Sunday, January 20, 2008

Aris Rizal Fernando, peguam yang tersuhur menghembuskan nafas terakhirnya tepat jam 12.30 awal pagi hari ini di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Beliau yang berusia 66 tahun menjalani pembedahan pintasan jantung ( by-pass ) pada hari semalam, Jumaat meninggalkan seorang balu, Puan Maria Kamaruddin dan 2 orang anak perempuan dan 2 orang cucu. Menantu beliau, Saudara Subhan mengambil peranan sebagai ketua keluarga untuk menguruskan jenazah yang dibawa pulang ke kediaman keluarga Puan Maria di Taman Tasik Titiwangsa, Setapak, Kuala Lumpur.

Semenjak dari awal pagi, ramai ahli keluarga dan teman-teman termasuk hakim-hakim kanan yang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Aris Rizal Fernando. Antara yang tiba awal ialah YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bersama Nurul Izzah dan adik-adiknya, saya sendiri bersama isteri, Saudara Tian Chua, Dato' Kamarul Baharin Abbas, Dr. Badrulamin Bahron, Tun Dzaiddin Abdullah, Sri Ram, Dato' Abdul Kadir Sulaiman, Dato' Shaikh Dawood, Dato' Yusof Zainal Abidin, DPP Nordin Hassan, DPP Tun Majid, Dato' Shafie Yahya, Mr. C.V. Prabhakaran, Saudara Zulkifli Nordin, Sankara Nair, Pawanchik Marican, dan ramai yang lain. Ratusan jamaah menyempurnakan Solat Jenazah. Kehadiran yang begitu ramai memenuhi dewan utama rumah menjadi tanda yang Allahyarham adalah seorang yang mempunyai ramai kawan dan disenangi semua pihak. Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Tasik Titiwangsa pada jam 1.30 petang.

Sepanjang pengenalan saya dengan Allahyarham Aris Rizal Fernando hampir 10 tahun, beliau adalah seorang yang dedikasi, komited dan berpegang teguh kepada prinsip menegakkan keadilan dan kebenaran. Beliau adalah peguambela yang berjuang dan membela saya dalam kes pertuduhan keterangan palsu sehingga saya disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 18 bulan. Alhamdulillah, dengan keteguhan hujah Aris Rizal Fernando dalam rayuan saya di Mahkamah Tinggi, beliau telah berjaya meyakinkan hakim bahawa saya tidak berbohong dan akhirnya pada 1 November 2007 yang baru lalu, rayuan saya dibenarkan dan saya dibebaskan dari pertuduhan ini. Saya amat terharu dengan khidmat dan sumbangan besar beliau dalam mempertahankan maruah saya. Beliau memberikan khidmat guaman secara percuma kepada saya kerana menurut Aris Rizal Fernando, ini adalah sumbangan beliau untuk melihat keadilan bertapak di bumi Malaysia.

Kehilangan pejuang Aris Rizal Fernando amat dirasai. Beliau sering menghubungi saya dan mengajak saya ke pejabat guamannya di Seremban untuk bersembang-sembang mengenai isu-isu semasa. Beliau cukup komited mendukung agenda reformasi khususnya dalam sistem kehakiman.

Mari kita berdoa semoga Allahyarham Aris Rizal Fernando dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. Mendapat “husnul khatimah” iaitu akhir yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni’mat.

Saya juga berdoa semoga keluarga Allahyarham khususnya isteri dan anak-anak beliau dicucuri oleh Allah S.W.T. dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang ditentukanNya. Amin.

Azmin Ali.

