Wednesday, October 08, 2008

Saya dan pimpinan serta ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat tidak pernah  mendewakan pemimpin tertinggi kami. Sebaliknya kami menghormati seseorang tokoh itu berdasarkan idealisme dan prinsip yang didukung bersama. Prinsip dan idealisma perjuangan yang dipimpin oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim disambut baik oleh rakyat Malaysia yang mahukan agenda reformasi dalam sistem kenegaraan Malaysia ini dapat diterjemahkan secara aman, santun dan adil. Orang Cina dan India serta kaum-kaum yang lain yakin dengan kepimpinan DSAI. Keyakinan rakyat Malaysia ini berasaskan kepada kenyataan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin Islam Melayu yang mana aqidahnya mantap, Melayunya kuat tetapi pada masa yang sama beliau juga menghormati dan berlaku adil kepada kaum-kaum yang lain. Maka terbitlah rasa hormat dari orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan suku kaum yang lain terhadap DSAI. Malaysia hari ini memerlukan seorang pemimpin Islam Melayu yang bukan sahaja diterima baik oleh orang Melayu tetapi juga dihormati dan diyakini oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Keyakinan inilah yang akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Beberapa hari yang lalu, media tajaan UMNO cuba membuat provokasi lagi. Isu poster gergasi Anwar di Batu Caves digembar gemburkan sebagai patung. Saya terkilan kerana Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut senada dengan provokasi jahat UMNO dan media.

Pemasangan poster gergasi Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah hasil usaha dan kreativiti masyarakat di Batu Caves untuk menghargai sumbangan dan pengorbanan Anwar Ibrahim. Daripada maklumat yang saya perolehi, 'replika' setinggi 35 meter yang dimaksudkan bukanlah dibina secara tiga dimensi ( 3D ) seperti patung sebaliknya ia adalah berbentuk poster yang ditampal pada sekeping 'plywood'. Pemasangan dibuat 3 hari sebelum Eidul Fitr melalui saluran kelulusan yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Selayang. Di mana silapnya ? Kalau sebelum ini kita mempamirkan poster di kertas dan plastik, mengapa tidak di plywood ? Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa ianya adalah poster dan bukannya patung. Saya tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh memesongkan dan mengugat aqidah.

Kenyataan yang dibuat oleh seseorang Mufti amat penting kerana setiap kenyataan yang dizahirkan oleh seseorang Mufti akan mempengaruhi umat Islam. Sehubungan dengan itu, kenyataan mestilah dibuat secara cermat dan bijaksana berasaskan fakta yang jelas. Dalam konteks ini, Dr. Mohd Asri sekali lagi melatah ( seperti dalam banyak insiden yang lain sebelum ini ). Kalau beliau berminat dalam isu ini, Dr. Mohd Asri seharusnya turun ke Batu Caves dan dapatkan maklumat yang tepat dan jelas sebelum terburu buru membuat kenyataan. Jangan celaru !

Mufti Perlis seolah-olah tidak mempunyai isu lain untuk diperkatakan sedangkan dia boleh menyatakan pendirian beliau terhadap perkara-perkara pokok. Di manakah pendirian Dr. Mohd Asri dalam isu rasuah pemimpin-pemimpin negara yang menjadi barah dalam sistem pentadbiran Hadhari ? Apakah pendirian Mufti Perlis dalam isu jenayah besar yang mengaitkan pemimpin tertinggi UMNO ? Mengapa Dr. Mohd Asri membisu dalam menyatakan pendirian terhadap akta-akta yang zalim seperti ISA ? Mengapa Dr. Mohd Asri tidak mengasak budaya fitnah UMNO sehingga memecahkan perpaduan umat Islam ?  Di mana suara Mufti Perlis dalam isu istiadat meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara yang disempurnakan oleh Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak ? Apakah Tugu Negara bukan patung ?

Dr. Mohd Asri lebih menumpukan perhatian kepada isu-isu sensasi seolah-olah ingin mencari populariti di dada akhbar. Media juga seolah-olah dapat menghidu 'kelebihan' Mufti Perlis ini. Setiap kali muncul isu sensasi tajaan UMNO, Dr. Mohd Asri menjadi buruan untuk mendapatkan 'fatwa'. Saya berharap andaian ini tidak benar. Saya juga berdoa semoga Dr. Mohd Asri akan terus membantu menjana kekuatan umat Islam melalui proses tarbiyyah yang syumul.

Wednesday, October 08, 2008 12:28:50 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Persidangan Dewan Rakyat akan bersambung pada 13 Oktober 2008. Tumpuan kali ini pastinya berpusat kepada Ucapan Perbahasan Bajet oleh YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh. Beliau dijangka memberikan tumpuan kepada usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor dan industri baru, mengembalikan keyakinan pelabur-pelabur asing, memulihkan sistem kehakiman, menyuburkan demokrasi, mengukuhkan institusi dan sistem Raja Berperlembagaan, meningkatkan produktiviti melalui sistem pendidikan yang menjana tradisi keilmuan, memartabatkan institusi polis untuk menjaga keselamatan rakyat dan merakyatkan ekonomi negara. Beliau dijangka mengambil masa untuk mengupas dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam ucapan sulongnya.

