Saturday, May 24, 2008
    Pada 24hb Mei 2008 saya bersama penduduk AU1 Taman Keramat dan turut serta saudara Y.B. Shaari Sungib ahli DUN Hulu Klang bergotong-royong membersihkan kawasan selain program membasmi nyamuk aedes. Program yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam12.30 tengah hari berjalan dengan lancar. Sambutan daripada penduduk amat menggalakkan dan saya turut mendapat maklum balas yang positif daripada penduduk setempat. Gotong-royong ini turut mendapat kerjasama daripada pihak MPAJ, Alam Flora dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
   
    Saya berharap di masa akan datang dapat bersama-bersama dengan rakyat di majlis yang sebegini di kawasan Parlimen Gombak khasnya.

Saturday, May 24, 2008 2:18:42 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, May 20, 2008
Keputusan Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO mencerminkan krisis dalaman UMNO semakin meruncing dan sokongan terhadap UMNO semakin merosot. Tindakan mantan Presiden UMNO ini mendedahkan kebobrokan dalam UMNO. Perkembangan ini tidak akan menjejaskan orang Melayu kerana UMNO sememangnya sudah berada di tahap yang paling lemah.
 
Tindakan Dr. Mahathir juga dilihat sebagai tanda protes di atas keputusan Jemaah Menteri untuk meneruskan siasatan terhadap Dr. Mahathir berdasarkan cadangan-cadangan yang terkandung di dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja berhubung siasatan klip video Lingam yang mengaitkan peranan Dr. Mahathir mempengaruhi badan kehakiman semasa pentadbirannya selama 23 tahun. keADILan mendesak supaya siasatan mesti disegerakan dan Jabatan Peguam Negara mesti bertindak secara adil dan without fear or favor dalam melaksanakan siasatan terhadap Dr. Mahathir Mohamad.
 
Saya juga menyeru ahli-ahli UMNO supaya tidak terperangkap dalam agenda peribadi Dr. Mahathir yang berkonspirasi untuk menjatuhkan Abdullah Badawi dan menaikkan Najib Tun Razak. Rakyat tidak boleh menerima kospirasi jahat yang terancang ini untuk menjatuhkan seorang pemimpin yang lemah dan menaikkan seorang pemimpin yang dikaitkan amalan rasuah.
 
Saya mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai keADILan dan Pakatan Rakyat dan menolak UMNO dan BN yang sudah kehilangan arus perjuangan.

Azmin Ali
Tuesday, May 20, 2008 9:58:08 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, May 07, 2008

Saya bangun untuk pohon penjelasan dari YB Nasharudin Mat Isa, wakil Bachok sebaik sahaja wakil Rembau, Khairy Jamaluddin bertanyakan soalan kepada wakil Bachok mengenai pendirian PAS terhadap isu 'kontrak sosial' yang didakwa Khairy dipertikaikan oleh DAP.

Persoalan yang saya bangkitkan ialah mengapa semenjak kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin elit UMNO terlalu ghairah melaungkan Ketuanan Melayu sedangkan sebelum 8 Mac 2008, pimpinan bangsawan UMNO hanya tumpukan perjuangan Ketuanan Menantu.

 

Wednesday, May 07, 2008 6:46:05 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, May 06, 2008

Saya telah mengemukakan Pertanyaan Jawab Lisan kepada Perdana Menteri pada 30 April 2008 berhubung gesaan Datuk Param Cumaraswamy supaya Kerajaan membuka siasatan berdasarkan kenyataan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahya mengenai campur tangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kes penyiasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sekitar tahun 1998. Malangnya, soalan saya tidak dijawab secara lisan oleh Perdana Menteri tetapi dibuat secara bertulis.

Menurut Perdana Menteri, hasil siasatan yang dibuat oleh pihak Polis Diraja Malaysia telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada bulan Februari 2000. Peguam Negara memutuskan supaya kes ini ditutup kerana keterangan sokongan tidak mencukupi.

Saya menyokong saranan Ahli Parlimen Batu Pahat supaya reformasi Jabatan Peguam Negara disegerakan supaya Jabatan ini dipimpin oleh individu yang mempunyai integriti untuk menjalankan tugas berlandaskan prinsip prinsip keadilan - "without fear or favor".