Sunday, January 20, 2008 7:09:23 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Saturday, January 19, 2008

Saya baru sahaja menziarahi Saudara Aris Rizal Christopher Fernando, peguam kanan yang kini sedang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Janjung Negara (IJN). Keadaan kesihatannya dilaporkan stabil tetapi kritikal. Menurut isterinya, Puan Maria, Saudara Fernando diserang penyakit jantung pada awal pagi Isnin, 14 Januari ketika bersiap untuk ke mahkamah. Beliau dikejarkan ke klinik berdekatan namun dinasihatkan oleh doktor untuk dikejarkan ke IJN. Doktor pakar mengambil beberapa hari untuk memantau keadaan kesihatannya sebelum mengambil keputusan untuk membuat pembedahan pintasan jantung (by-pass) pada jam 5.00 petang semalam, hari Jumaat. Pembedahan ini mengambil masa hampir 4 jam. Sehingga petang ini, Saudara Fernando masih belum sedarkan diri malahan pada beberapa ketika keadaannya agak kritikal.

Saya berada di IJN selama hampir 2 jam. Ramai kenalan serta peguam berada di ICU untuk memberikan sokongan moral kepada isteri dan anak-anaknya. YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail adalah di antara kenalan yang paling awal mengunjungi Saudara Fernando. Mulai jam 1.00 petang tadi, doktor tidak membenarkan ahli keluarga dan tetamu untuk masuk ke dalam bilik ICU kerana pihak doktor sedang memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk Saudara Fernando.

Marilah kita bersama sama membuat Solat Hajat dan berdoa kepada Allah S.W.T. semoga Saudara Aris Rizal Christopher Fernando akan segera sembuh dan senantiasa berada di dalam pemeliharaan Allah S.W.T.

Azmin Ali. 

Saturday, January 19, 2008 5:13:37 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Friday, January 18, 2008

Bilik Gerakan keADILan DUN Hulu Kelang mula beroperasi dari awal Januari 2008. Bilik Gerakan ini terletak di kawasan perumahan dan mempunyai lokasi yang amat strategik. Alamatnya ialah No. 41, Jalan AU 5 C / 14, Lembah Keramat, Hulu Kelang. Talian telefon ialah 03 4147.5579.

Saya menyambut baik segala bentuk sumbangan tenaga dan khidmat dari semua penduduk dan rakyat di Hulu Kelang untuk mengukuhkan lagi jentera pilihan raya dan memperkasa perjuangan Parti Keadilan Rakyat.

Friday, January 18, 2008 6:15:12 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, January 17, 2008

Semenjak hari Selasa yang lalu, 15 Januari 2008, saya berulang alik ke Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes perhimpunan Solat Hajat di Masjid Negara pada bulan September 1999 atau lebih dikenali sebagai Kes Arsenik 2. Perhimpunan Solat Hajat ini bertujuan untuk memohon pertolongan Allah S.W.T. untuk melindungi Dato' Seri Anwar Ibrahim yang diracuni Arsenik ketika dalam penjara. Namun, bagi Sang Penguasa yang zalim, ini adalah perhimpunan haram ! Maka saya dan hampir 30 pimpinan yang lain termasuk Dr. Badrulamin Bahron, Dr. Hatta Ramli, Hishamuddin Rais didakwa atas pertuduhan perhimpunan haram. Sudah hampir satu dekad saya dihadapkan ke mahkamah tetapi belum ada kesudahannya. Majistret juga sudah bersilih ganti.

Saksi-saksi yang dikemukakan oleh Pendakwaraya juga sudah hilang ingatan mengenai insiden ini dan gagal memberikan jawapan yang benar. Mengambil jalan mudah, mereka menjawab, "saya tidak ingat" ! Tidak kurang juga, ramai saksi Pendakwaraya yang sudah pencen.

Kita akan lihat apa kesudahannya dengan kes ini.

Azmin Ali.

Thursday, January 17, 2008 5:30:38 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, January 16, 2008
Faizal Shah menulis :
Abg Azmin...... tahniah di atas kekentalan semangat abg Azmin. Sebelum tu saya merupakan antara pelajar paling lama berguru dgn ayah abg azmin. Arwah ustaz pasti bangga melihat perjuangan anaknya. Ketika arwah ustaz kembali ke rahmatullah saya tak sempat kerana ketika itu saya menuntut di Michigan USA. Arwah ayah abang merupakan seorang yg cukup tegas dan disiplin. Nasihat dan ilmuyg dicurahkan masih terngia2 sehingga ke saat ini. Salam reformasi daripada saya.


