Sunday, October 26, 2008

Alhamdulillah, pada malam tadi saya menunaikan tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian Gombak bermesyuarat bagi tahun 2008. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pergerakan wanita bahagian Gombak kerana dapat menarik lebih ramai penyertaan wanita pada mesyuarat agung tahunan wanita yang lalu. Tidak ketinggalan juga saya ingin mengucapkan tahniah juga kepada Angkatan Muda Keadilan Bahagian Gombak kerana dapat menunaikan tanggungjawab bermesyuarat bagi tahun 2008.

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakyat Gombak kerana memilih Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang lalu. saya selalu mengingatkan kepada seluruh saf kepimpinan bahagian Gombak bahawa mengejar kemenangan itu lebih mudah dari mempertahankan kemenangan. Kita harus bekerja lebih kuat lagi bagi memenangi hati rakyat kerana pada pilihanraya yang lepas rakyat menuntut perubahan kepimpinan pada bahagian gombak. Alhamdulillah kita menang kesemua kerusi yang dipertandingkan dan sekarang rakyat menuntut perubahan dasar dari Pakatan rakyat dan kita jangan leka dengan kemenangan ini.

Setakat pada malam ini saya sangat berpuashati pada prestasi kerja Adun dari pakatan rakyat. Saya juga sangat berpuashati dengan Adun Batu Caves iaitu Y.B Amiruddin Shaari dari Parti Keadilan Rakyat kerana berjaya memenangi hati rakyat Batu Caves. Secara gurauan Penduduk Dun Batu Caves lebih menyayangi Amiruddin, isterinya pun tak sayang seperti penduduk  Batu Caves, disambut ketawa dari para hadirin. Saya juga memuji kepetahan Y.B Amiruddin ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Saya ingin menyatakan pada hari ini, saya masih belum berpuashati pada kerja sayadan saya meminta berbanyak maaf jika ada kesilapan dari pihak Bahagian Gombak dan juga sebagai Ahli Parlimen Gombak. saya yakin dapat bekerja lebih kuat lagi bagi menyelesaikan segala permasalahan Kawasan Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabangsa. Insyallah saya akan memenuhi segala jemputan atau undangan dari rakyat Gombak agar mereka berpuas hati pada prestasi kerja saya. Cumanya saya kurang berpuashati pada perbahasan ucapan penangguhan mesyuarat dari perwakilan Gombak. Diharap di lain masa saya mahu mutu perbahasan diperbaiki lagi.

Azmin Ali

 

Sunday, October 26, 2008 10:52:31 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Friday, October 24, 2008

Petang ini saya membahaskan bajet Negeri Selangor untuk Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan (SUK) dalam Peringkat Jawatankuasa. Jumlah yang diperuntukkan ialah RM 76 juta. Saya meminta supaya prestasi anggota pentadbir diberikan perhatian utama untuk menjamin semua program dapat dilaksanakan secara efektif.  YAB Dato' Menteri Besar memberi jaminan bahawa beliau dan anggota EXCO akan bekerja kuat untuk memperkasa pentadbiran institusi Pejabat Menteri Besar ke arah produktiviti yang tinggi.

Saya juga mendesak supaya YAB Tan Sri Khalid dapat memantau prestasi PBT dalam melaksanakan agenda dan program kerajaan baru selaras dengan tema "Merakyatkan Ekonomi Selangor" khususnya persoalan perumahan rakyat Selangor. Saya turut menggesa supaya Kerajaan Negeri menyegerakan penyelesaian masalah peneroka bandar di Kampong Berembang yang masih berkhemah di kampong berkenaan. Masalah utama ialah kerajaan negeri yang lama tajaan UMNO dan BN telah mengambil 150 unit untuk diagihkan kepada kroni ADUN UMNO yang lama sehinggakan menafikan hak lebih 60 keluarga yang merupakan peneroka asal kampong ini. Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri segera meneliti tawaran unit-unit Rumah Kos Rendah Kampong Berembang ini kepada kroni UMNO yang bercanggah dengan peraturan perumahan dan diserahkan kepada peneroka bandar yang berhak menerimanya. YAB Dato' Menteri Besar menjawab dalam Dewan bahawa Kerajaan Negeri akan menyelesaikan masalah perumahan ini dalam tempoh sebulan.

