Friday, October 03, 2008

Saya menyambut Eidul Fitr pada tahun ini di Kuala Lumpur bersama isteri dan anak-anak. Anak sulong saya, Liyana yang kini sedang menuntut di Melbourne pulang untuk bersama kami menyambut Syawal. Saya dan Shida membawa anak-anak menziarahi pusara ayahanda saya di Kampong Klang Gate sehari sebelum Eidul Fitr dan mendoakan semoga ruhnya dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni'mat. Sejurus sebelum beredar, saya dihampiri oleh pengawas kubor yang meminta supaya pentadbiran yang baru dapat mengekalkan beliau sebagai pengurus kubor berkenaan. Amat melucukan ! Saya memberikan jaminan bahawa beliau akan kekal selagi beliau menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab.

Pada pagi 1 Syawal, saya menyempurnakan Solat Eidul Fitr di Masjid Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Sejurus solat selesai, saya diundang oleh Imam 1, Ustaz Khairi untuk berkunjung ke rumahnya yang terletak di dalam kawasan masjid. Kemudian saya dan keluarga terus bergegas ke rumah ibu saya di Kampong Klang Gate untuk berhari raya bersama beliau. Turut berada di rumah ibu saya ialah Azwan, adik saya yang sudah agak lama saya tidak berkesempatan bertemu dengan beliau. Seperti biasa, Azwan memang kecoh dan meminta untuk bergambar bersama saya !

Pada sebelah petang, kami mengunjungi Rumah Terbuka YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di Shah Alam. Kemudian kami bergegas pulang kerana ada tetamu yang sudah menunggu di depan kediaman kami. Pada Hari Raya yang kedua, kami menziarahi ibu-ibu saudara saya sekitar Kampong Klang Gate, Hulu Kelang dan Kampong Baru.

Esok, jadual saya bermula sibuk untuk memenuhi undangan perkahwinan dan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr. Semoga amalan ziarah ini akan menajalin ukhwah dan persaudaraan yang utuh.

 

Friday, October 03, 2008 9:57:16 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitr pada 18 Oktober 2008 (Sabtu) dari jam 10.00 pagi sehingga 3.00 petang bertempat di Dewan Seri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves. YB Amiruddin Shari, ADUN Batu Caves dan saya mengalu alukan kehadiran rakyat Gombak khususnya dan semua rakyat Malaysia amnya ke majlis ini yang pastinya akan mengukuhkan lagi silaturrahim. Pelbagai juadah dan hidangan akan disediakan untuk meraikan tetamu di majlis ini.

Friday, October 03, 2008 12:03:59 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, October 02, 2008

Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum, Kullu 'Aam Wa Antum Bi Khair.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Eidul Fitr kepada semua umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Sesungguhnya hari ini adalah hari kemenangan umat Islam setelah melalui latihan yang cukup getir di sepanjang bulan Ramadhan. Latihan ini adalah untuk membentuk jiwa dan watak yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Dalam surah Al Hujurat, Allah menegaskan bahawa kemuliaan seseorang itu adalah berpaksikan kepada ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kemuliaan seseorang bukan diukur dengan kemewahan harta atau kedudukan dalam masyarakat. Justeru itu, sewajarnya Syawal ini adalah permulaan yang terbaik untuk kita kembali kepada fitrah iaitu kesucian dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T. Marilah kita memperteguhkan azam kita untuk bersama menjana semangat fitrah.

Salam Eidul Fitr, Maaf Zahir & Batin dari saya dan isteri, Shida serta anak-anak.

Thursday, October 02, 2008 10:35:01 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 #
 

Blog saya diserang dan digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada awal pagi September 29. Pengurus blog saya cuba untuk menanggani serangan ini tetapi terus digodam sebanyak 3 kali pada hari yang sama. Saya menerima panggilan telefon seawal jam 2 pagi sehinggalah sahur dari teman teman yang terkejut dengan kenyataan yang dipamirkan dalam blog saya bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam parti. Panggilan bertali arus dari pimpinan dan ahli-ahli parti dan rakyat. Saya amat terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua.

Saya berani menyatakan bahawa ini adalah tindakan dayus pihak yang sudah goyah dengan kebangkitan rakyat untuk bersama dengan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Tindakan ini tidak langsung melemahkan semangat saya untuk terus bersama DSAI dan pimpinan dalam merangka dan menyusun strategi melangkah dengan lebih berani ke arah pembentukan kerajaan baru pimpinan DSAI.

Saya ingin mengulangi ikrar saya bahawa saya komited dengan agenda perubahan melalui Parti Keadilan Rakyat. Saya yakin bahawa hanya keADILan bersama Pakatan Rakyat yang mampu menjana kekuatan untuk membawa perubahan ekonomi, sosial, politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dasar UMNO dan BN sudah usang dan rosak. UMNO menjahanamkan ekonomi negara melalui amalan rasuah dan kronisma; UMNO mencemarkan kesucian politik melalui fitnah yang keji dan adu domba; UMNO mempertahankan golongan elit dan menyisihkan rakyat. Kesimpulannya, UMNO mesti ditolak.

Saya menyeru anak-anak muda dan rakyat Malaysia untuk membawa obor perjuangan ini dengan semangat jiwa yang merdeka.

Thursday, October 02, 2008 10:20:21 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, September 29, 2008
 #
 
 Saya ingin memaklumkan disini bahawa berita tentang perletakkan jawatan saya sebagai Naib Presiden PKR yang telah digembar-gemburkan adalah palsu dan merupakan satu cubaan untuk mengsabotaj diri saya dan Parti Keadilan Rakyat. Saya masih lagi sebagai Naib Presiden PKR serta ahli parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa. Harap Maklum.