Saya terharu di atas kunjungan Saudara Faizal ke blog saya. Lebih gembira sekali apabila saudara adalah anak murid kepada arwah ayahanda saya. Pemergian ayahanda saya pada bulan Julai 1999 amat dirasai oleh saya dan keluarga. Ayahanda saya, Pak Ali senantiasa teguh bersama saya tatkala berlakunya insiden 1998. Pak Ali dengan berani bangun menentang fitnah yang ditaja oleh pemimpin elit UMNO dan tauke judi dalam negara. Ayahanda saya terpaksa mengambil tindakan yang tegas untuk "disowned" adik saya yang diperalatkan oleh penguasa zalim, walaupun jauh dihatinya amat kecewa. Kesihatan beliau sering terganggu akibat tekanan dan senantiasa berulang alik ke IJN. Namun, beliau kerap mengunjungi saya dan isteri, Shida serta anak-anak di rumah dengan membawa roti canai dan tosey untuk sarapan pagi bersama.
Ayahanda Pak Ali amat dikenali sebagai seorang yang tegas, amanah dan berdisiplin tinggi. Beliau mempunyai ratusan anak-anak muridnya yang mengikuti pengajian Al Quran dan Fardhu Ain. Ketika mengajar, beliau memang garang. Rotan senantiasa ditangannya. Mungkin Faizal juga pernah kena rotan ! Namun, hatinya amat baik dan ikhlas dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Saya masih ingat kegigihan arwah ayahanda saya yang memandu sendiri kereta Mercedez merahnya yang uzur untuk mengambil anak-anak muridnya sekitar Taman Melawati dan Hulu Kelang dan sesudah pengajian beliau juga akan menghantar pulang anak-anak muridnya hingga ke pintu rumah.
Beliau cukup rapat dengan saya. Beliau menghembuskan nafas terakhir di IJN dalam dakapan saya. Semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmatNya ke atas ruh ayahanda saya dan menempatkan ruhnya di syurga bersama para solihin dan syuhada'. Saya akan meneruskan perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya berjanji untuk membela nasib rakyat yang ditindas. Saya harap Faizal dapat bersama saya untuk membawa perubahan. Kalau ada kelapangan, pohon hubungi saya di 012.205.2020 atau email : azmin.ali@gmail.com.
Azmin Ali.
Wednesday, January 16, 2008 10:46:55 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, January 15, 2008

Esok, 16 Januari 2008 saya akan turun ke Labu, Negeri Sembilan untuk menjelaskan isu-isu semasa dan juga dasar keADILan untuk menjamin kesejahteraan rakyat melalui Agenda Ekonomi Malaysia ( AGEMAS ) dan pelbagai program yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti pendidikan dalam negara kita.

Hari berikutnya, saya bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja sehari ke Negeri Melaka. Pada hari Jumaat, saya akan merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kelana Jaya bersama Saudara Syed Shahir Syed Mohamud, Presiden MTUC yang juga Ketua Bahagian Kelana Jaya.

Azmin Ali.

 

Tuesday, January 15, 2008 1:07:31 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Program ceramah Dato' Seri Anwar Ibrahim malam tadi di Kampong Rinching Hulu, Semenyih mendapat sambutan yang luar biasa dari masyarakat tempatan yang terdiri dari pelbagai kaum. Ribuan orang Melayu, India dan Tionghua berpusu pusu ke tapak ceramah untuk mendengar penjelasan dari pimpinan keADILan berhubung isu-isu semasa dan juga dasar kepeduliaan rakyat yang dibawa oleh keADILan. Dato' Seri Anwar mengupas panjang isu ekonomi termasuk harga petrol dan barangan keperluan yang semakin tinggi, masalah pendidikan, jenayah dan sosial serta dasar keADILan untuk meningkatkan dan menjamin hubungan di antara kaum dan agama dalam negara kita semakin mantap. Turut berceramah Dato' Dr. Zainal Abidin Ahmad dan saya sendiri.