Saya turut membangkitkan persoalan projek perumahan Casa Gemilang, Sungai Pusu yang terbengkalai selama lebih 3 tahun. Pembeli-pembeli projek perumahan ini terpaksa menanggung kerugian yang besar dan resah dengan masa depan mereka. Pinjaman bank yang dibayar setiap bulan semenjak 3 tahun yang lalu tidak menjanjikan rumah yang dibeli daripada pemaju Capital Lane. Menurut laporan awal yang diterima dari Majlis Perbandaran Selayang (MPS), projek ini diarah dihentikan oleh Kerajaan Negeri yang lama di bawah pentadbiran Khir Toyo atas alasan tidak senang dengan pemaju berkenaan. Saya mendesak supaya Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dapat memutuskan dengan kadar yang segera untuk meneruskan projek ini dengan meletakkan terma yang tegas ke atas pemaju termasuk tempoh menyiapkan projek ini demi kepentingan pembeli-pembeli rumah di Casa Gemilang. Kerajaan Negeri memberikan harapan yang cukup baik untuk menyelesaikan masalah ini yang sudah berlarutan lebih 3 tahun. Saya akan memantau secara dekat untuk memastikan penyelesaian dibuat segera.

Friday, October 24, 2008 3:54:25 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, October 22, 2008

Pagi ini saya mengambil bahagian untuk membahaskan Bajet 2009 Negeri Selangor yang dibentangkan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor dua hari yang lalu. Usaha Menteri Besar membentangkan Bajet Berimbang dalam keadaan negara sedang berada dalam krisis ekonomi disambut baik.

Antara perkara yang saya sentuh ialah mendesak Kerajaan Negeri supaya meneliti semula terma-terma perjanjian projek-projek usahasama di antara Kerajaan Negeri dan pemaju-pemaju besar yang berat sebelah dan lebih berpihak kepada pihak swasta dan merugikan Kerajaan Negeri. Pendedahan Menteri Besar bahawa terdapat penyelewengan dalam projek usaha sama hartanah sehingga negeri kehilangan RM 30 bilion menuntut Kerajaan Negeri menetapkan KPI untuk mengukur prestasi setiap GLC. Sementara saya bersetuju dengan cadangan untuk mengekalkan Ketua-Ketua Eksekutif kerana mahu mereka menebus kesalahan lalu dengan mendapatkan kembali wang yang hilang akibat penyelewengan, saya meminta Kerajaan Negeri menetapkan tempoh masa untuk mencapai maksud yang murni ini. Saya juga meminta Kerajaan Negeri untuk melaporkan hasil siasatan yang dilakukan oleh badan audit bebas ke atas semua GLC semenjak Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pada Mac 2008.

Saya juga mencadangkan supaya teknologi baru dilaksanakan untuk merawat dan memproses sisa pepejal yang semakin meningkat di Negeri Selangor. Banyak kelemahan dalam sistem pengurusan sisa pepejal yang sedia ada termasuk pencemaran sungai, pencemaran sumber air bawah tanah dan jangka hayat tapak pelupusan sampah (landfill) yang pendek. Kerajaan juga menanggung kerugian akibat kegagalan menggunapakai 'economic benefits' melalui teknologi kitar semula. Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri segera meneliti teknologi canggih pengusaha tempatan yang mengurus sisa pepejal secara efektif melalui mengkitar semula dan mengubah bentuk sisa pepejal. Melalui teknologi ini, hanya 20 % daripada sisa pepejal yang diproses akan dimasukkan dalam landfill manakala 80 % lagi akan bertukar bentuk menjadi sumber tenaga yang dikenali sebagai Refused Derived Fuel (RDF) sebagai sumber tenaga alternatif petrol atau arang batu untuk menggerakkan turbin bagi menjana kuasa elektrik disamping sebahagian hasil sisa pepejal yang sudah diproses boleh bertukar bentuk menjadi baja dan air bersih.

Saya juga mendesak supaya Kerajaan Negeri menaikkan gaji guru-guru KAFA daripada RM 738 sebulan kepada RM 1500 sebulan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan rakyat yang berpegang teguh kepada prinsip agama dan nilai-nilai murni dalam melahirkan masyarakat madani. Di Negeri Selangor terdapat 6,099 orang guru KAFA yang selama ini dibayar gaji di bawah garis kemiskinan.