Tuesday, May 06, 2008 11:15:28 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, May 05, 2008

YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang Dewan Rakyat hari ini merumuskan perbahasan beliau dengan menegaskan kepupusan prinsip "federalism" dalam pentadbiran BN dengan mengamalkan politik ugut terhadap 5 buah kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Saya terus bangun dan mencelah untuk menyatakan bahawa amalan politik ugut oleh pentadbiran BN bukanlah sesuatu yang asing. Ianya adalah amalan pentadbiran regim yang lama terhadap negeri-negeri Sabah, Kelantan dan Terengganu. Malangnya, amalan yang keji ini masih diteruskan oleh pentadbiran Hadhari.

YB Kak Wan menjelaskan pelbagai tindakan BN yang bertujuan menjejaskan pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat termasuk memaksa semua Ketua Kampong dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong (JKKK) meletakkan jawatan, dan menyalurkan dana belanjawan awam melalui parti-parti politik BN atau agensi-agensi tertentu yang dikuasai oleh Kerajaan Pusat.

Saya turut membuktikan kepada Dewan Rakyat bahawa pada 25 Mac 2008, Menteri Pelancongan telah memutuskan supaya menggugurkan senarai acara "signature events" di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan yang telah ditetapkan dan disenaraikan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN). Menteri Pelancongan mengarahkan supaya tidak menyenaraikan acara-acara berkenaan dalam Calendar of Events, laman web serta sebarang promosi dan publisiti.

YB Ketua Pembangkang mengulas bahawa tindakan-tindakan ini membuktikan pengkhianatan kepada keputusan dan pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Monday, May 05, 2008 3:10:20 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Pada 30 April 2008, saya bangun untuk memohon penjelasan dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat Perkara 14 ( 1 ) iaitu sejauh mana peranan dan pengaruh Tuan Yang DiPertua dalam menyusun urutan pertanyaan lisan pada hari pertama dan mengingatkan Tuan Yang DiPertua bahawa seolah – olah Parlimen Malaysia tidak mengiktiraf peranan dan kedudukan Ketua Pembangkang yang sepatutnya diberikan keutamaan untuk mengemukakan soalan pertama.

Ini jelas terbukti daripada 10 soalan pertama yang disusun untuk dijawab pada hari pertama, 7 soalan diperuntukkan untuk Barisan Nasional manakala hanya 3 soalan diperuntukkan untuk Pakatan Rakyat.

Saya juga mengingatkan Parlimen bahawa susulan tsunami politik pada 8 Mac 2008, jumlah Ahli Dewan Rakyat dikalangan Pakatan Rakyat adalah lebih besar dibandingkan dengan jumlah Ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional. Pakatan Rakyat mempunyai 82 sedangkan Backbenchers BN hanya 77.

Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan sekiranya Tuan Yang DiPertua berhasrat untuk mengembalikan kebebasan institusi Parlimen seperti yang dilaporkan dalam akhbar, pengagihan pertanyaan jawab lisan sewajarnya berdasarkan nisbah di atas iaitu setiap 10 soalan pertama pada setiap hari, 6 soalan perlu diperuntukkan kepada Pakatan Rakyat dan 4 untuk Barisan Nasional.

Saya juga mendesak supaya Tuan Yang DiPertua memandu perjalanan persidangan berdasarkan lunas undang – undang dan prinsip keadilan.

Pada hari kedua persidangan iaitu hari ini, 5 Mei 2008, Tuan Yang DiPertua membenarkan 5 soalan dikemukakan oleh Pakatan Rakyat dan 5 soalan oleh BN untuk 10 soalan yang pertama dengan soalan dari Machang (keADILan) mendahului sesi soal jawab.

Monday, May 05, 2008 12:12:07 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keduabelas 2008 mula bersidang pada 30 April 2008 dan akan berakhir pada 27 Mei 2008. Hari pertama persidangan menyaksikan perdebatan yang panas dan sengit di kedua belah pihak. Media yang dikuasai oleh BN dengan pantas cuba menonjolkan propaganda mereka dengan menyatakan bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat di kalangan Pakatan Rakyat bertindak secara tidak bertanggungjawab.