Tuan rumah, Cikgu Dolah menyerahkan tanahnya seluas 1 ekar untuk dijadikan markaz dan pusat khidmat masyarakat untuk Parlimen Hulu Langat. Beliau juga adalah bapa mertua kepada Ahli Parlimen ( UMNO ) Hulu Langat, YB Markiman yang rumahnya terletak bersebelahan dengan tapak ceramah Dato' Seri Anwar.

Azmin Ali.

Tuesday, January 15, 2008 12:59:00 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, January 10, 2008

Marilah kita bersama menghayati semangat hijrah Baginda Rasulullah S.A.W. dengan bertekad untuk menjana perubahan sikap di dalam diri kita dan masyarakat. Terdapat dua jenis hijrah : Hijrah Hissiyah (hijrah fizikal) dan Hijrah Ma'nawiyah (hijrah sikap). Islam menuntut kita untuk melakukan kedua-duanya. Tetapi yang lebih dituntut adalah hijrah sikap.

Untuk membebaskan diri manusia yang senantiasa di dalam kerugian, kita perlu berpegang teguh bukan sahaja kepada iman dan amal soleh tetapi juga kesediaan untuk berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan serta berani mengambil risiko dengan sabar dan tabah mengharungi proses perubahan ke arah masyarakat dan negara madani.

Salam Hijrah dari Azmin Ali dan Shamshida Taharin serta anak-anak.

Thursday, January 10, 2008 1:04:16 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, January 09, 2008

Permuafakatan pilihan raya yang dimeterai oleh keADILan dan DAP hari ini jelas membuktikan kesediaan dan kesungguhan parti-parti politik di luar kerajaan untuk menubuhkan negara madani pimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Umum ke 12. Usaha yang sama akan disempurnakan dengan PAS dalam masa yang terdekat.

Dalam permuafakatan ini, DAP akan bertanding hanya 19 kerusi DUN manakala keADILan dan PAS akan bertanding di 21 kerusi DUN; dengan jumlah majoriti DUN akan ditandingi oleh keADILan. Komposisi kaum di 21 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada keADILan dan PAS adalah seperti berikut :

Kerusi majoriti Melayu > 65 % : 10 DUN ; kerusi majoriti Melayu > 50 % - 64 % : 5 DUN.

Kerusi majoriti Cina > 65 % : 2 DUN ; kerusi majoriti Cina > 50 % - 64 % : 2 DUN.

Kerusi campuran Melayu / Cina : 2 DUN.

Berdasarkan komposisi kaum, keADILan dan PAS sudah pasti akan bertanding di 15 DUN kawasan majoriti Melayu. Untuk rekod, UMNO hanya mewakili 14 DUN kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang. Justeru itu, keADILan bertekad dan berikrar akan terus menjamin kepentingan orang Melayu Pulau Pinang. Kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim akan memberi tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. keADILan juga akan mencetuskan gagasan untuk memperkasa kekuatan ekonomi kelas menengah dan rendah di kalangan orang Melayu dan bumiputera di Pulau Pinang.

keADILan juga membuktikan kemajuan yang positif dalam pembahagian kerusi dengan bertanding di dua kerusi DUN yang mempunyai komposisi orang Tionghua melebihi 70 % iaitu di Bukit Tambun dan Kebun Bunga. keADILan akan meletakkan calon-calon Tionghua yang berwibawa dan mempunyai potensi besar untuk menang di kawasan-kawasan majoriti Cina dan juga kerusi-kerusi campuran.