Saya turut mencadangkan Kerajaan Negeri memperkenalkan dan memperluaskan skim mikrokredit untuk melahirkan usahawan baru di kalangan golongan miskin dan juga 'nouveau poor' di Negeri Selangor. Saya turut berkongsi kejayaan skim ini yang dipelopori oleh Prof Muhammad Yunus yang mengasaskan Grameen Bank untuk menyediakan pinjaman mikrokredit kepada 7.4 juta peniaga kecil dan sederhana di Bangaldesh dengan jumlah pinjaman sebanyak USD 6.0 bilion. Kadar pembayaran balik pinjaman di kalangan peminjam melebihi 95 %.

Perbahasan saya turut menyentuh usaha Kerajaan Negeri untuk mengambilalih konsesi air melalui 'migration scheme' daripada Pucak Niaga, Syarikat Bekalan Air Selangor, Konsortium ABASS Sdn Bhd dan SPLASH. Saya mencadangkan supaya selaras dengan agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' (MES), kerajaan boleh melibatkan rakyat Selangor dalam SPV baru yang akan mengurus air Selangor dengan pembayaran dividen tahunan terus ke pemegang akaun air dalam Negeri Selangor. Cadangan ini akan memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Negeri Selangor.

Wednesday, October 22, 2008 4:38:48 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, October 20, 2008

Ketika saya menulis nota ini, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sedang membentangkan Bajet Negeri Selangor 2009 yang bertemakan "Merakyatkan Ekonomi Selangor" atau MES. Di antara program agenda MES ialah Tabung Warisan Anak Selangor, Bekalan Air Percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Mesra Usia Emas dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang. Menurut Khalid, kerajaan telahpun memulakan program-program di atas dengan peruntukkan RM 35 juta selain mengeluarkan pinjaman berjumlah RM 50 juta kepada KDEB bagi tujuan pembiayaan bekalan air percuma.

Pada awal 2009, kerajaan negeri akan memulakan program-program Fasa 2 MES. Antara lainnya ialah peruntukan cuti bersalin selama 90 hari kepada wanita bekerja dan peruntukan tambahan cuti selama 7 hari lagi kepada 14 hari kepada suami yang isterinya bersalin. Kerajaan Negeri juga mencadangkan peruntukan cuti sebulan kepada wanita yang kematian suaminya. Skim Caruman Takaful diperluaskan skimnya kepada golongan orang kurang upaya dan anak yatim. Dalam Fasa 1, kerajaan negeri sudahpun melancarkan Skim Caruman Takaful untuk warga emas.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat juga memberi tumpuan untuk menggalakkan golongan muda dan belia menceburi bidang perniagaan dengan menyediakan bantuan dalam bentuk kewangan, infrastruktur dan latihan. Usaha ini mampu menanggani masalah pengangguran dan membentuk pemikiran rakyat yang mempunyai daya saing.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat amat prihatin terhadap masalah kemiskinan bandar (urban poverty). Justeru itu, YAB Menteri Besar mencadangkan supaya Paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang kini berada di paras RM 731 dinaikkan kepada RM 1500 sebulan. Angka ini mencerminkan senario sebenar kemiskinan di negeri Selangor kerana 90 % penduduk Selangor tinggal di kawasan bandar. Kerajaan Negeri mahu mendapatkan gambaran sebenar dalam hal merangka dasar-dasar yang benar-benar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat di Selangor.

YAB Menteri Besar Selangor memberikan keutamaan kepada pembangunan belia dan sukan di Selangor dengan menyediakan peruntukan bagi mewujudkan Majlis Belia dan Sukan Negeri dan merangka pelbagai program belia di semua peringkat.

Monday, October 20, 2008 12:55:13 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Saya dan Shida serta anak-anak gembira dengan sambutan sempena Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr yang kami anjurkan di kediaman di Ampang semalam. Majlis berjalan lancar dan meriah dengan cuaca yang baik. Lebih 5000 tetamu hadir yang terdiri dari pimpinan Pakatan Rakyat, teman-teman kami ketika di Universiti, keluarga dan jiran tetangga serta tokoh-tokoh perniagaan. Turut meraikan majlis kami ialah YB Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama Dato' Seri Dr. Wan Azizah serta anak-anak.