Selaku Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat, saya menegaskan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dari keADILan bukan sekadar menegur kepincangan dasar dan kepimpinan BN, tetapi saya menganjurkan anjakan dan perubahan dasar yang memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang segar dan keselamatan rakyat.

 

Monday, May 05, 2008 11:06:32 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, January 29, 2008

Wartawan Utusan Malaysia menghubungi saya jam 1.50 petang ini untuk mendapat komen saya berhubung tajuk utama dalam Utusan Malaysia hari ini - " Kecekapan kerajaan atasi UK, Jerman, Jepun, Perancis. Kita ke-6 terbaik dunia." Begitulah watak editor Utusan Malaysia yang berfikiran jumud dan dangkal. Al maklumlah - suratkhabar yang dikuasai oleh UMNO.

Secara spontan, saya terus menjawab dengan nada yang tegas. "Perdana Menteri pembohong." Saya pun bertanya kepada wartawan berkenaan, "Apakah kamu berani untuk melaporkan kenyataan saya ?". Beliau terus tertawa. Mungkin wartawan berani tapi editor Utusan Malaysia memang menikus !

Abdullah Badawi mendakwa bahawa Malaysia kini berada di tangga ke 8 dunia dalam konteks daya saing negara. Apabila saya teliti laporan menyeluruh World Competitiveness Year Book 2007, nyata kenyataan Abdullah mengelirukan. Beliau cuba memutar belitkan data dan angka yang dipetik dari laporan tersebut apabila buat julung kalinya, kerajaan UMNO dan Barisan Nasional cuba mengaitkan prestasi di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi melebihi 20 juta orang penduduk.

Laporan penuh menyenaraikan kedudukan sebenar kebolehsaingan Malaysia adalah di tangga 23 ; merosot jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Kedudukan kebolehsaingan Malaysia pada tahun 2006 adalah di tangga 22 manakala pada tahun 1997 adalah di tangga 17. Ini adalah percubaan terdesak Perdana Menteri Abdullah untuk menangkis serangan terhadap kepimpinan beliau yang lemah dan kedudukan ekonomi yang tidak segar. Nyata, Abdullah Badawi masih tidur dan berada dalam zon penafian.

Laporan World Competitiveness Year Book 2007 juga melaporkan bahawa Singapura dan Hong Kong masing-masing berada di tahap 2 dan 3.

Kita mesti berani bawa perubahan. Rakyat Malaysia perlukan kepimpinan yang lebih baik dan berwibawa. keADILan mengajak rakyat untuk bersama sama membawa dan menterjemahkan agenda perubahan demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Harapan Baru Untuk Malaysia. A New Dawn For Malaysia.

Azmin Ali.

 

Tuesday, January 29, 2008 9:59:10 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, January 28, 2008

Saya baru tiba dari Miri, Sarawak. Pesawat berlepas jam 6.20 pagi dan tiba di KLIA jam 8.30 pagi. Saya terus bergegas ke pejabat.

Saya ke Miri atas permintaan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang terpaksa memendekkan jadual lawatan kerjanya ke Sarawak. Beliau terpaksa berpatah balik dari Kuching ekoran perkembangan terbaru klip video kedua yang akan dibongkarkan bila-bila masa berhubung percaturan saudagar kaya dan tauke judi dengan pemimpin elit UMNO dan hakim.

Saya menghadiri perjumpaan dengan rakyat kaum Dayak dan Melayu di Bekenu pada jam 3.00 petang semalam. Ramai guru-guru dari Semenanjung yang mengajar di Bekenu datang mendengar ceramah dan turut melahirkan sokongan kepada perjuangan keADILan. Kemudian saya terus ke pasar terbuka di Tudan, Miri. Peniaga-peniaga merungut kerana kerajaan BN mengenakan sewa tapak yang terlalu tinggi sehingga membebankan pendapatan bulanan peniaga. Seorang peniaga mengeluh kerana sewaan tapaknya mencecah RM 700.00 sebulan sedangkan perniagaan sayur dan ulam kampung yang diusahakan oleh beliau tidak mencukupi untuk menanggung kos sewa yang tinggi. Apabila beliau merayu, pihak Majlis Perbandaran Miri mengugut untuk menghalau peniaga keluar dari kawasan perniagaan. YB Dominique Ng, wakil rakyat Padungan dari keADILan yang turut bersama saya berjanji akan membela nasib peniaga-peniaga di pasar ini.

