Friday, December 07, 2007

Saya menerima banyak pesanan ringkas SMS dan email yang mendakwa orang Melayu kecewa dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan keADILan kerana dikatakan terlibat dan mendukung tuntutan HINDRAF. Fitnah semakin ribut. Asakan editor dan pak menteri yang memiliki sifat-sifat kebinatangan dalam menjalankan tugas memenuhi nafsu serakah Sang Pemerintah semakin buas dan ganas. Maka timbullah kegelisahan di kalangan pimpinan dan aktivis.

Saya ingin bertanya, mengapa gelisah ? Mengapa semangat kita begitu rapuh dan mudah dipatahkan dengan propaganda dan kepalsuan berita-berita dalam media milik UMNO dan BN ??? Atau apakah kita hari ini sudah mula yakin dan percaya dengan Utusan Malaysia dan TV 3 ? Janganlah kita jual maruah kita semurah itu !

Siapa pengkhianat orang Melayu sebenarnya ? Siapakah yang membunuh Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dengan mengajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris; kalau bukan UMNO ? Siapakah yang merompak khazanah negara dengan memunggah saham bumiputera dan APs serta kontrak untuk kaum kerabat dan kroni mereka; kalau bukan pemimpin-pemimpin elit UMNO ? Siapakah yang mendapat permit-permit teksi; kalau bukan pemimpin-pemimpin atasan UMNO ? Siapakah yang merobohkan setinggan-setinggan dan perkampungan Melayu seperti di Kampong Berembang; kalau bukan Ketua-Ketua UMNO di Negeri Selangor ? Siapakah yang mengaibkan pegawai-pegawai kerajaan Melayu di khalayak ramai dengan memberikan penyapu; kalau bukan Menteri Besar Selangor yang juga pemimpin UMNO ? Siapakah yang mendapat komisen ratusan juta ringgit hasil pembelian senjata khususnya kapal selam dan Sukhoi; kalau bukan pemimpin bangsawan UMNO ? Siapakah yang terlibat dengan pembunuhan wanita Mongolia; kalau bukan UMNO ?

Justeru itu, saya mengajak teman-teman untuk membaca dan menghayati ketegasan DSAI mengenai HINDRAF yang dimuatkan dalam blognya, Suara Keadilan dan Malaysiakini. Anwar dan keADILan sokong hak orang-orang India untuk berhimpun dan menyuarakan bantahan mereka secara aman. Kita mendokong 'their legitimate rights'. Tetapi, pada masa yang sama, Anwar dengan tegas dan jelas mengatakan bahawa sanggahan HINDRAF terhadap Agama Islam dan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan mesti ditolak.

Dato' Seri Anwar dalam kenyataan rasminya bertarikh 22 November 2007 iaitu beberapa hari sebelum Perhimpunan HINDRAF pada 25 November, menegaskan, "... saya menyeru kepada HINDRAF agar mereka mengambil pendekatan yang lebih sederhana dan bertanggungjawab di dalam menyuarakan ketidakpuashatian mereka, khususnya di dalam soal Perlembagaan, khususnya Perkara 153. HINDRAF sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada kerajaan BN yang bertanggungjawab di atas salahguna kuasa yang telah menindas kaum India yang miskin, dan juga pada masa yang sama gagal menyelesaikan masalah semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit ataupun agama."

Masalah peminggiran kaum India di Malaysia tidak ada kaitan dengan Agama Islam dan orang Melayu. Tetapi, masalah peminggiran golongan tertindas ini yang juga merangkumi orang Melayu, India, Cina, Iban dan Kadazan adalah hasil daripada "dasar ketidakpedulian rakyat" yang menjadi amalan pemimpin-pemimpin elit UMNO dan BN. Masalah kemiskinan dan tercicir dalam pembangunan sosio ekonomi dan pendidikan di kalangan golongan tertindas harus ditanggani segera. Penyelesaiannya bukan dengan ugutan Zam atau Nazri Aziz. Penyelesaiannya bukan dengan menghunus keris tumpul Hishammuddin.

Penyelesaiannya ialah "Ubah Sebelum Parah. Ubah Demi Maruah."

Azmin Ali.

 

Friday, December 07, 2007 12:40:15 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Sunday, December 02, 2007



Gaddafi selamat diijab kabulkan tepat jam 9.20 pagi ini dengan pasangannya Ainul Adilah dengan sekali lafaz. Majlis ini berlangsung di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Majlis akad nikah ini disempurnakan oleh Ustaz Hamzah. Saya dan Dr. Mansor Othman turut meraikan Gaddafi pagi ini. Semoga pasangan ini kekal bahagia dan menjadi pasangan "baiti jannati".