Kami menghargai dan berterima kasih kepada semua tetamu yang telah sudi menerima undangan dan memeriahkan lagi majlis kami. Semoga majlis ini akan menjalin hubungan yang mantap ke arah keharmonian dan pemerkasaan perjuangan.

Monday, October 20, 2008 12:20:01 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Tuesday, October 14, 2008

Semalam, saya bangun dalam Parlimen untuk mendapatkan penjelasan dari YB Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pemimpin UMNO bahawa beliau tunduk kepada IMF / World Bank ketika negara menghadapi krisis kewangan pada tahun 1997 / 1998.

Dakwaan UMNO disanggah oleh Ketua Pembangkang dengan tegas dan berfakta. Menurut Anwar, ketika beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia, agenda utama ialah mendapatkan kelulusan negara-negara anggota termasuk Eropah dan Amerika Syarikat untuk menghapuskan hutang negara-negara miskin. Tindakan ini dapat meringankan beban hutang negara-negara miskin yang turut gawat akibat krisis kewangan.

Ekonomi negara yang turut diserang menyebabkan institusi-institusi kewangan lemas dan ringgit semakin lemah. Dalam suasana krisis kewangan pada ketika itu, Article 4 mengkehendaki rundingan diadakan. Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa di sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan khususnya ketika mengurus krisis kewangan negara pada tahun 1997, beliau TIDAK PERNAH meminta "rescue package" daripada IMF / World Bank. Anwar mencabar pemimpin UMNO yang membuat tuduhan supaya menyemak rekod dengan Perbendaharaan dan Bank Negara. Dato' Seri Anwar turut menjelaskan bahawa beliau mengambil initiatif menubuhkan Dana Harta dan Dana Modal untuk menjamin ketelusan dalam membantu syarikat-syarikat tempatan yang menghadapi krisis kewangan pada ketika itu.

Ketua Pembangkang turut mendedahkan bahawa pada tahun 1993, beliau selaku Menteri Kewangan telah menulis surat kepada Bank Dunia untuk memberhentikan pinjaman dari Bank Dunia. Kedudukan ekonomi ketika itu di bawah pengurusan beliau amat kukuh dan tidak memerlukan pinjaman dari Bank Dunia. Malahan, Anwar turut memulakan pendekatan "pre-payment" untuk pinjaman yang dibuat sebelumnya dari Bank Dunia. Namun, sebaik sahaja Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat pada tahun 1998, Anwar berhujah bahawa Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengarahkan Perbendaharaan Malaysia untuk meneruskan pinjaman oleh negara dengan Bank Dunia. Siapa sebenarnya yang melutut dengan IMF / World Bank ? Penghujahan Dato' Seri Anwar dalam Parlimen semalam dapat menyanggah fitnah dan tuduhan jahat UMNO selama satu dekad yang lalu.

Tuesday, October 14, 2008 11:32:33 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Monday, October 13, 2008

Saya sempat mencelah petang ini ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim sedang rancak membahaskan Bajet 2009. Penjelasan yang saya pohon tertumpu kepada tuduhan jahat segelintir pemimpin UMNO yang melabelkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat negara ekoran ekonomi negara yang semakin lesu dan lembab. Dato' Seri Anwar pantas bangun dan menerangkan punca ekonomi negara terus merudum.

Siapakah yang menjahanamkan dan memusnahkan ekonomi negara ? Perasuah dan pemimpin elit UMNO yang rakus dan tamak !

Dato' Seri Anwar terus menyerang Najib Tun Razak yang didakwa terlalu asyik meluluskan projek-projek mega dan berhempas pulas untuk menjamin kelangsungan kuasa dalam UMNO tetapi tidak ada masa untuk tumpu kepada krisis kewangan dan kemelut ekonomi negara. Projek yang didedahkan oleh Ketua Pembangkang ialah pembelian 12 helikopter dari Eurocopter dengan kos RM 1.5 bilion, pembelian BII oleh Maybank dengan harga yang terlalu tinggi (lebih 4.7 kali ganda dari book value) dan penganugerahan kontrak 'high speed broadband' tanpa tender terbuka dengan kos RM 11.3 bilion. Kesemuanya diluluskan oleh Najib.