Wednesday, October 08, 2008 11:31:03 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Saya baru pulang menziarahi keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di Batu 11, Gombak berhampiran Mimaland. Dalam kejadian ini, arus yang deras telah menyebabkan tebing sungai runtuh dan seorang pemuda berumur sekitar 40an yang sedang mandi dilaporkan tertimbus dalam runtuhan sebahagian anjung di bahagian belakang rumahnya. Isterinya yang melihat kejadian tersebut gagal menyelamatkan suaminya. Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang ketika hujan lebat.

Saya mengucapkan penghargaan kepada pasukan Pertahanan Awam dan pasukan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus lumus bekerja untuk mencari mangsa. Pegawai dan anggota menggunakan kemahiran masing-masing untuk menyelamatkan mangsa. Sehingga jam 12 malam tadi, mangsa masih belum dapat dikesan. Marilah kita berdoa semoga mangsa dapat diselamatkan dalam masa yang terdekat.

Saya sempat menyatakan rasa simpati kepada isteri dan anak sulong mangsa. Beliau mempunyai 3 orang anak. Saya telah meminta Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Penghulu dan Ketua Kampong untuk bertindak segera bagi membantu keluarga mangsa. Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak menyumbang RM 500 untuk isteri dan anak-anak mangsa.

Sejurus selepas itu, saya terus bergegas ke Kampong Pasir, Hulu Kelang untuk menziarahi jenazah orang tempatan kampong berkenaan yang meninggal akibat sakit tua. Semoga ruhnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

Wednesday, October 08, 2008 12:16:12 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Friday, October 03, 2008

Saya menyambut Eidul Fitr pada tahun ini di Kuala Lumpur bersama isteri dan anak-anak. Anak sulong saya, Liyana yang kini sedang menuntut di Melbourne pulang untuk bersama kami menyambut Syawal. Saya dan Shida membawa anak-anak menziarahi pusara ayahanda saya di Kampong Klang Gate sehari sebelum Eidul Fitr dan mendoakan semoga ruhnya dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni'mat. Sejurus sebelum beredar, saya dihampiri oleh pengawas kubor yang meminta supaya pentadbiran yang baru dapat mengekalkan beliau sebagai pengurus kubor berkenaan. Amat melucukan ! Saya memberikan jaminan bahawa beliau akan kekal selagi beliau menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab.

Pada pagi 1 Syawal, saya menyempurnakan Solat Eidul Fitr di Masjid Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Sejurus solat selesai, saya diundang oleh Imam 1, Ustaz Khairi untuk berkunjung ke rumahnya yang terletak di dalam kawasan masjid. Kemudian saya dan keluarga terus bergegas ke rumah ibu saya di Kampong Klang Gate untuk berhari raya bersama beliau. Turut berada di rumah ibu saya ialah Azwan, adik saya yang sudah agak lama saya tidak berkesempatan bertemu dengan beliau. Seperti biasa, Azwan memang kecoh dan meminta untuk bergambar bersama saya !

Pada sebelah petang, kami mengunjungi Rumah Terbuka YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di Shah Alam. Kemudian kami bergegas pulang kerana ada tetamu yang sudah menunggu di depan kediaman kami. Pada Hari Raya yang kedua, kami menziarahi ibu-ibu saudara saya sekitar Kampong Klang Gate, Hulu Kelang dan Kampong Baru.

Esok, jadual saya bermula sibuk untuk memenuhi undangan perkahwinan dan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr. Semoga amalan ziarah ini akan menajalin ukhwah dan persaudaraan yang utuh.

 

Friday, October 03, 2008 9:57:16 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitr pada 18 Oktober 2008 (Sabtu) dari jam 10.00 pagi sehingga 3.00 petang bertempat di Dewan Seri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves. YB Amiruddin Shari, ADUN Batu Caves dan saya mengalu alukan kehadiran rakyat Gombak khususnya dan semua rakyat Malaysia amnya ke majlis ini yang pastinya akan mengukuhkan lagi silaturrahim. Pelbagai juadah dan hidangan akan disediakan untuk meraikan tetamu di majlis ini.

Friday, October 03, 2008 12:03:59 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, October 02, 2008

Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum, Kullu 'Aam Wa Antum Bi Khair.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Eidul Fitr kepada semua umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Sesungguhnya hari ini adalah hari kemenangan umat Islam setelah melalui latihan yang cukup getir di sepanjang bulan Ramadhan. Latihan ini adalah untuk membentuk jiwa dan watak yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Dalam surah Al Hujurat, Allah menegaskan bahawa kemuliaan seseorang itu adalah berpaksikan kepada ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kemuliaan seseorang bukan diukur dengan kemewahan harta atau kedudukan dalam masyarakat. Justeru itu, sewajarnya Syawal ini adalah permulaan yang terbaik untuk kita kembali kepada fitrah iaitu kesucian dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T. Marilah kita memperteguhkan azam kita untuk bersama menjana semangat fitrah.