Terdapat 2 kerusi DUN yang akan ditandingi oleh keADILan dan mempunyai jumlah pengundi India yang agak signifikan iaitu di Bukit Tengah dan Bukit Tambun. Komposisi kaum India di Bukit Tengah ialah 18 % manakala di Bukit Tambun sejumlah 16 %.

keADILan mengajak rakyat Pulau Pinang untuk berani membawa perubahan dalam pilihan raya yang akan datang. Muafakat di kalangan parti-parti keADILan, DAP dan PAS di Negeri Pulau Pinang adalah asas yang menjanjikan negara madani demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Azmin Ali.

 

Wednesday, January 09, 2008 11:50:10 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

keADILan dan DAP hari ini mencipta sejarah politik tanah air dengan memeterai perjanjian muafakat pilihan raya untuk menghadapi Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 12. Kedua-dua parti bersetuju secara rasmi dasar "satu lawan satu" di semua kawasan pilihan raya bermula di Negeri Pulau Pinang. Majlis memeterai perjanjian ini disempurnakan di Pulau Pinang dengan disaksikan oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti. keADILan dipimpin oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim manakala DAP diwakili oleh YB Lim Kit Siang. Perjanjian ini menyusul perbincangan di antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti pada hari Isnin, 7 Januari 2008 yang lalu di pejabat Dato' Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya.

Permuafakatan ini yang bertujuan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru seperti yang sering berlaku dalam pilihan raya yang lalu pastinya akan memecah hegemoni BN di Pulau Pinang yang juga negeri asal Perdana Menteri Abdullah Badawi. Permuafakatan ini juga membuktikan bahawa parti-parti utama di luar kerajaan semakin kukuh dan bersatu hati untuk mengambil alih pentadbiran di Putrajaya dan negeri-negeri termasuk Pulau Pinang demi mewujudkan negara madani untuk bangsa Malaysia.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung hari ini, keADILan percaya persetujuan ini akan memberikan kesan yang sangat bermakna dalam usaha untuk memecahkan hegemoni BN di Pulau Pinang sebagai salah satu negeri tumpuan keADILan akan menjadi permulaan kepada usaha ini.

Perjanjian ini memperincikan senarai pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi DAP dan selebihnya akan dirundingkan di antara keADILan dan PAS. Berdasarkan perjanjian ini, DAP akan bertanding di 7 daripada 13 kawasan Parlimen dan diberikan peruntukkan untuk bertanding di 19 daripada 40 kawasan DUN. Parlimen yang dipersetujui untuk DAP ialah Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor. Daripada 7 Parlimen ini, 4 sudahpun dimenangi oleh DAP dalam tahun 2004 iaitu Bagan, Bukit Mertajam, Tanjong dan Bukit Gelugor. Manakala 3 Parlimen yang lain diwakili oleh Gerakan. Berikut adalah senarai DUN yang dipetik dari laporan Malaysiakini :

Perjanjian yang dimeterai hari ini memperlihatkan DAP kekurangan 1 kerusi DUN. Pada tahun 2004, DAP bertanding di 20 DUN. Perjanjian ini juga memperakukan kerusi DUN Bukit Tambun dan DUN Kebun Bunga untuk keADILan. Dalam Pilihan Raya Umum 2004 yang lalu, Bukit Tambun menyaksikan pertembungan 3 penjuru dengan DAP dan BN manakala Kebun Bunga ditandingi oleh DAP. Dalam semangat permuafakatan dan kerjasama, keADILan tidak akan bertanding di Parlimen Batu Kawan.

keADILan akan memastikan dasar "satu lawan satu" menentang BN ini akan dipegang bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi menjadi dasar nasional. Justeru itu, keADILan akan menyegerakan perbincangan dengan PAS untuk mencapai kata sepakat demi kepentingan strategik memenangi pilihan raya. keADILan tegas untuk menjalin kerjasama tulin dengan semua parti politik dan NGOs yang progresif dan komited kepada usaha mengubah lanskap politik Malaysia, melalui saluran demokrasi, kepada sebuah pentadbiran negara madani.

Azmin Ali.

Wednesday, January 09, 2008 7:48:42 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)