Malaysia juga terus tewas dalam persaingan dengan negara-negara jiran khususnya Singapura, Taiwan dan Korea Selatan untuk mengamit FDI. Sebaliknya, negara mengalami pengaliran dana keluar yang sudah menjangkau RM 125 bilion. Dalam tempoh 15 Ogos 2008 sehingga 29 Ogos 2008, Malaysia kehilangan RM 3.8 bilion akibat pelabur asing dan peniaga tempatan hilang keyakinan dengan pentadbiran UMNO-BN, lalu membawa keluar dana dari negara ini. Malaysia terkial-kial untuk bersaing dalam liga yang sama khususnya dengan Singapura. Pasaran saham di Malaysia tidak melonjak secara meyakinkan jika dibandingkan dengan Jepun dan Singapura sebelum krisis kewangan baru-baru ini.

Mutu pendidikan di Malaysia semakin merosot kerana perlantikan Naib Canselor di kalangan watak yang lebih cenderung untuk menulis sajak mendewakan Perdana Menteri dan bukannya menulis 'thesis' yang mampu meningkatkan produktiviti negara.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang kuat dan bermaruah untuk memacu ekonomi yang lebih segar dan meyakinkan.

 

Monday, October 13, 2008 8:36:29 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Memulakan perbahasan Bajet 2009 pagi ini, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim mendesak supaya Menteri Kewangan yang baru, Najib Tun Razak tampil untuk membentangkan Bajet yang baru memandangkan krisis dan kemelut ekonomi global yang dahsyat. Hujah beliau, usaha untuk memangkin dan memacu pertumbuhan ekonomi dalam keadaan yang biasa berbeda dengan pendekatan dalam krisis. Jurang di antara fakta yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 2008 dengan realiti hari ini terlalu besar. Sebagai contoh, defisit negara yang dijangka turun daripada 4.8 % kepada 3.5 % pada tahun 2009 sudah tentunya tidak realistik lagi malahan akan membengkak. Pendapatan negara akan berkurangan ekoran penurunan harga minyak di pasaran dunia daripada USD 135 setong kepada USD 77 setong hari ini. Hampir separuh. Kadar pengganguran juga akan meningkat. Krisis kewangan hari ini pastinya akan memberikan dampak ke atas pendapatan negara, pertumbuhan ekonomi dan defisit negara. Justeru itu, Ketua Pembangkang menegaskan bahawa Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dipaksa membahaskan isu dan angka yang sudah tidak relevan seolah-olah membincangkan kertas sejarah ekonomi ! Menteri Kewangan yang bertanggungjawab sewajarnya berani untuk membentangkan angka, data dan unjuran yang baru untuk membolehkan Ahli-Ahli Parlimen membahaskan Bajet 2009 yang lebih realistik dengan pendekatan yang baru bagi mempersiapkan negara mendepani kemelut ekonomi.

Namun, keangkuhan kuasa masih menguasai sikap pemimpin elit UMNO. Menurut Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang baru masih dalam "state of denial". Ketua Pembangkang bukan sahaja menyanggah dasar kewangan UMNO-BN yang sudah tidak relevan, tetapi beliau turut mencarinkan dasar kepedulian rakyat yang menjadi asas perjuangan Pakatan Rakyat. Beliau berbahas selama hampir 5 jam dan akan bersambung esok.

Monday, October 13, 2008 8:11:17 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Dewan Rakyat petang ini menolak usul yang dibawa oleh YB R. Sivarasa, Ahli Parlimen Subang mewakili keADILan untuk menangguhkan perbahasan Bajet 2009. Sebaik persidangan bersambung pada jam 2.30 petang, YB Sivarasa bangun dengan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Perkara 26 (1)(c) untuk mengemukakan usul hendak menangguhkan Majlis Mesyuarat atau apa-apa perbahasan yang berkaitan dengannya. Usul ini turut disokong oleh Batu Gajah, Ipoh Barat dan Gombak.

Usul ini dibawa untuk memberikan ruang kepada Menteri Kewangan tampil ke dalam Dewan Rakyat untuk membentangkan bajet yang berpaksi kepada unjuran dan data yang lebih realistik dan pendekatan yang baru berdasarkan kepada iklim ekonomi terkini. Namun, usul ditolak. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim diminta untuk meneruskan perbahasan. Saya akan memuatkan bicara Parlimen pada malam ini.