Pada sebelah malam, saya berceramah di Waterfront Miri berhadapan Klinik Dr. Michael Teoh. Kehadiran ribuan masyarakat Tionghua dalam hujan yang gerimis meyakinkan kita bahawa angin perubahan semakin kencang di Sarawak. Saya yakin keADILan akan terus mendapat sokongan dari rakyat pelbagai kaum di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Azmin Ali.

 

Monday, January 28, 2008 11:23:51 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Sunday, January 20, 2008

Aris Rizal Fernando, peguam yang tersuhur menghembuskan nafas terakhirnya tepat jam 12.30 awal pagi hari ini di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Beliau yang berusia 66 tahun menjalani pembedahan pintasan jantung ( by-pass ) pada hari semalam, Jumaat meninggalkan seorang balu, Puan Maria Kamaruddin dan 2 orang anak perempuan dan 2 orang cucu. Menantu beliau, Saudara Subhan mengambil peranan sebagai ketua keluarga untuk menguruskan jenazah yang dibawa pulang ke kediaman keluarga Puan Maria di Taman Tasik Titiwangsa, Setapak, Kuala Lumpur.

Semenjak dari awal pagi, ramai ahli keluarga dan teman-teman termasuk hakim-hakim kanan yang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Aris Rizal Fernando. Antara yang tiba awal ialah YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bersama Nurul Izzah dan adik-adiknya, saya sendiri bersama isteri, Saudara Tian Chua, Dato' Kamarul Baharin Abbas, Dr. Badrulamin Bahron, Tun Dzaiddin Abdullah, Sri Ram, Dato' Abdul Kadir Sulaiman, Dato' Shaikh Dawood, Dato' Yusof Zainal Abidin, DPP Nordin Hassan, DPP Tun Majid, Dato' Shafie Yahya, Mr. C.V. Prabhakaran, Saudara Zulkifli Nordin, Sankara Nair, Pawanchik Marican, dan ramai yang lain. Ratusan jamaah menyempurnakan Solat Jenazah. Kehadiran yang begitu ramai memenuhi dewan utama rumah menjadi tanda yang Allahyarham adalah seorang yang mempunyai ramai kawan dan disenangi semua pihak. Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Tasik Titiwangsa pada jam 1.30 petang.

Sepanjang pengenalan saya dengan Allahyarham Aris Rizal Fernando hampir 10 tahun, beliau adalah seorang yang dedikasi, komited dan berpegang teguh kepada prinsip menegakkan keadilan dan kebenaran. Beliau adalah peguambela yang berjuang dan membela saya dalam kes pertuduhan keterangan palsu sehingga saya disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 18 bulan. Alhamdulillah, dengan keteguhan hujah Aris Rizal Fernando dalam rayuan saya di Mahkamah Tinggi, beliau telah berjaya meyakinkan hakim bahawa saya tidak berbohong dan akhirnya pada 1 November 2007 yang baru lalu, rayuan saya dibenarkan dan saya dibebaskan dari pertuduhan ini. Saya amat terharu dengan khidmat dan sumbangan besar beliau dalam mempertahankan maruah saya. Beliau memberikan khidmat guaman secara percuma kepada saya kerana menurut Aris Rizal Fernando, ini adalah sumbangan beliau untuk melihat keadilan bertapak di bumi Malaysia.

Kehilangan pejuang Aris Rizal Fernando amat dirasai. Beliau sering menghubungi saya dan mengajak saya ke pejabat guamannya di Seremban untuk bersembang-sembang mengenai isu-isu semasa. Beliau cukup komited mendukung agenda reformasi khususnya dalam sistem kehakiman.

Mari kita berdoa semoga Allahyarham Aris Rizal Fernando dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. Mendapat “husnul khatimah” iaitu akhir yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni’mat.

Saya juga berdoa semoga keluarga Allahyarham khususnya isteri dan anak-anak beliau dicucuri oleh Allah S.W.T. dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang ditentukanNya. Amin.

Azmin Ali.

Sunday, January 20, 2008 7:09:23 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)