Azmin Ali.

Monday, September 29, 2008 3:31:11 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, September 16, 2008
 Semalam, di Stadium MPPJ, Kelana Jaya satu majlis sambutan bersempena Hari Malaysia telah diadakan. Majlis sambutan yang julung kalinya diadakan telah mendapat sambutan lebih 30,000 rakyat sekita Lembah Klang. Majlis bermula dengan solat isyak berjemaah dan seterusnya solat sunat tarawih dan witir.

Selain itu, majlis ini juga bersempena membantah tindakan zalim terhadap mangsa kekejaman ISA. Turut serta dalam majlis ini adalah Setiausaha Agong PAS, Y.B. Dato' Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Y.B. Lim Kit Siang dan anaknya Y.B. Lim Guan Eng serta menteri besar Selangor, Y.B. Tan Sri Khalid Ibrahim.

Lebih 30,000 yang hadir menantikan ucapan klimaks daripada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Y.B. Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dato' Seri Anwar sekali lagi meyakinkan rakyat bahawa insyaAllah Pakatan Rakyat akan dapat menawan Putrajaya dan Anwar kelihatan begitu yakin apabila mengumumkan bilangan ahli parlimen daripada Barisan Nasional.

Dato' Seri Anwar juga mengajak rakyat semua bermunajat kepada Allah S.W.T. serta bersabar menunggu tarikh keramat pertukaran kerajaan yang semua nantikan.


Tuesday, September 16, 2008 6:38:58 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, September 15, 2008
Saya dan seluruh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), menafikan menganjurkan perhimpunan di Istana Negara esok sempena menyambut Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "perdana menteri keenam" seperti poster-poster yang disebarkan di beberapa tempat di ibu kota.

PKR dengan ini ingin memaklumkan bahawa ia tidak sama sekali terlibat dalam penganjuran mana-mana perhimpunan mahupun perarakan ke Istana Negara pada 16 September 2008 seperti yang diuar-uarkan.

Kami beranggapan penyebaran maklumat palsu yang melibatkan PKR ini dilihat sebagai suatu usaha terdesak pihak tertentu yang mahu menimbulkan kekacauan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam dan akan seterusnya menimbulkan kebimbangan kepada warga penduduk Kuala Lumpur dan saya menyeru orang ramai tidak terpedaya dengan helah dan propaganda kerajaan Barisan Nasional dengan mengaitkan PKR dengan kekacauan dan ketenteraman awam.

Monday, September 15, 2008 6:07:44 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Saturday, September 13, 2008
Saya amat kecewa dan mengkritik tindakan kerajaan yang menahan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada jam 8 malam, malam tadi. Turut ditahan adalah wartawan Chew Daily, Tan Hoon Seng yang juga ditahan dibawah ISA.

Sekali lagi saya ulangi, saya merasa amat kecewa dan mengkritik tindakan kerajaan menahan mereka ini dibawah akta yang zalim dan tindakan ini hanya untuk menakutkan dan menyiksa rakyat. Saya berharap, kesemua mereka ini mendapat hak untuk membela diri mereka dengan adil tanpa campurtangan daripada pihak kerajaan.



Saturday, September 13, 2008 6:22:40 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, September 04, 2008
Pada 1 september 2008 jam 4.30 petang bertempat di masjid Al-Ansar, saya bersama Pn Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang merasmikan pelancaran masakan dan agihan bubur lambok perdana. Saya ingin menyatakan agar kita dapat menjalani ibadah puasa yang lebih taqwa dan tawaduq  agar mendapat rahmat dan diberkati dari yang Maha Esa. Pn Zuraida juga ada membuat sumbangan sebayak RM1,500 kepada Masjid Al-Ansar agar program masakan bubur lambok berjalan dengan lancar.

Thursday, September 04, 2008 7:31:12 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, September 03, 2008
Pada 30hb Ogos 2008 saya bersama penduduk sekitar Gombak telah mengadakan majlis perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak dan sambutan ambang merdeka. Majlis yang bermula dengan solat maghrib secara berjemaah dan seterusnya tazkirah dan kemudian diakhiri dengan solat Isyak berjemaah. Turut serta dalam majlis ini adalah Y.B. Shaari Sungib. ADUN Hulu Klang.

Mengenai perbentangan belanjawan 2009, saya merasa kecewa dan kesal kerana sekali lagi kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato’ Seri Abdullah Bin Badawi gagal dan tidak mampu menangani masalah ekonomi yang membebani rakyat.

PM seharusnya memberi rangsangan terhadap pertumbuhan ekonomi dengan cara menarik pelabur asing dan tingkatkan kuasa ekonomi rakyat. Belanjawan ini hanyalah seperti gula-gula kepada rakyat semua. Selain itu, saya turut kecewa kerana belanjawan ini tidak dibentangkan secara menyeluruh dan sudah pasti rakyat tidak mendapat apa-apa keuntungan melainkan populariti kerajaan Abdullah Bin Badawi.

Kami di Pakatan Rakyat akan meranka belanjawan kami sendiri dan akan di bentangkan di Parlimen nanti. Kami juga tetap komited dalam memperkasakan ekonomi negara dan membantu rakyat mengahadapi masalah ekonomi yang membebani mereka.

Azmin Ali.

Wednesday, September 03, 2008 11:54:45 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)