Monday, October 13, 2008 5:00:58 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Wednesday, October 08, 2008

Saya dan pimpinan serta ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat tidak pernah  mendewakan pemimpin tertinggi kami. Sebaliknya kami menghormati seseorang tokoh itu berdasarkan idealisme dan prinsip yang didukung bersama. Prinsip dan idealisma perjuangan yang dipimpin oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim disambut baik oleh rakyat Malaysia yang mahukan agenda reformasi dalam sistem kenegaraan Malaysia ini dapat diterjemahkan secara aman, santun dan adil. Orang Cina dan India serta kaum-kaum yang lain yakin dengan kepimpinan DSAI. Keyakinan rakyat Malaysia ini berasaskan kepada kenyataan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah seorang pemimpin Islam Melayu yang mana aqidahnya mantap, Melayunya kuat tetapi pada masa yang sama beliau juga menghormati dan berlaku adil kepada kaum-kaum yang lain. Maka terbitlah rasa hormat dari orang-orang Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan suku kaum yang lain terhadap DSAI. Malaysia hari ini memerlukan seorang pemimpin Islam Melayu yang bukan sahaja diterima baik oleh orang Melayu tetapi juga dihormati dan diyakini oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Keyakinan inilah yang akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Beberapa hari yang lalu, media tajaan UMNO cuba membuat provokasi lagi. Isu poster gergasi Anwar di Batu Caves digembar gemburkan sebagai patung. Saya terkilan kerana Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut senada dengan provokasi jahat UMNO dan media.

Pemasangan poster gergasi Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah hasil usaha dan kreativiti masyarakat di Batu Caves untuk menghargai sumbangan dan pengorbanan Anwar Ibrahim. Daripada maklumat yang saya perolehi, 'replika' setinggi 35 meter yang dimaksudkan bukanlah dibina secara tiga dimensi ( 3D ) seperti patung sebaliknya ia adalah berbentuk poster yang ditampal pada sekeping 'plywood'. Pemasangan dibuat 3 hari sebelum Eidul Fitr melalui saluran kelulusan yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Selayang. Di mana silapnya ? Kalau sebelum ini kita mempamirkan poster di kertas dan plastik, mengapa tidak di plywood ? Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa ianya adalah poster dan bukannya patung. Saya tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh memesongkan dan mengugat aqidah.

Kenyataan yang dibuat oleh seseorang Mufti amat penting kerana setiap kenyataan yang dizahirkan oleh seseorang Mufti akan mempengaruhi umat Islam. Sehubungan dengan itu, kenyataan mestilah dibuat secara cermat dan bijaksana berasaskan fakta yang jelas. Dalam konteks ini, Dr. Mohd Asri sekali lagi melatah ( seperti dalam banyak insiden yang lain sebelum ini ). Kalau beliau berminat dalam isu ini, Dr. Mohd Asri seharusnya turun ke Batu Caves dan dapatkan maklumat yang tepat dan jelas sebelum terburu buru membuat kenyataan. Jangan celaru !

Mufti Perlis seolah-olah tidak mempunyai isu lain untuk diperkatakan sedangkan dia boleh menyatakan pendirian beliau terhadap perkara-perkara pokok. Di manakah pendirian Dr. Mohd Asri dalam isu rasuah pemimpin-pemimpin negara yang menjadi barah dalam sistem pentadbiran Hadhari ? Apakah pendirian Mufti Perlis dalam isu jenayah besar yang mengaitkan pemimpin tertinggi UMNO ? Mengapa Dr. Mohd Asri membisu dalam menyatakan pendirian terhadap akta-akta yang zalim seperti ISA ? Mengapa Dr. Mohd Asri tidak mengasak budaya fitnah UMNO sehingga memecahkan perpaduan umat Islam ?  Di mana suara Mufti Perlis dalam isu istiadat meletakkan kalungan bunga di Tugu Negara yang disempurnakan oleh Abdullah Badawi dan Najib Tun Razak ? Apakah Tugu Negara bukan patung ?