Rombongan pengantin lelaki diiringi dengan 7 dulang hantaran termasuk wang tunai RM10,000 dan Mas Kahwin sebanyak RM500. Pengantin perempuan pula membalasnya dengan sirih junjung dan 9 dulang hantaran termasuk persalinan, wangi wangian dan manisan.
Sunday, December 02, 2007 4:23:30 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, November 28, 2007
Pada Disember 1923, Pendeta Za'ba mengingatkan umat Melayu supaya bangun dari tidur dan bekerja kuat untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Antara lain, Za'ba berkata, "I only want the soul that slumbers, To wake and work in these bright days." Profesor DiRaja Ungku A. Aziz merongkai pemikiran Pendeta Za'ba dalam bukunya bertajuk "Jejak-jejak di Pantai Zaman".



Amat malang sekali, Malaysia hari ini dipimpin oleh pemimpin Melayu UMNO yang tidur sepanjang hari. Watak yang "non exuberance" ini menuntut kita bangun dan menyambut cabaran Za'ba. Jawapannya ialah Ubah sebelum Parah. Ubah demi Maruah. Azmin Ali. Sent via BlackBerry from Maxis
Wednesday, November 28, 2007 3:21:50 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, November 26, 2007

Semalam, 25 November 2007, sehari suntuk pimpinan tertinggi keADILan memberi perhatian kepada persiapan terakhir menghadapi Pilihan Raya Umum ke 12. Bermula dengan Mesyuarat MPT pada jam 10.00 pagi, taklimat penuh menyusul sejam kemudian sehinggalah jam 7.00 malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Sesi taklimat ini disertai oleh ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Pengarah Pilihan Raya Negeri-Negeri , Setiausaha Perhubungan dan Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda dan Wanita Pusat.

Hampir 100 orang pimpinan kanan parti mendengar dengan tekun amanat Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menekankan persoalan pokok iaitu menyusun rangka kerja yang strategik, memantapkan jentera dan mematuhi arahan parti. DSAI juga membayangkan bahawa keADILan akan menonjolkan tokoh tokoh baru yang berwibawa dan pastinya akan melonjakkan sokongan baru kepada keADILan.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP), saya memberikan taklimat berhubung tahap akhir persiapan parti untuk memastikan kemenangan dalam PRU ke 12. Saya menyerahkan 'thumb drive' kepada 60 Parlimen Tumpuan. Thumb drive ini mengandungi 11 fail termasuk aplikasi SISMEP 12 dan aplikasi SISMEP 12 Semak; Daftar Pemilih yang sudah diklasifikasi secara sistematik mengikut kategori pengundi baru, pengundi yang berpindah ke kawasan lain, pengundi yang berpindah masuk dan pengundi yang hilang; strategi menyusun kerja menang (winning strategy) beserta slides yang memaparkan isu-isu semasa; mesej politik untuk menjana sokongan rakyat yang merangkumi program dan dasar parti yang bersifat 'peduli rakyat' yang ditawarkan oleh keADILan; Agenda Ekonomi Malaysia dalam pelbagai bahasa; dan Laporan Sham Democracy yang mengupas secara terperinci penyelewengan dan penipuan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.

Mood 'thumb drive' semakin memuncak di kalangan pimpinan. Stok 'thumb drive' bersaiz 2 GB kehabisan di pasaran termasuk di Low Yatt !

Dr. Mansor Othman mengambil bahagian untuk memberikan laporan audit sistem pemantauan gerak kerja pilihan raya di bahagian-bahagian tumpuan. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Saudara Din Merican masing-masing memperjelaskan program sokongan yang disediakan oleh Ibu Pejabat dan Pejabat Ketua Umum. Saudara Tian Chua pula menerangkan kaedah-kaedah baru yang lebih efektif untuk menyalurkan maklumat parti kepada pengundi-pengundi serta pelbagai program penerangan. Manifesto parti dibentangkan oleh Saudara Khalid Jaafar. Manakala Saudara Johari Abdul menarik perhatian peserta mengenai strategi propaganda. Dr. Xavier Jayakumar pula berkongsi maklumat terkini hasil 'poll survey' yang dibuat oleh Merdeka Centre.

