohd. Khairi Haji Hussein dan dibantu oleh Imam Haji Ahmad Sabri Rajali membuka tirai majlis kami. Turut hadir ialah Ustaz Dr. Abdullah Yasin dan isteri. Menyusul kemudian, saya dan Shida meraikan 40 orang anak-anak yatim yang diundang khas dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Baitul Saidatina Khadijah, Gombak. 

Lebih 3,000 orang tetamu hadir mulai jam 1.30 petang sehinggalah lewat malam walaupun majlis sepatutnya berakhir jam 6.00 petang. Jumlah tetamu yang diluar jangkaan kami menyebabkan makanan tidak mencukupi seawal jam 4.00 petang. Antara sajian yang paling laris dan awal habis ialah Penang Char Kuey Teow, Roasted Lamb, Ais Kacang Penang, Roti John, Ketupat Daun Palas Kamunting, Lemang UK dan pastinya Rendang Chef Min ! 

Saya mengambil masa hampir 5 jam di dapur sehari sebelum itu untuk menyiapkan rendang sebanyak 15 kilogram. Pada hari Sabtu, 3 November saya menghadiri 6 majlis Eidul Fitr termasuk majlis perkahwinan puteri Saudara Othman Karim, Setiausaha Perhubungan keADILan Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak; sebelum berkesempatan untuk masuk dapur jam 5.30 petang untuk memulakan tugas tahunan saya – masak rendang.

_MG_0650 copy.jpg

Teman-teman sekolah rendah dari Jalan Gurney dan University of Minnesota turut hadir selain dari keluarga saya dan Shida, jiran-jiran sekitar Taman TAR, teman-teman pimpinan dari keADILan dan PAS khususnya dari Gombak, rakan-rakan NGOs, wakil kedutaan asing dan juga media. Kawan-kawan lama seperti Lokman Noor Adam dan Muhammad Zahid Md. Arip juga turut mengunjungi saya pada hari berkenaan.

_MG_0529 copy.jpgAntara pimpinan yang awal tiba ialah Tian Chua bersama pimpinan kesatuan pekerja dari Korea Selatan. Kami juga turut diraikan oleh William Leong, Bendahari Agung; Hajjah Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita; Amirudin Shari, Naib Ketua Angkatan Muda dan isteri Puan Masdiana Haji Muhamad; Abdul Halim Mohamed Yusof, Timbalan Setiausaha Agung; Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman, Timbalan Bendahari Agung bersama suami; beberapa orang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi termasuk Ustaz Dr. Badrulamin Bahron dan isteri, Kak Zumrah; Haji Osman Haji Abdul Rahman, Dato’ Kamarul Baharin Abbas, Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad, Khalid Jaafar, Saiful Izham Ramli, Zakaria Abdul Hamid, Nik Mahmood Haji Nik Hassan dan isteri, Puan Nik Aziah Wan Hamzah serta pimpinan parti di semua peringkat.  

EXCO Angkatan Muda Pusat yang hadir ialah Tan Seng Toh, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim, Safawati Mustaffa, Syamsul Hidayat Mohd. Shariff, Muhammad Gaddafi Kamal, Abdul Rahman Abdul Hackeem, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad, Jafrien Muhammad, Nik Nazmi Nik Ahmad, Anuar Zakaria dan Halimey Haji Abu Bakar. 

Pimpinan PAS yang hadir ialah Dr. Hatta Ramli, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali dan Haji Saari Sungib dan isteri, Puan Aliza Jaffar. 

Presiden MTUC, Saudara Syed Shahir Syed Mohamud juga hadir selain dari aktivis Abd. Malek Hussin, bekas tahanan ISA dan Badaruddin Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Din. 

Pelukis Raja Azhar Idris dari Art Case Galleries serta pelakon terkenal Sofia Jane dan suami serta anak-anak juga turut memeriahkan majlis kami.  

Kami amat gembira di atas kesudian tetamu-tetamu kami memenuhi undangan kami dan memeriahkan majlis ini termasuk beberapa orang peguam seperti Christopher Fernando dan isteri, Puan Maria Datuk Haji Kamaruddin;  Haji Pawancheek Marican, Haji Zulkifli Noordin, Sankara N. Nair dan Amer Hamzah Arshad. 

Kami juga ucapkan terima kasih kepada teman-teman dari Gombak yang begitu ramai hadir dan turut membantu khususnya Wanita keADILan yang dipimpin oleh Puan Maznah Abd. Aziz dan Angkatan Muda di bawah pimpinan Saudara Jafrien Muhammad. Timbalan Ketua Bahagian, Saudara A. Rahim Kasdi juga hadir bersama isteri dan anak-anak serta AJK Bahagian yang lain. 

Kami juga amat terharu dengan budibaik jiran-jiran kami yang memberikan kerjasama bagi menjayakan majlis kami. Ada jiran yang menawarkan ruang halaman rumah mereka untuk menjadi tempat hidangan dan ada juga yang menawarkan khidmat untuk mencuci pinggan mangkuk di rumah mereka. Inilah semangat kejiranan yang dipupuk sesama kami. 

Semoga pertemuan di hari lebaran ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwwah kita. 

Azmin Ali.

More pictures at Photo Gallery...

Wednesday, November 07, 2007 11:11:39 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)