Dr. Mohd Asri lebih menumpukan perhatian kepada isu-isu sensasi seolah-olah ingin mencari populariti di dada akhbar. Media juga seolah-olah dapat menghidu 'kelebihan' Mufti Perlis ini. Setiap kali muncul isu sensasi tajaan UMNO, Dr. Mohd Asri menjadi buruan untuk mendapatkan 'fatwa'. Saya berharap andaian ini tidak benar. Saya juga berdoa semoga Dr. Mohd Asri akan terus membantu menjana kekuatan umat Islam melalui proses tarbiyyah yang syumul.

Wednesday, October 08, 2008 12:28:50 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Persidangan Dewan Rakyat akan bersambung pada 13 Oktober 2008. Tumpuan kali ini pastinya berpusat kepada Ucapan Perbahasan Bajet oleh YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh. Beliau dijangka memberikan tumpuan kepada usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor dan industri baru, mengembalikan keyakinan pelabur-pelabur asing, memulihkan sistem kehakiman, menyuburkan demokrasi, mengukuhkan institusi dan sistem Raja Berperlembagaan, meningkatkan produktiviti melalui sistem pendidikan yang menjana tradisi keilmuan, memartabatkan institusi polis untuk menjaga keselamatan rakyat dan merakyatkan ekonomi negara. Beliau dijangka mengambil masa untuk mengupas dasar-dasar Pakatan Rakyat dalam ucapan sulongnya.

Wednesday, October 08, 2008 11:31:03 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Saya baru pulang menziarahi keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh ekoran hujan lebat di Batu 11, Gombak berhampiran Mimaland. Dalam kejadian ini, arus yang deras telah menyebabkan tebing sungai runtuh dan seorang pemuda berumur sekitar 40an yang sedang mandi dilaporkan tertimbus dalam runtuhan sebahagian anjung di bahagian belakang rumahnya. Isterinya yang melihat kejadian tersebut gagal menyelamatkan suaminya. Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang ketika hujan lebat.

Saya mengucapkan penghargaan kepada pasukan Pertahanan Awam dan pasukan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus lumus bekerja untuk mencari mangsa. Pegawai dan anggota menggunakan kemahiran masing-masing untuk menyelamatkan mangsa. Sehingga jam 12 malam tadi, mangsa masih belum dapat dikesan. Marilah kita berdoa semoga mangsa dapat diselamatkan dalam masa yang terdekat.

Saya sempat menyatakan rasa simpati kepada isteri dan anak sulong mangsa. Beliau mempunyai 3 orang anak. Saya telah meminta Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Penghulu dan Ketua Kampong untuk bertindak segera bagi membantu keluarga mangsa. Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak menyumbang RM 500 untuk isteri dan anak-anak mangsa.

Sejurus selepas itu, saya terus bergegas ke Kampong Pasir, Hulu Kelang untuk menziarahi jenazah orang tempatan kampong berkenaan yang meninggal akibat sakit tua. Semoga ruhnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.

Wednesday, October 08, 2008 12:16:12 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Friday, October 03, 2008

Saya menyambut Eidul Fitr pada tahun ini di Kuala Lumpur bersama isteri dan anak-anak. Anak sulong saya, Liyana yang kini sedang menuntut di Melbourne pulang untuk bersama kami menyambut Syawal. Saya dan Shida membawa anak-anak menziarahi pusara ayahanda saya di Kampong Klang Gate sehari sebelum Eidul Fitr dan mendoakan semoga ruhnya dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni'mat. Sejurus sebelum beredar, saya dihampiri oleh pengawas kubor yang meminta supaya pentadbiran yang baru dapat mengekalkan beliau sebagai pengurus kubor berkenaan. Amat melucukan ! Saya memberikan jaminan bahawa beliau akan kekal selagi beliau menjalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab.

Pada pagi 1 Syawal, saya menyempurnakan Solat Eidul Fitr di Masjid Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Sejurus solat selesai, saya diundang oleh Imam 1, Ustaz Khairi untuk berkunjung ke rumahnya yang terletak di dalam kawasan masjid. Kemudian saya dan keluarga terus bergegas ke rumah ibu saya di Kampong Klang Gate untuk berhari raya bersama beliau. Turut berada di rumah ibu saya ialah Azwan, adik saya yang sudah agak lama saya tidak berkesempatan bertemu dengan beliau. Seperti biasa, Azwan memang kecoh dan meminta untuk bergambar bersama saya !