Sesi soal jawab menyaksikan panel 6 orang yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri untuk mendengar pandangan dari pimpinan seluruh negara yang menjurus persoalan menjana kekuatan parti dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Sehari sebelum itu, saya dan Dr. Mansor Othman serta Puan Rodziyah Ismail, Pengarah Pilihan Raya Wanita mengendalikan program latihan yang serupa di Melaka untuk peringkat Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Pasukan JPRP akan turun ke Negeri Johor pada 2 Disember 2007 ini.

Saya berani menyatakan bahawa DSAI amat berpuashati dengan persiapan parti menghadapi PRU ke 12. Insya Allah, kita akan mencipta sejarah membawa perubahan besar dalam Pilihan Raya Umum ini.

Ubah sebelum Parah. Ubah demi Maruah.

 

Azmin Ali.

Monday, November 26, 2007 5:39:15 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)


Selepas sahaja tamat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) keADILan, DSAI sempat bergegas ke Kuala Lumpur untuk bertemu dan bersalaman dengan masyarakat India yang menyertai Perhimpunan Aman di Kuala Lumpur.

Kemudian, DSAI sempat melawat mangsa kebakaran Pasar Keramat bersama saya semalam. Sebanyak 14 unit gerai musnah dalam kebakaran yang bermula awal pagi. DSAI memberi tempoh 1 minggu kepada DBKL untuk mengambil tindakan yang proaktif bagi membela peniaga peniaga Melayu di Dato' Keramat.




*DSAI mendengar keluhan peniaga yang hilang punca pencarian rezeki akibat kebakaran.

Monday, November 26, 2007 10:59:35 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Sunday, November 18, 2007
Semenjak pengenalan saya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih 20 tahun yang lalu, beliau tidak serik-serik mendidik saya supaya banyak membaca. Yang terbaru, ketika di Jakarta, Anwar memberikan saya senaskah buku bertajuk "The Power of The Vote : Electing Presidents, Overthrowing Dictators, and Promoting Democracy Around the World" yang ditulis oleh konsultan politik yang terkenal, Douglas E. Schoen. Anwar menjelaskan kepada saya ketika kami singgah untuk minum kopi di lobi Hotel Borobudur, pengarang menghimbau pengalamannya sebagai konsultan kepada Presiden Clinton, juga di Israel, Venezuela dan Yugoslavia.
Sunday, November 18, 2007 5:51:21 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Saya baru pulang dari lawatan kerja selama 4 hari ke Jakarta. Saya menyertai delegasi Dato' Seri Anwar Ibrahim di UN Forum on "Towards Transparent and Accountable Governance" yang berlangsung di Hotel Borobudur, Jakarta. Anwar diundang untuk menyampaikan "Luncheon Talk" pada 15 November 2007. Pada sebelah malamnya, kami diraikan dalam Majlis Makan Malam oleh Bapak Prof. Dr. Ir. Ginandjar Kartasasmita, Yang Di Pertua Dewan Perwakilan Daerah Parlimen yang juga mantan Menteri Ekonomi di National Museum, Jakarta. Dato' Seri Anwar turut memperkenalkan saya secara peribadi kepada Bapak Ginandjar.

Ketika di Jakarta, saya sempat bertemu dengan pimpinan dan teman-teman yang bersemangat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai "Gelombang Kuning" yang mewarnai Kuala Lumpur pada 10 November 2007. Media di Indonesia malaporkan secara meluas peristiwa bersejarah ini. Malang sekali, kita di Malaysia diperbodohkan oleh Menteri Penerangan yang ******* dan dengan media - media yang dikuasai oleh kroni pemerintah.

Saya juga sempat singgah di Ciledug, kota kecil lama yang terletak lebih 2 jam di luar Jakarta. Perbincangan dan pertemuan dengan teman-teman amat meyakinkan kami.

Azmin Ali.

Sunday, November 18, 2007 5:25:10 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Saturday, November 17, 2007

CNN:

BBC:

Saturday, November 17, 2007 9:57:24 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Friday, November 16, 2007
Forum malam ini menyaksikan kehadiran yang luar biasa di kalangan masyarakat Malaysia pelbagai kaum khususnya di kalangan golongan profesional. Pastinya persembahan yang hebat oleh ahli ahli panel dapat meningkatkan kesedaran rakyat bahawa reformasi dalam sistem kehakiman amat mendesak demi keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Azmin Ali. Sent via BlackBerry from Maxis

Friday, November 16, 2007 9:49:28 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
Sent via BlackBerry from Maxis

Friday, November 16, 2007 9:43:48 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)