Salam Eidul Fitr, Maaf Zahir & Batin dari saya dan isteri, Shida serta anak-anak.

Thursday, October 02, 2008 10:35:01 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 #
 

Blog saya diserang dan digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada awal pagi September 29. Pengurus blog saya cuba untuk menanggani serangan ini tetapi terus digodam sebanyak 3 kali pada hari yang sama. Saya menerima panggilan telefon seawal jam 2 pagi sehinggalah sahur dari teman teman yang terkejut dengan kenyataan yang dipamirkan dalam blog saya bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam parti. Panggilan bertali arus dari pimpinan dan ahli-ahli parti dan rakyat. Saya amat terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua.

Saya berani menyatakan bahawa ini adalah tindakan dayus pihak yang sudah goyah dengan kebangkitan rakyat untuk bersama dengan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Tindakan ini tidak langsung melemahkan semangat saya untuk terus bersama DSAI dan pimpinan dalam merangka dan menyusun strategi melangkah dengan lebih berani ke arah pembentukan kerajaan baru pimpinan DSAI.

Saya ingin mengulangi ikrar saya bahawa saya komited dengan agenda perubahan melalui Parti Keadilan Rakyat. Saya yakin bahawa hanya keADILan bersama Pakatan Rakyat yang mampu menjana kekuatan untuk membawa perubahan ekonomi, sosial, politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dasar UMNO dan BN sudah usang dan rosak. UMNO menjahanamkan ekonomi negara melalui amalan rasuah dan kronisma; UMNO mencemarkan kesucian politik melalui fitnah yang keji dan adu domba; UMNO mempertahankan golongan elit dan menyisihkan rakyat. Kesimpulannya, UMNO mesti ditolak.

Saya menyeru anak-anak muda dan rakyat Malaysia untuk membawa obor perjuangan ini dengan semangat jiwa yang merdeka.

Thursday, October 02, 2008 10:20:21 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, September 29, 2008
 #
 
 Saya ingin memaklumkan disini bahawa berita tentang perletakkan jawatan saya sebagai Naib Presiden PKR yang telah digembar-gemburkan adalah palsu dan merupakan satu cubaan untuk mengsabotaj diri saya dan Parti Keadilan Rakyat. Saya masih lagi sebagai Naib Presiden PKR serta ahli parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa. Harap Maklum.

Azmin Ali.

Monday, September 29, 2008 3:31:11 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, September 16, 2008
 Semalam, di Stadium MPPJ, Kelana Jaya satu majlis sambutan bersempena Hari Malaysia telah diadakan. Majlis sambutan yang julung kalinya diadakan telah mendapat sambutan lebih 30,000 rakyat sekita Lembah Klang. Majlis bermula dengan solat isyak berjemaah dan seterusnya solat sunat tarawih dan witir.

Selain itu, majlis ini juga bersempena membantah tindakan zalim terhadap mangsa kekejaman ISA. Turut serta dalam majlis ini adalah Setiausaha Agong PAS, Y.B. Dato' Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Y.B. Lim Kit Siang dan anaknya Y.B. Lim Guan Eng serta menteri besar Selangor, Y.B. Tan Sri Khalid Ibrahim.

Lebih 30,000 yang hadir menantikan ucapan klimaks daripada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Y.B. Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dato' Seri Anwar sekali lagi meyakinkan rakyat bahawa insyaAllah Pakatan Rakyat akan dapat menawan Putrajaya dan Anwar kelihatan begitu yakin apabila mengumumkan bilangan ahli parlimen daripada Barisan Nasional.

Dato' Seri Anwar juga mengajak rakyat semua bermunajat kepada Allah S.W.T. serta bersabar menunggu tarikh keramat pertukaran kerajaan yang semua nantikan.


Tuesday, September 16, 2008 6:38:58 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, September 15, 2008
Saya dan seluruh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), menafikan menganjurkan perhimpunan di Istana Negara esok sempena menyambut Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "perdana menteri keenam" seperti poster-poster yang disebarkan di beberapa tempat di ibu kota.

PKR dengan ini ingin memaklumkan bahawa ia tidak sama sekali terlibat dalam penganjuran mana-mana perhimpunan mahupun perarakan ke Istana Negara pada 16 September 2008 seperti yang diuar-uarkan.

Kami beranggapan penyebaran maklumat palsu yang melibatkan PKR ini dilihat sebagai suatu usaha terdesak pihak tertentu yang mahu menimbulkan kekacauan dan mencetuskan ketidaktenteraman awam dan akan seterusnya menimbulkan kebimbangan kepada warga penduduk Kuala Lumpur dan saya menyeru orang ramai tidak terpedaya dengan helah dan propaganda kerajaan Barisan Nasional dengan mengaitkan PKR dengan kekacauan dan ketenteraman awam.

Monday, September 15, 2008 6:07:44 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)