Pada sebelah petang, kami mengunjungi Rumah Terbuka YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di Shah Alam. Kemudian kami bergegas pulang kerana ada tetamu yang sudah menunggu di depan kediaman kami. Pada Hari Raya yang kedua, kami menziarahi ibu-ibu saudara saya sekitar Kampong Klang Gate, Hulu Kelang dan Kampong Baru.

Esok, jadual saya bermula sibuk untuk memenuhi undangan perkahwinan dan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr. Semoga amalan ziarah ini akan menajalin ukhwah dan persaudaraan yang utuh.

 

Friday, October 03, 2008 9:57:16 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)

Parti Keadilan Rakyat Bahagian Gombak akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Eidul Fitr pada 18 Oktober 2008 (Sabtu) dari jam 10.00 pagi sehingga 3.00 petang bertempat di Dewan Seri Siantan, Jalan Sungai Tua, Batu Caves. YB Amiruddin Shari, ADUN Batu Caves dan saya mengalu alukan kehadiran rakyat Gombak khususnya dan semua rakyat Malaysia amnya ke majlis ini yang pastinya akan mengukuhkan lagi silaturrahim. Pelbagai juadah dan hidangan akan disediakan untuk meraikan tetamu di majlis ini.

Friday, October 03, 2008 12:03:59 AM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 Thursday, October 02, 2008

Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum, Kullu 'Aam Wa Antum Bi Khair.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Eidul Fitr kepada semua umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Sesungguhnya hari ini adalah hari kemenangan umat Islam setelah melalui latihan yang cukup getir di sepanjang bulan Ramadhan. Latihan ini adalah untuk membentuk jiwa dan watak yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. Dalam surah Al Hujurat, Allah menegaskan bahawa kemuliaan seseorang itu adalah berpaksikan kepada ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kemuliaan seseorang bukan diukur dengan kemewahan harta atau kedudukan dalam masyarakat. Justeru itu, sewajarnya Syawal ini adalah permulaan yang terbaik untuk kita kembali kepada fitrah iaitu kesucian dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T. Marilah kita memperteguhkan azam kita untuk bersama menjana semangat fitrah.

Salam Eidul Fitr, Maaf Zahir & Batin dari saya dan isteri, Shida serta anak-anak.

Thursday, October 02, 2008 10:35:01 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)
 #
 

Blog saya diserang dan digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab pada awal pagi September 29. Pengurus blog saya cuba untuk menanggani serangan ini tetapi terus digodam sebanyak 3 kali pada hari yang sama. Saya menerima panggilan telefon seawal jam 2 pagi sehinggalah sahur dari teman teman yang terkejut dengan kenyataan yang dipamirkan dalam blog saya bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam parti. Panggilan bertali arus dari pimpinan dan ahli-ahli parti dan rakyat. Saya amat terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh semua.

Saya berani menyatakan bahawa ini adalah tindakan dayus pihak yang sudah goyah dengan kebangkitan rakyat untuk bersama dengan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya. Tindakan ini tidak langsung melemahkan semangat saya untuk terus bersama DSAI dan pimpinan dalam merangka dan menyusun strategi melangkah dengan lebih berani ke arah pembentukan kerajaan baru pimpinan DSAI.

Saya ingin mengulangi ikrar saya bahawa saya komited dengan agenda perubahan melalui Parti Keadilan Rakyat. Saya yakin bahawa hanya keADILan bersama Pakatan Rakyat yang mampu menjana kekuatan untuk membawa perubahan ekonomi, sosial, politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dasar UMNO dan BN sudah usang dan rosak. UMNO menjahanamkan ekonomi negara melalui amalan rasuah dan kronisma; UMNO mencemarkan kesucian politik melalui fitnah yang keji dan adu domba; UMNO mempertahankan golongan elit dan menyisihkan rakyat. Kesimpulannya, UMNO mesti ditolak.

Saya menyeru anak-anak muda dan rakyat Malaysia untuk membawa obor perjuangan ini dengan semangat jiwa yang merdeka.

Thursday, October 02, 2008 10:20:21 PM (Malay Peninsula Standard Time, UTC+08:00)